Tahniah kepada pengundi Kuala Terengganu - Malaysiakini
SEMABOK: PAS Melaka mengucapkan tahniah kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil P 36 Kuala Terengganu kerana membuat pilihan yang tepat dan bijak dengan memberikan sokongan dan kemenangan ke atas calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut, 52, baru-baru ini.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, kemenangan ini adalah merupakan petunjuk jelas bahawa pengundi sekarang sudah matang dan menggunakan dengan sebaik-baiknya ruang yang diberikan di dalam pilihan raya untuk memilih pemimpin yang menyantuni masyarakat.
"Alhamdullillah pengundi khususnya golongan muda sudah tidak termakan dengan umpan berupa sogokan materialistik lagi kerana mereka sedar semuanya itu adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah dalam menyediakan pelbagai kebajikan untuk rakyatnya.
"Apa yang mereka mahu ialah melihat sebuah kerajaan yang mengamalkan urustadbir yang baik, memastikan kebajikan rakyat terjamin, bebas rasuah, bertanggungjawab dan sentiasa turun padang menyelami dan menyantuni kehidupan sebenar masyarakat samada ketika senang mahupun ketika susah," katanya.
Zaili menambah Abdul Wahid merupakan Adun Wakaf Mempelam, iaitu salah satu Adun dalam Parlimen Kuala Terengganu sejak lima penggal iaitu dari tahun 1990 lagi di mana memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun atau Exco selama sepenggal dan sebagai Adun pembangkang beliau sentiasa menyuarakan permasalahan rakyat agar diambil perhatian.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Parti KeADILan Rakyat dan DAP yang bersama-sama kita di dalam Pakatan Rakyat yang turut sama membantu kempen bagi memenangkan calon PAS dan semangat kerjasama jitu yang ditunjukan ini berjaya menarik sokongan luar biasa.
"Saya juga berharap agar momentum kemenangan ini akan dapat dikekalkan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke 13 nanti dan untuk itu para petugas serta penyokong PAS dan Pakatan Rakyat perlulah melipat-gandakan usaha serta gerakerja menyantuni masyarakat yang rata-ratanya menghulurkan tangan mengharapkan pembelaan daripada kita," ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa cabaran yang bakal dihadapi oleh setiap parti politik pada masa depan akan lebih hebat dan kompleks lagi berbanding sekarang kerana pendedahan maklumat oleh pihak media secara lebih terbuka, cepat dan telus terutama media internet.
"Pemenangnya ialah mereka yang berjaya menguasai media tersebut," katanya dengan optimis.
<< Home