Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Wednesday, July 1, 2009

Tragedi yang tragis - Malaysiakini

TG KUDIN

Saya sudah agak lama tak menulis di dalam blog ini disebabkan pelbagai halangan yang terjadi satu-persatu ke atas diri yang serba kekurangan dan daif ini. Lebih-lebih lagi di zaman yang serba pantas dan mencabar ini, saya merasakan terlalu lemah diri ini bila berdepan dengan pelbagai ujian atau dugaan daripada Yang Maha Esa.

Dua tiga berita yang berlaku secara pantas dan berurutan mengejut saya daripada lena yang panjang itu agar bangkit segera melakukan sesuatu. Pertama berita dari Kuantan seorang wanita muda yang dikatakan mempunyai masalah dengan teman lelakinya telah membunuh anak yang baru dilahirkannya secara bersendirian dengan melemaskan bayi itu ke dalam baldi yang berisi air.

Ke dua berita dari Kuala Lumpur yang menyebut seorang warga emas mati secara mengejut ketika sedang melanggan pondan yang dipercayai kerana mengalami serangan jantung.

Akhir sekali berita yang begitu menyayat hati berlaku di UTM Johor di mana juga seorang wanita muda berumur 26 tahun, bekas pelajar di situ ditemui mati bersama anak yang baru dilahirkannya di sisinya kerana disyaki akibat pendarahan yang banyak dua hari sebelumnya.

Apa yang terjadi di negara kita sekarang ini, bolehkah tuan-tuan jelaskan kepada saya keadaan sebenar yang berlaku disebalik kejadian tragis tersebut. Apakah punca ianya berlaku dan apakah cara mengatasi serta penyelesaiannya.

Adakah ianya satu kebetulan untuk dimuatkan di dada akhbar, buat tatapan masyarakat Malaysia dan kemudiannya dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Kerana kita sudah dibiasakan oleh berita-berita tragis yang disensasikan maka perasaan kesensitivi kita menjadi kasar dan terhijab.

Sebab itu kita tidak berbuat apa-apa! media yang tak bertanggungjawab juga menyumbang peranan yang besar kepada perlakuan yang merugikan masyarakat ini. Mereka bukannya bertindak untuk menghebahkan dan mendidik masyarakat tetapi hanya mengejar atau menjaja berita bagi mengaut keuntungan yang sedikit.

Bagi saya ianya adalah sampah dan dari segi etika pemberitaan adalah sesuatu yang terpesong jauh sekali bersikap budiman. Media tersebut mensensasikan dan meraih simpati masyarakat berkenaan isu di atas tetapi sedarkah kita media yang sama juga menyajikan berita yang tak sanggup kita lihat sebelumnya.

Pelajar IPT ketagih seks, Cinta nafsu songsang, Jual tubuh demi dadah dan sebagainya adalah contoh berita yang merangsang hawa nafsu pembaca, seolah-olah membaca cerita lucah melalui suratkhabar.

Pihak berkenaan perlu mengambil tindakan bagi menghentikan pesta memandul dan membodohkan rakyat negara ini. Apaakah belum cukup teruk lagikah keadaan yang berlaku dewasa ini hingga golongan agama diam membisu atau tidak peka dengan keadaan yang sedang terjadi disekeliling mereka.