Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Wednesday, August 17, 2011

Tugu 1Malaysia, apa pendirian kerajaan negeri?


Oleh ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka meminta kerajaan negeri menyatakan pendirian berhubung pembinaan tugu 1Malaysia di pantai Klebang, di sini kerana ianya boleh menjurus kepada pemujaan.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya (2) PAS Melaka, Ustaz Mohd Noor Omar pembinaan tersebut boleh menjurus kepada pemujaan yang membawa kepada tergelincirnya aqidah umat Islam.

"kalau kita lihat bermulanya penyembahan berhala Arab jahiliah ialah bermula dengan pemujaan dan penyanjungan tokoh mereka yang pada asalnya dibuat tugu tapi lama-kelamaan jadi pemujaan berhala.

"Itu sebab kita bimbang 1Malaysia yang dianggap sebagai satu konsep tapi buat tugu untuk diingati akan menyebabkan tergelincirnya aqidah umat Islam di Malaysia khususnya di Melaka," ujar beliau.

Beliau turut menyarankan kerajaan negeri melaksanakan perkara yang lebih memberi manfaat kepada rakyat daripada melakukan perkara yang juga mendatangkan pembaziran kepada wang rakyat.

"Kita mahu kerajaan negeri nyatakan pendirian berhubung isu ini kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat tindakan kerajaan membina tugu “1Malaysia” adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala)," tegasnya.

Tugu tersebut bernilai RM352 ribu iaitu meningkat tiga kali ganda berbanding dengan harga pasaran sebanyak RM100 ribu, ianya dibina daripada tetulang besi dan tapak asasnya daripada konkrit simen, tingginya 58 kaki atau 17.7 meter dengan lebarnya 30 kaki atau 9.1 meter hanya dibaluti dengan kanvas di bahagian depan dan belakangnya.

Tugu tertinggi di Malaysia itu dibina sempena lawatan Najib ke Melaka pada 4 Februari 2010, antara aturcara majlisnya ialah perasmian Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dan pelancaran 1Malaysia serta jamuan rakyat di sebelah malamnya yang menelan belanja sebanyak RM600 ribu di mana ianya ditanggung kerajaan negeri.

Labels: