Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Thursday, April 22, 2010

LTAM projek 'Gajah Putih'


LTAM yang sunyi sepi.

ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri melaksanakan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang sehingga kini masih gagal menarik minat syarikat penerbangan lain untuk beroperasi di situ.

"Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat berkata dalam Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak ada kuasa untuk memaksa syarikat penerbangan seperti AirAsia, FireFly dan lain-lain untuk menyediakan perkhidmatan di LTAM.

"Dan katanya lagi syarikat penerbangan akan menentukan samada operasi di sesebuah lapangan terbang itu perlu atau tidak berdasarkan kepada 'business decision' masing-masing.

"Dengan jawapannya maka fahamlah kita bahawa LTAM ini akan menjadi satu lagi projek Gajah Putih sehingga ke suatu masa yang kita pun tidak pasti," kata beliau.

Beliau berkata, sebenarnya kerajaan telah gagal menjalankan kajian dan analisis yang baik sebelum membuat keputusan untuk menaiktaraf lapangan terbang dan apakah kerajaan tidak membuat kajian terperinci dari segi komersial dan lain-lain.

"Akhirnya duit rakyat hangus begitu sahaja, walaupun lapangan terbang ini sudah dirasmikan sebanyak dua kali tetapi ianya masih sunyi sepi tiada kapalterbang komersil besar yang menggunakannya," tambahnya.

LTAM yang bernilai RM193 juta terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar raya telah dinaiktaraf seperti pemanjangan landasan dari 1,800 meter kepada 2,135 meter turut menempatkan menara kawalan, unit bomba dan penyelamat serta pusat kawalan kaji cuaca bagi membolehkan pesawat Airbus dan Boeing 737 beroperasi.

Manakala Terminal LTAM yang baru berharga RM190 juta seluas 7,000 meter persegi dilengkapi kemudahan seperti ruang menunggu penumpang berlepas dan ketibaan, bilik VIP, tandas, enam kaunter masuk dan empat kaunter keluar bagi penerbangan antarabangsa dan domestik dikatakan bakal mengendalikan 1.5 juta penumpang setahun berbanding hanya 300,000 sebelum ini.

Dato' Seri Najib Tun Razak juga meminta kerajaan negeri merangka strategi pengisian khusus agar dapat dimanfaatkan oleh semua syarikat penerbangan tempatan dan luar negara ketika merasmikannya 4 Februari lalu kerana hanya satu syarikat sahaja yang menggunakannya iaitu Riau Airlines yang menawarkan penerbangan Melaka-Pekan Baru-Melaka.

Tinjauan Harakah ke lokasi juga mendapati suasananya sunyi sepi tanpa deruan enjin kapalterbang yang membingitkan seperti lapangan terbang antarabangsa lain dan tiada kapalterbang pun kelihatan di landasannya malahan, keadaan di dalam Terminal menyaksikan petugasnya hanya duduk santai sahaja kerana tiada penumpang yang hendak diuruskan.

Labels: