Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Sunday, October 11, 2009

Laksamana Raja Di Laut


TG KUDIN

Setelah hampir lima tahun saya meninggalkan kehidupan di laut yang penuh dengan pancaroba, tiba-tiba saya berpeluang kembali merasainya apabila seorang nelayan mempelawa saya menaiki perahunya ke tengah laut.

Saya tidak melepaskan kesempatan itu dan terus menerimanya bersama Ketua Penerangan PAS Masjid Tanah bagi mengambil gambar kapal yang didakwa berlabuh di sekitar perairan Melaka Barat di Kuala Sungai Baru sehingga menyebabkan pendapatan nelayan terjejas.

Dalam perjalanan ke tengah laut, secara tiba-tiba enjin perahu yang kami naiki padam. Maka terumbang-ambinglah kami hampir setengah jam lamanya ditengah laut di bawah panahan sinaran mentari yang terik di mana ianya menguji ketahanan kami di bulan puasa.

Mujurlah nelayan itu menelefon pekerjanya supaya membawa keluar sebuah bot nelayan yang besar sedikit bagi membawa kami ke destinasi yang ditujui sambil beliau cuba membaiki enjin perahu itu.

Jika tidak terapunglah kami dibawa arus sehingga ada orang yang datang membantu menarik perahu tersebut ke pengkalan. Apatah lagi dalam situasi panas matahari yang agak terik di bulan Ramadhan, saya membayangkan betapa mencabarnya para nelayan mengharungi ibadat puasa di laut.

Setelah mengambil beberapa keping gambar kapal itu kami bertolak pulang ke pengkalan sambil menarik perahu yang rosak tadi bersama kerana kerosakannya masih belum berjaya dibaiki.

Kami akhirnya berjaya sampai ke pengkalan Kuala Sungai Baru dengan selamat dan saya begitu bergembira kerana dapat merasai kembali suasana di laut walaupun untuk seketika bersama beberapa pengalaman dan pengajaran baru yang saya perolehi bagi menjadi bekalan di sepanjang kehidupsn ini.

Sesungguhnya kita ini diumpamakan berada di atas kapal yang sedang belayar lalu singgah sebentar di pulau bernama dunia bagi mengambil bekalan buat perjalanan yang masih jauh, tetapi di sini ada yang mempersiapkan bekalan secukupnya, ada yang terleka dengan pulau ini dan lebih malang ada yang ingin terus tinggal di pulau tersebut sehingga akhirnya tertinggal dalam kerugian yang sebenarnya.

Labels: