Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Thursday, April 15, 2010

Projek Jeti Sungai Lereh membazir


Setiausaha Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah.

MELAKA: Projek penempatan semula nelayan di sepanjang pantai Klebang dan Tanjung Puteri yang dibina di Sungai Lereh akhirnya seperti yang diduga menjadi satu lagi bukti pembaziran wang rakyat oleh kerajaan Umno/BN, di sini.

Antara nelayan yang terlibat itu ialah dari pengkalan Lereh, Pantai Hailam, Balik Bukit, Pantai Puteri dan Pantai Kundor di mana penempatan nelayan yang terbesar ialah di Pantai Puteri yang menempatkan hampir 100 nelayan.

Pembinaan jeti yang menelan belanja sebanyak RM3.3 juta sepanjang kira-kira 200 meter itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk balai nelayan dan dua pondok rehat serta tandas.

Muara sungai yang telah diubahsuai kononnya bagi menempatkan lebih ramai lagi nelayan di situ telah menimbulkan masalah baru iaitu mendapan pasir dan menghalang pergerakan nelayan keluar masuk dari jeti berkenaan ke laut.

Walaupun pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah beberapa kali melakukan kerja-kerja pengorekkan namun masalah sama tetap berulang kerana kawasan itu memang secara semulajadinya merupakan tempat mendapan pasir dan tidak sesuai dijadikan laluan muara sungai berbanding muara lama yang sudah ditambak.

Pengarah JPS Melaka, Gapar Asan memberitahu, JPS akan melakukan kerja-kerja pengorekkan berkala sebagai alternatif terbaik menyelesaikan isu berkenaan sementara menunggu projek tambak laut di muara sungai berkenaan dijalankan.

Persoalannya ialah berapakah kos pengorekkan tersebut dan ianya juga merupakan kos tambahan atau kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai disebabkan kurang cerdiknya polisi pembangunan kerajaan negeri.

Jeti itu hanya digunakan sekitar 20 nelayan asal Sungai Lereh sahaja dan rata-rata nelayan yang diarahkan berpindah itu membantah kerana cadangan tersebut tidak rasional serta tidak mengambilkira pandangan mereka terlebih dahulu.

Selain disebabkan oleh muara yang cetek, kawasannya yang sempit, faktor keselamatan bot dan peralatan menangkap ikan, kurangnya kemudahan nelayan seperti bahanapi diesel yang jauh, menjejaskan pendapatan mereka dan pelbagai lagi kos akan bertambah.

Akhirnya yang mendapat untung daripada projek yang dikatakan untuk membantu nelayan ini adalah pihak-pihak yang tertentu dan mempunyai kepentingan seperti kontraktornya di mana kebiasaannya terdiri daripada kroni-kroni mereka.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Dato' Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, Kerajaan negeri merancang untuk memindahkan nelayan-nelayan dari Pantai Puteri ke penempatan nelayan di Sungai Lereh dengan tujuan mencantikkan lagi pemandangan di kawasan tersebut dan kerana mahu menjadikan Pantai Puteri sebagai destinasi pelancongan baru.

Pendedahan seperti ini hanyalah sekelumit kisah benar yang berlaku di Melaka Bandaraya Bersejarah bagi mengenyangkan kroni Umno/BN yang rakus tanpa memikirkan pembaziran wang rakyat supaya mereka terus memberikan sokongan dan bersama-sama mempertahankan serta mengekalkan kelangsungan kuasa Umno/BN.

Maka tidak hairanlah ketika Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dan Angkatan Muda KeADILan Melaka membuat laporan rasuah terhadap Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam Mac tahun lepas, mereka ini tanpa merasa malu mempertahankan beliau dan melakukan provokasi bagi mengagalkan laporan itu.

Labels: