TG KUDIN
MELAKA: Tindakan Pemuda Umno Bukit Katil yang melakukan provokasi bagi mencetuskan pergaduhan bertujuan menghalang gerakkerja PAS dan DAP Melaka selaku agen yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendaftarkan pengundi baru adalah keterlaluan dan mengamalkan budaya samseng.
Pada minggu lepas Pemuda umno telah mengganggu kaunter pendaftaran pengundi yang dijalankan oleh DAP dengan mengugut orang-ramai supaya tidak mendaftarkan diri setelah usaha mempergunakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Polis gagal kerana ianya sah di sisi undang-undang.
Tetapi kali ini mereka bertindak ganas dengan diketuai Ketua Pemuda Umno Bahagian Bukit Katil, Mohd Jailani yang dengan bongkak dan sombong memaki-hamun pemimpin DAP dan PAS seperti bangsat, YB bodoh, YB tak tau undang-undang dan sebagainya malah beliau turut menghina MBMB dan Polis dengan gelaran seperti lembap, kerja terhegeh-hegeh dan lain-lain.
Menurut Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab, tindakan itu membuktikan bahawa Pemuda Umno memang biadap, tidak beradap dan bongkak. Mereka langsung tidak menghormati orang lain termasuk Majlis Kerajaan Tempatan, Polis dan sesiapa sahaja.
"Sikap kurang-ajar Pemuda Umno yang mengepung Orang Kurang Upaya seperti Karpal Singh dalam Bangunan Parlimen seolah-olah menjadi sifat yang wajib ada pada Pemuda Umno dan semalam perangai kurang-ajar ini sekali lagi ditonjolkan oleh Pemuda Umno apabila bertindak menyerang pimpinan DAP dan PAS yang menjalankan kempen pendaftaran pemilih di Pasar Malam Taman Melaka Baru, Batu Berendam.
"Ternyata mereka cuba menunjukkan kuasa mereka dengan mengambil tindakan sendiri membelakangkan undang-undang. Sedangkan terbukti wakil MBMB dan Polis yang bertugas di situ tidak mengambil apa-apa tindakan kerana tindakan DAP dan PAS menjalankan kempen daftar pemilih tidak menyalahi undang-undang," katanya.
Beliau turut menyifatkan Pemuda Umno sebagai tidak matang dan bersifat kebudak-budakan kerana Pemuda Umno yang bertindak membelakangkan undang-undang sehingga sanggup membuat keputusan sendiri menyerang kaunter SPR Pakatan Rakyat dan cuba melakukan provokasi supaya ahli-ahli DAP dan PAS bertindak di luar batasan undang-undang.
Selepas itu, Jailani mengetuai sekumpulan 40 orang pemuda Umno bertindak menendang meja yang digunakan untuk pendaftaran pengundi sehingga pecah dan mereka juga bertindak ganas merosakkan barangan yang digunakan untuk perdaftaran tersebut seperti bunting, meja dan lain-lain.
Kemudiannya keadaan menjadi tidak terkawal apabila seorang Pemuda Umno cuba menyerang Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong (DAP) dengan menggunakan kayu cota mengakibatkan Khoo terjatuh dan tercedera di kedua-dua belah lututnya.
Pergelutan dapat dileraikan dalam masa yang pantas, di mana beberapa pegawai Polis berpakaian preman bertindak mengheret seorang pemuda Umno yang terlibat dengan pergaduhan tersebut dan memberi amaran supaya tidak ada pergaduhan berlaku.
Antara yang turut sama di tempat kejadian ialah Adun Kesidang (DAP), Goh Leong San; Adun Bachang (DAP), Lim Jak Wong; Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Abu Iskandar; Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil Puhat Bedol dan beberapa pimpinan lain.
Selepas kejadian tersebut pemimpin PAS dan DAP telah membuat laporan Polis di Ibupejabat Polis Daerah di Banda Kaba. Sebanyak 8 laporan dibuat oleh Goh Leong San, Khoo Poay Tiong, Lim Jak Wong, Tey Kok Kiew, Puhat Bedol, Jauhar Dawi, Kerol Salleh dan Nazri Ariffin.