Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Name: Jalak

Thursday, November 5, 2009

Ikan Kelah nan mengiurkan


TG KUDIN

Pengalaman saya sepanjang 5 hari berada di kampung Lubuk Pandan, Padang Pariaman ketika mengikuti Misi Kemanusiaan Yayasan Amal membantu mangsa gempa Padang, baru-baru ini, mengingatkan saya kembali akan suasana kehidupan di kampung sendiri di awal tahun 80an.

Ketenangan suasana kehidupan di kampung yang masih kekal dengan keasliaan semulajadinya terus wujud sehingga kini, walaupun budaya kehidupan itu sudah sedikit berbeza sementelah disesuaikan dengan peredaran zaman yang berlalu begitu pantas.

Seperkara yang menarik perhatian saya ialah ketaatan mereka kepada peraturan yang disepakati bersama yang diteruskan ke setiap generasi di kampung tersebut iaitu mengenai 'Ikan Larangan' di mana peraturan menetapkan setiap orang di larang menangkap ikan seperti memancing atau menjala di sungai yang terdapat di situ.

Kesannya ikan Kelah di sungai itu jinak sekali dengan manusia dan seorang sahabat menunjukkan kepada saya dikelilingi ikan kelah sambil beliau memberi makanan di dalam sungai. Ikan itu kadang-kala mengigit kaki-tangannya tapi awas ianya ikan larangan kalau makan kata orang tempatan bisa kembung perut.

Ikan itu besar dan begitu mengiurkan sekali kepada setiap kaki pancing yang melihatnya apatah lagi kata seorang teman jikalau di Malaysia kita hanya boleh berjumpa ikan itu di dalam hutan Pahang dengan menaiki pacuan empat roda dan kemudiannya berjalan 3 atau 4 km lagi!

Mereka dibenarkan memancing ikan itu hanya pada dua hari tertentu di dalam setahun iaitu hari Maulud Nabi dan hari menyambut puasa Ramadhan di mana setiap orang yang berminat mesti membayar sejumlah wang kepada Wali Korong (Ketua Kampung) yang akan digunakan bagi pembangunan masjid atau prasarana lain seperti jalanraya di kampung itu.

Wali Korong dipertanggungjawabkan menguatkuasakan peraturan tersebut di mana sekiranya didapati sesiapa yang mengengkari larangan itu akan dikenakan denda satu beg simen bagi kesalahan memancing dan tiga beg simen bagi kesalahan menjala.

Udaranya yang nyaman begitu menyegarkan apatah lagi mandi air telaga atau air sungai yang bersih membuatkan kita rasa nak mandi selalu. Malam berteman deruan air sungai dan nyanyian cengkerik serta unggas liar begitu mententeramkan jiwa dan mengasyikkan sehingga bangun dari lena terasa segar sekali.

Biasanya jam 10 malam suasana kampung yang sunyi itu menjadi bertambah sunyi kerana penghuninya sudah duduk-duduk beristirehat di depan tv atau mula melabuhkan punggung tidur awal dan kalau ada pun hiburan ialah duduk bersembang di kedai kopi sehingga jam 11 atau 12 malam.

Mereka begitu ramah-mesra berbual dengan kita orang Malaysia dan jika kita ingin menambahkan lagi kemesraan itu dengan membayarkan minuman mereka, itu adalah satu bonus kepada kita malah mereka begitu menghargainya serta menganggap ianya sebagai tanda persaudaraan dari negara serumpun.

Kebanyakkan mereka menyara hidup sebagai petani, pekebun, penternak ikan air tawar dan melakukan kerja-kerja kampung, manakala isteri membantu tugasan suami serta bertindak sebagai surirumah sepenuh masa.

Melalui layanan yang diberikan jelas mereka begitu menghormati tetamu khususnya dari Malaysia menyebabkan kami rasa bagai berada di tempat sendiri, nyata gambaran buruk media arus perdana Malaysia bahawa rakyat Indonesia anti Malaysia jauh meleset.

