Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, April 14, 2009

Bn masih terus lantik pemimpin ditolak rakyat- Malaysiakini




AYER KEROH - Barisan Kabinet yang diumumkan baru-baru ini masih meneruskan tradisi Barisan Nasional (BN) melantik menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang ditolak rakyat ketika pilihan raya.

Ahli jawatankuasa Penerangan Pas Melaka, Zaili Muhamad Imbiah berkata, pelantikan ini menimbulkan persoalan kepada rakyat sama ada BN kekurangan tokoh berwibawa sehingga terpaksa melantik enam senator baru bagi mengisi jawatan dalam Kabinet.

Sambil menamakan Tan Sri Koh Tsu Koon, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datin Paduka Chew Mei Fun, beliau berkata, persoalan itu akan timbul kerana daripada Ahli Parlimen BN melebihi 100 orang, enam individu ini dilantik sebagai senator untuk mengisi jawatan Kabinet.

“(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) juga masih mengekalkan saiz Kabinet yang besar walaupun pada mulanya berjanji membentuk kabinet yang lebih kecil apabila mempunyai 28 menteri dengan 25 kementerian berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran sebelum ini.

“Akibatnya, berlaku kekeliruan atau pertindihan kerja di antara satu kementerian dengan kementerian lain kerana mempunyai fungsi dan tugas yang hampir sama. Contohnya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang sepatutnya digabungkan bagi menggelakkan pembaziran wang rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Selain itu, Zaili berkata, Kabinet baru ini masih mengekalkan menteri-menteri atau timbalan-timbalan menteri yang lama walaupun mereka gagal menjalankan tugas dengan baik sebelum ini seperti Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datuk Johari Baharom dan Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

“Usaha pembersihan orang Pak Lah (bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) turut dijalankan, di mana tidak melantik Khairy Jamaludin sebagai anggota Kabinet, sebaliknya calon Ketua Pemuda UMNO yang kalah, iaitu Mukhriz Mahathir dan Timbalan Ketua Pemuda iaitu Datuk Razali Ibrahim pula yang dilantik,” katanya.