Ikan Kelah nan mengiurkan
TG KUDIN
Pengalaman saya sepanjang 5 hari berada di kampung Lubuk Pandan, Padang Pariaman ketika mengikuti Misi Kemanusiaan Yayasan Amal membantu mangsa gempa Padang, baru-baru ini, mengingatkan saya kembali akan suasana kehidupan di kampung sendiri di awal tahun 80an.
Ketenangan suasana kehidupan di kampung yang masih kekal dengan keasliaan semulajadinya terus wujud sehingga kini, walaupun budaya kehidupan itu sudah sedikit berbeza sementelah disesuaikan dengan peredaran zaman yang berlalu begitu pantas.
Seperkara yang menarik perhatian saya ialah ketaatan mereka kepada peraturan yang disepakati bersama yang diteruskan ke setiap generasi di kampung tersebut iaitu mengenai 'Ikan Larangan' di mana peraturan menetapkan setiap orang di larang menangkap ikan seperti memancing atau menjala di sungai yang terdapat di situ.
Kesannya ikan Kelah di sungai itu jinak sekali dengan manusia dan seorang sahabat menunjukkan kepada saya dikelilingi ikan kelah sambil beliau memberi makanan di dalam sungai. Ikan itu kadang-kala mengigit kaki-tangannya tapi awas ianya ikan larangan kalau makan kata orang tempatan bisa kembung perut.
Ikan itu besar dan begitu mengiurkan sekali kepada setiap kaki pancing yang melihatnya apatah lagi kata seorang teman jikalau di Malaysia kita hanya boleh berjumpa ikan itu di dalam hutan Pahang dengan menaiki pacuan empat roda dan kemudiannya berjalan 3 atau 4 km lagi!
Mereka dibenarkan memancing ikan itu hanya pada dua hari tertentu di dalam setahun iaitu hari Maulud Nabi dan hari menyambut puasa Ramadhan di mana setiap orang yang berminat mesti membayar sejumlah wang kepada Wali Korong (Ketua Kampung) yang akan digunakan bagi pembangunan masjid atau prasarana lain seperti jalanraya di kampung itu.
Wali Korong dipertanggungjawabkan menguatkuasakan peraturan tersebut di mana sekiranya didapati sesiapa yang mengengkari larangan itu akan dikenakan denda satu beg simen bagi kesalahan memancing dan tiga beg simen bagi kesalahan menjala.
Udaranya yang nyaman begitu menyegarkan apatah lagi mandi air telaga atau air sungai yang bersih membuatkan kita rasa nak mandi selalu. Malam berteman deruan air sungai dan nyanyian cengkerik serta unggas liar begitu mententeramkan jiwa dan mengasyikkan sehingga bangun dari lena terasa segar sekali.
Biasanya jam 10 malam suasana kampung yang sunyi itu menjadi bertambah sunyi kerana penghuninya sudah duduk-duduk beristirehat di depan tv atau mula melabuhkan punggung tidur awal dan kalau ada pun hiburan ialah duduk bersembang di kedai kopi sehingga jam 11 atau 12 malam.
Mereka begitu ramah-mesra berbual dengan kita orang Malaysia dan jika kita ingin menambahkan lagi kemesraan itu dengan membayarkan minuman mereka, itu adalah satu bonus kepada kita malah mereka begitu menghargainya serta menganggap ianya sebagai tanda persaudaraan dari negara serumpun.
Kebanyakkan mereka menyara hidup sebagai petani, pekebun, penternak ikan air tawar dan melakukan kerja-kerja kampung, manakala isteri membantu tugasan suami serta bertindak sebagai surirumah sepenuh masa.
Melalui layanan yang diberikan jelas mereka begitu menghormati tetamu khususnya dari Malaysia menyebabkan kami rasa bagai berada di tempat sendiri, nyata gambaran buruk media arus perdana Malaysia bahawa rakyat Indonesia anti Malaysia jauh meleset.
Namun apakan daya setiap yang bermula pasti ada akhirnya maka tibalah saatnya kami ingin berangkat pulang.
Perjalanan kami pada pagi itu diiringi dengan ucapan dan lambaian selamat jalan daripada orang kampung yang tinggal berdekatan dengan surau penginapan kami.
Saya juga mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada petugas Pos Penanggulangan Bencana (P2B) daripada Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Kepulauan Riau (Kepri) yang banyak membantu kami dan melayani kami sebagai tetamu dengan begitu istimewa sekali. Semoga segalanya itu diterima oleh Allah sebagai amal soleh.
Labels: SANTAI
<< Home