Namun apakan daya setiap yang bermula pasti ada akhirnya maka tibalah saatnya kami ingin berangkat pulang.
Perjalanan kami pada pagi itu diiringi dengan ucapan dan lambaian selamat jalan daripada orang kampung yang tinggal berdekatan dengan surau penginapan kami.

Saya juga mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada petugas Pos Penanggulangan Bencana (P2B) daripada Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Kepulauan Riau (Kepri) yang banyak membantu kami dan melayani kami sebagai tetamu dengan begitu istimewa sekali. Semoga segalanya itu diterima oleh Allah sebagai amal soleh.

Labels:

Sunday, October 25, 2009

Ratap tangis 'Ranah Minang'


TG KUDIN

Kepiluan dan kesayuan terus menyelimuti seluruh pelusuk 'Ranah Minang' (Tanah Minang) di Sumatera Barat, apabila gempa berukuran 7.9 Richter pada 30 September lalu telah meranapkan dan merosakkan hampir kesemua bangunan di kawasan terbabit serta meragut ribuan nyawa.

Ada yang kehilangan rumah dan harta-benda, ada yang kehilangan ahli keluarga, ada yang cedera atau mengalami kecacatan kekal dan lebih parah lagi kesan trauma berpanjangan yang dialami mereka adalah suatu cubaan yang begitu berat untuk ditanggung bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kesedihan tergambar di wajah ibu-ibu yang datang ke Posko (Bilik Operasi) kami meminta dipenuhi pelbagai barangan keperluan seperti selimut, makanan, kemudahan air bersih dan sebagainya. Guru dan murid juga tidak terkecuali terganggu emosi mereka sehingga proses pembelajaran tidak dapat dijalankan seperti biasa sementara menantikan bantuan pemerintah yang belum kunjung tiba.

"Untuk anak-anak sahaja, untuk guru-guru tiada bantuan pak, kami pun tak bisa jalani kehidupan seperti biasa lagi rumah kami pun hancur juga," ujar seorang guru menyampaikan hasrat rakannya yang lain ketika kunjungan relawan Partai Keadilan Sejahtera untuk memberi sumbangan kepada murid-murid terutamanya anak yatim-piatu.

Di Tandikat iaitu kawasan yang agak pendalaman sedikit kelihatan di kiri-kanan jalan kanak-kanak mahupun orang dewasa menadah kotak merayu derma simpati orang-ramai yang lalu-lalang merupakan suatu pemandangan baru di sini. Mereka terpaksa melupakan perasaan malu untuk meminta-minta kerana terdesak bagi memenuhi keperluan hidup.

"Rumah saya hancur terus pak, peralatan juga semuanya hancur dan kami sekarang tinggal di dalam tenda (khemah)," kata Darlis, 35, seorang ayah yang mempunyai tiga orang anak mengadu kepada penulis memohon bantuan alatan memasak dan barangan keperluan dapur. Walaupun beliau bersama isteri dan anak-anaknya terselamat tetapi dia buntu untuk memulakan kembali kehidupan setelah tinggal sehelai-sepinggang.

Perasaan saya begitu tersentuh bila terpandang seorang tua yang berjalan terbongkok-bongkok keluar daripada runtuhan rumahnya yang cuma tinggal bumbungnya sahaja dan kemudian duduk di muka pintu sambil merenung panjang akan nasib yang menimpa dirinya. Beliau tinggal bersama isterinya dan tidak mempunyai anak, ketika menghampirinya jelas kelihatan di raut wajahnya kesedihan yang dialami.

Beliau menceritakan bagaimana kejadian gempa itu berlaku sambil sesekali mengesat airmatanya, bingung mengenangkan kepada siapa ingin diadu, siapakah yang boleh membantu membina kembali rumahnya kerana dia sudah uzur dan tidak bermaya, apatah lagi rumah itu satu-satunya harta berharga kepunyaannya.

Walaupun pelbagai NGO telah datang membantu menyalurkan bantuan tetapi masih ramai lagi yang belum menerimanya terutama di kawasan pendalaman kerana kesukaran logistik dan perhubungan. Mereka memerlukan masa untuk memulai kehidupan semula dan rayuan misi kemanusiaan masih diperlukan.

Hulurkanlah sumbangan anda seberapa yang mampu, jangan hampakan mereka, kerana di sana saudara seagama dan serumpun dengan kita sedang berdepan ujian berat dan menunggu dengan penuh harapan! jangan biarkan ratap tangis Ranah Minang berterusan!

Labels:

Sunday, October 11, 2009

Laksamana Raja Di Laut


TG KUDIN

Setelah hampir lima tahun saya meninggalkan kehidupan di laut yang penuh dengan pancaroba, tiba-tiba saya berpeluang kembali merasainya apabila seorang nelayan mempelawa saya menaiki perahunya ke tengah laut.

Saya tidak melepaskan kesempatan itu dan terus menerimanya bersama Ketua Penerangan PAS Masjid Tanah bagi mengambil gambar kapal yang didakwa berlabuh di sekitar perairan Melaka Barat di Kuala Sungai Baru sehingga menyebabkan pendapatan nelayan terjejas.

Dalam perjalanan ke tengah laut, secara tiba-tiba enjin perahu yang kami naiki padam. Maka terumbang-ambinglah kami hampir setengah jam lamanya ditengah laut di bawah panahan sinaran mentari yang terik di mana ianya menguji ketahanan kami di bulan puasa.

Mujurlah nelayan itu menelefon pekerjanya supaya membawa keluar sebuah bot nelayan yang besar sedikit bagi membawa kami ke destinasi yang ditujui sambil beliau cuba membaiki enjin perahu itu.

Jika tidak terapunglah kami dibawa arus sehingga ada orang yang datang membantu menarik perahu tersebut ke pengkalan. Apatah lagi dalam situasi panas matahari yang agak terik di bulan Ramadhan, saya membayangkan betapa mencabarnya para nelayan mengharungi ibadat puasa di laut.

Setelah mengambil beberapa keping gambar kapal itu kami bertolak pulang ke pengkalan sambil menarik perahu yang rosak tadi bersama kerana kerosakannya masih belum berjaya dibaiki.

Kami akhirnya berjaya sampai ke pengkalan Kuala Sungai Baru dengan selamat dan saya begitu bergembira kerana dapat merasai kembali suasana di laut walaupun untuk seketika bersama beberapa pengalaman dan pengajaran baru yang saya perolehi bagi menjadi bekalan di sepanjang kehidupsn ini.

Sesungguhnya kita ini diumpamakan berada di atas kapal yang sedang belayar lalu singgah sebentar di pulau bernama dunia bagi mengambil bekalan buat perjalanan yang masih jauh, tetapi di sini ada yang mempersiapkan bekalan secukupnya, ada yang terleka dengan pulau ini dan lebih malang ada yang ingin terus tinggal di pulau tersebut sehingga akhirnya tertinggal dalam kerugian yang sebenarnya.

Labels:

Tuesday, September 8, 2009

Melaka sembelih lembu dan babi satu tempat - Malaysiakini



Pusat sembelih antara lembu dan babi yang terletak sebelah menyebelah.

TG KUDIN

MELAKA: 'Satu Malaysia, Satu pusat penyembelihan' agaknya cogankata yang paling sesuai bagi mengambarkan situasi sebenar yang terjadi di pusat penyembelihan utama negeri Melaka sejak puluhan tahun lalu kerana menjalankan kerja-kerja penyembelihan lembu dan babi di tempat yang sama.

Pusat penyembelihan bagi haiwan ruminan iaitu lembu atau kambing di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kompleks Abatoir, Ayer Keroh, di sini, itu juga dimaklumkan tidak mendapat kelulusan sijil halal daripada jabatan yang berkaitan sehingga sekarang kerana beberapa faktor yang meragukan.

Haiwan tersebut dibawa masuk melalui pintu yang sama dan tempat penyembelihannya cuma dipisahkan oleh satu tembok yang rendah, setiap kali babi dibawa keluar atau masuk ianya akan melalui kawasan kandang lembu yang dikumpulkan untuk disembelih.

Lokasi penyembelihan babi itu betul-betul terletak di tepi jalan Ayer Keroh Lama di mana ianya dianggarkan dalam jarak kurang 20 meter daripada jalanraya dan berhadapan dengan pintu masuk pusat tahanan Dusun Dato' Murad serta pagarnya ditutupi dengan semak-samun supaya tidak kelihatan daripada luar.

Sementara itu, tinjauan Harakah mendapati bahawa mereka menutup pintu pagar hadapan dan menggunakan laluan dari pintu pagar belakang yang agak sunyi sambil menjalankan penternakan burung unta di depan Jabatan Veterinar yang berhadapan Kota Fesyen Melaka International Trade Centre (MITC) bagi mengaburi daripada orang-ramai.

Ketika tinjauan dibuat, kelihatan seorang pekerja sedang memandikan babi tersebut dan memandangkan tempat penyembelihan babi itu agak tinggi sedikit daripada tempat penyembelihan lembu maka tidak mustahillah tempias atau apa sahaja bahan bawaan daripada babi itu akan mengenai lembu serta kawasan sekitarnya.

Menurut sumber yang tidak mahu dikenali bahawa perkara tersebut telah cuba dibangkitkan beberapa kali tetapi dihalang oleh pimpinan kerajaan negeri kerana beralasan untuk menjaga sensitiviti kaum dan tidak mahu menjadi isu yang akan membangkitkan kemarahan masyarakat Islam di Melaka.

"Saya rasa bersalah sekiranya tidak menghebahkan kepada rakyat Melaka khususnya orang Islam kerana lembu yang disembelih itu dipasarkan kepada mereka sedangkan status halal dan tahap kebersihannya diragui," kata beliau.

Situasi ini begitu membimbangkan kerana lokasinya yang terletak agak tinggi sedikit dan berhampiran kawasan tumpuan yang sibuk di mana jaraknya dengan Masjid Al Alami tidak sampai 100 meter serta turut menempatkan medan selera, pejabat kerajaan negeri, MITC, Planetarium Melaka dan pasaraya Mydin menjadikannya berisiko tinggi terhadap penularan virus selsema babi.

Jadi adakah ini punca yang menyebabkan Melaka menjadi antara negeri yang tertinggi di seluruh negara mencatatkan kadar kematian disebabkan selsema babi iaitu seramai 16 kes dan sebanyak 772 kes dicatat manakala 311 daripadanya didapati positif.

Jika ianya benar suatu tindakan efektif dan proaktif perlu dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membendung penularan virus ini seperti menutup pusat penyembelihan babi itu serta memindahkannya ke tempat lain supaya ancaman tersebut dapat dihapuskan, bukannya dengan sekadar mengedarkan risalah dan topeng percuma kepada rakyat sahaja.

Tuesday, August 11, 2009

Mana pergi perikemanusiaan - Malaysiakini


TG KUDIN

Saya bertolak dari Melaka bersama rakan-rakan ke Kuala Lumpur untuk menyertai perarakan 'Mansuhkan ISA' seawal jam 8 pagi kerana ingin sampai awal dan bagi mengelakkan kesesakan jalanraya yang dijangka akan berlaku dengan teruknya.

Kami menaiki dua buah bas melalui tol Ayer Keroh dan berjaya melepasinya walaupun diadakan sekatan jalanraya kerana kebanyakkan daripada kami tidak memakai pakaian sebagai peserta demonstrasi membantah ISA. Maklumat yang diterima menyatakan tiga orang rakan kami telah ditahan di tol Ayer Keroh dan tidak dapat menyertai rombongan kami.

Lebih kurang jam 11.30 kami tiba di Kuala Lumpur, suasana agak tenang dan ramai anggota polis kelihatan berkawal di sana-sini di mana ke tiga-tiga masjid iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek dan Masjid India ditutup buat sementara waktu. Ketika kami bertujuh melepasi anggota polis di depan Masjid India mereka menjerit 'tangkap ! tangkap ! lalu menangkap beberapa orang yang tidak bersalah sedangkan mereka menunggu untuk memasuki masjid. Mujur kami tidak tertangkap.

Selepas makan jam 12.30 tengahari kami cuba memasuki Masjid Negara kerana arahan mengatakan peserta dari Melaka berkumpul di situ tetapi kami dilarang oleh seorang anggota polis kerana arahan dikeluarkan supaya mengosongkan kawasan sekitar Masjid Negara. Rakan saya yang tidak berpuashati mempersoalkan bagaimana beberapa orang pelancong asing dibenarkan memasuki masjid sedangkan kami yang ingin bersolat dihalang.

Pada waktu azan zohor berkumandang baharulah kami dibenarkan memasuki masjid dengan melalui pemeriksaan polis yang begitu ketat. Selepas zohor jam 1.45 petang orang-ramai mula berkumpul di depan masjid dan Dr Hatta Ramli ingin memulakan ucapan tetapi dihalang oleh SB yang cuba menangkap beliau di mana ianya berjaya dihalang oleh penyokong PAS sehingga baju Dr Hatta terkoyak.

Dalam insiden tersebut beberapa orang telah ditangkap secara ganas dan ada yang dipijak oleh polis. Dr Hatta seterusnya memimpin kumpulan dari Masjid Negara ini berarak ke Jalan Kuching dengan disertai hampir puluhan ribu peserta daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa tetapi terpaksa bertempur dengan pihak polis di bulatan Jalan Kuching.

Kemudiannya, muncul FRU bersama trak meriam airnya terus menembak air yang memedihkan mata dan tubuh badan itu kepada orang-ramai. Saya bersama beberapa rakan dan LanH terus memasuki kawasan Kelab Sultan Sulaiman dengan harapan tidak dikerjakan oleh FRU kerana itu adalah kawasan orang kaya. Ternyata anggapan kami meleset, trak 'puaka' itu terus menembak air pedih ditambah dengan tembakan gas pemedih mata bertalu-talu ke arah kami sehingga saya ingin termuntah kerana mengalami kesesakan nafas.

Kesabaran saya mula hilang dengan mengeluarkan pelbagai sumpah-seranah kepada FRU yang telah menganiaya kami dan hati saya bertambah mengelegak panas apabila terpandangkan dua orang kanak-kanak sedang dipimpin bapanya menangis terjerit-jerit disebabkan kepedihan asap dan air kimia FRU di dalam kelab itu.

Bapanya mengatakan bahawa beliau bersama dua anaknya itu iaitu Mohd Shahir, 8 tahun dan Mohd Shahmi 5 tahun pergi ke masjid untuk bersolat tetapi ketika pulang dari masjid tiba-tiba ditembak dengan air dan gas pemedih mata. Saya berasa kesian tolong membasuhkan muka kanak-kanak itu bagi menghilangkan kepedihannya.

Kami seramai 300 orang yang terkepung di dalam kelab itu, sebenarnya sudah ingin bersurai tetapi ditembak dengan gas pemedih mata bertalu-talu tanpa belas-kasihan daripada jam 2.45 hingga 3.15 petang sehingga hampir pengsan kerana mengalami kesesakan nafas dan kepedihan mata serta muka. Beberapa orang memanjat pagar kelab itu dan berjaya memasuki kawasan Dataran Merdeka untuk menyelamatkan diri tetapi anggota polis menghambat dan menolak mereka masuk kembali ke kawasan kelab sehingga seorang pemuda tercedera di kakinya.

Jam 3.30 baharulah kami dibenarkan keluar dari kelab tersebut untuk bersurai. Saya tidak puas-hati dengan tindakan polis yang seolah-olah sengaja mendera kami tanpa perikemanusiaan dan melayan kami macam binatang. Polis seperti ingin membalas dendam dan memberi peringatan secukupnya kepada kami. Walaupun gas itu masih menyesakkan nafas saya hingga ketika saya menulis ini namun ianya tidak sekali-kali mematahkan semangat saya untuk berdemonstrasi lagi. Saya dan ribuan yang lain tidak sabar menantikan saat untuk berdemonstrasi lagi bagi memansuhkan akta zalim itu !

Tuesday, July 28, 2009

Umno ugut GMI - Malaysiakini


Mendiang Teoh Beng Hock diusung untuk dikebumikan.


TG KUDIN

Riak Umno mutakhir ini yang berselindung di sebalik NGO Melayu kononnya berjuang bagi mempertahankan ISA amat jijik sekali.

Terbaru mereka mengumumkan akan berkumpul dan berarak pada hari dan waktu yang sama dengan GMI yang akan berarak menyerahkan memorandum bantahan rakyat terhadap akta zalim ISA kepada Yang Dipertuan Agong pada hari sabtu ini.

Sebelum ini, mereka memberi amaran dengan mempergunakan Persatuan Silat Lincah bagi menakut-nakutkan orang-ramai yang ingin menyatakan bantahan kelak.

Sayang sekali Persatuan Silat akhir zaman ini sudah tidak dapat membezakan antara yang hak dan batil. Berbeza sekali dengan orang dulu-dulu belajar bersilat untuk mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan tapi sekarang untuk mempertahankan akta zalim serta menzalimi orang yang tidak berdosa pula. Semoga mereka semuanya itu kembali bermuasabah, insaf dan bertaubat serta diberikan pertunjuk hidayah oleh Allah S.W.T.

Kita harap tidak berlakunya perkara yang tak diingini tetapi pejuang Islam pantang undur sekali melangkah ke medan juang tidak akan memandang ke belakang lagi. Kepulangan kami samada menang atau syahid sahaja dan matlamat tertinggi kami ialah mati syahid !!!.

Gelanggang sudah lama dibuka, kalau ada yang ingin menjual kami juga teringin sangat nak membelinya. Takbir !!!.

Saturday, July 11, 2009

SPR ditunggangi Umno - Malaysiakini

TG KUDIN

SPR telah mengarahkan semua parti politik di Melaka menghentikan kempen pendaftaran pengundi baru di kawasan pasar malam berikutan kekecohan yang ditimbulkan oleh Pemuda Umno Bukit Katil.

Tengku berasa sungguh kecewa kerana pwerancangan Umno untuk menghalang Pakatan Rakyat mendaftarkan pengundi baru akhirnya berjaya dengan dibantu oleh SPR sendiri yang merelakan dirinya ditunngangi oleh Umno.

Sepatutnya SPR berdiri sendiri dan tegas dengan pendiriannya sebelum ini yang menyatakan bahawa penolong pendaftar yang dilantik SPR bebas membuka kaunter pendaftaran di mana sahaja.

Kekecohan berlaku bukan disebabkan oleh kempen pendaftaran itu tetapi dek kerana tindakan jahat segelintir ahli Umno yang buta mata hati mengenai kebenaran sedangkan pihak berkuasa tidak menghalangnya setelah mendapati ianya tidak salah dari segi undang-undang. Hukuman SPR ini tidak adil kepada PR yang berusaha untuk mendaftarkan pengundi baru.

Tengku minta SPR membebaskan dirinya dari penjajahan atau cengkaman Umno yang kini sudah tak relevan dan berada dalam keadaan terdesak sehingga sanggup melakukan tindakan tak beretamadun serta biadap.

Sudahlah ketua Bahagiannya Ali Rustam korup terbabit dengan rasuah lalu dihalang bertanding Timbalan Presiden dan kini anak buahnya pula bertindak seperti samseng Kampung Dusun, Sharif Dol. Sawah ada batas dan kesabaran kami ada haknya, jangan sampai kami hilang sabar di sana nanti kamu akan tahu langit itu tinggi atau rendah.

Tindakan kamu tempohari juga tidak padan dengan orangnya, gelanggang sudah lama dibuka, kalau tuan sanggup menjual, kami sanggup membelinya. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang mati biar basah.

Ini anak Bugis mati keris di tangan. Takbir !!!.