Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, August 11, 2009

Mana pergi perikemanusiaan - Malaysiakini


TG KUDIN

Saya bertolak dari Melaka bersama rakan-rakan ke Kuala Lumpur untuk menyertai perarakan 'Mansuhkan ISA' seawal jam 8 pagi kerana ingin sampai awal dan bagi mengelakkan kesesakan jalanraya yang dijangka akan berlaku dengan teruknya.

Kami menaiki dua buah bas melalui tol Ayer Keroh dan berjaya melepasinya walaupun diadakan sekatan jalanraya kerana kebanyakkan daripada kami tidak memakai pakaian sebagai peserta demonstrasi membantah ISA. Maklumat yang diterima menyatakan tiga orang rakan kami telah ditahan di tol Ayer Keroh dan tidak dapat menyertai rombongan kami.

Lebih kurang jam 11.30 kami tiba di Kuala Lumpur, suasana agak tenang dan ramai anggota polis kelihatan berkawal di sana-sini di mana ke tiga-tiga masjid iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek dan Masjid India ditutup buat sementara waktu. Ketika kami bertujuh melepasi anggota polis di depan Masjid India mereka menjerit 'tangkap ! tangkap ! lalu menangkap beberapa orang yang tidak bersalah sedangkan mereka menunggu untuk memasuki masjid. Mujur kami tidak tertangkap.

Selepas makan jam 12.30 tengahari kami cuba memasuki Masjid Negara kerana arahan mengatakan peserta dari Melaka berkumpul di situ tetapi kami dilarang oleh seorang anggota polis kerana arahan dikeluarkan supaya mengosongkan kawasan sekitar Masjid Negara. Rakan saya yang tidak berpuashati mempersoalkan bagaimana beberapa orang pelancong asing dibenarkan memasuki masjid sedangkan kami yang ingin bersolat dihalang.

Pada waktu azan zohor berkumandang baharulah kami dibenarkan memasuki masjid dengan melalui pemeriksaan polis yang begitu ketat. Selepas zohor jam 1.45 petang orang-ramai mula berkumpul di depan masjid dan Dr Hatta Ramli ingin memulakan ucapan tetapi dihalang oleh SB yang cuba menangkap beliau di mana ianya berjaya dihalang oleh penyokong PAS sehingga baju Dr Hatta terkoyak.

Dalam insiden tersebut beberapa orang telah ditangkap secara ganas dan ada yang dipijak oleh polis. Dr Hatta seterusnya memimpin kumpulan dari Masjid Negara ini berarak ke Jalan Kuching dengan disertai hampir puluhan ribu peserta daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa tetapi terpaksa bertempur dengan pihak polis di bulatan Jalan Kuching.

Kemudiannya, muncul FRU bersama trak meriam airnya terus menembak air yang memedihkan mata dan tubuh badan itu kepada orang-ramai. Saya bersama beberapa rakan dan LanH terus memasuki kawasan Kelab Sultan Sulaiman dengan harapan tidak dikerjakan oleh FRU kerana itu adalah kawasan orang kaya. Ternyata anggapan kami meleset, trak 'puaka' itu terus menembak air pedih ditambah dengan tembakan gas pemedih mata bertalu-talu ke arah kami sehingga saya ingin termuntah kerana mengalami kesesakan nafas.

Kesabaran saya mula hilang dengan mengeluarkan pelbagai sumpah-seranah kepada FRU yang telah menganiaya kami dan hati saya bertambah mengelegak panas apabila terpandangkan dua orang kanak-kanak sedang dipimpin bapanya menangis terjerit-jerit disebabkan kepedihan asap dan air kimia FRU di dalam kelab itu.

Bapanya mengatakan bahawa beliau bersama dua anaknya itu iaitu Mohd Shahir, 8 tahun dan Mohd Shahmi 5 tahun pergi ke masjid untuk bersolat tetapi ketika pulang dari masjid tiba-tiba ditembak dengan air dan gas pemedih mata. Saya berasa kesian tolong membasuhkan muka kanak-kanak itu bagi menghilangkan kepedihannya.

Kami seramai 300 orang yang terkepung di dalam kelab itu, sebenarnya sudah ingin bersurai tetapi ditembak dengan gas pemedih mata bertalu-talu tanpa belas-kasihan daripada jam 2.45 hingga 3.15 petang sehingga hampir pengsan kerana mengalami kesesakan nafas dan kepedihan mata serta muka. Beberapa orang memanjat pagar kelab itu dan berjaya memasuki kawasan Dataran Merdeka untuk menyelamatkan diri tetapi anggota polis menghambat dan menolak mereka masuk kembali ke kawasan kelab sehingga seorang pemuda tercedera di kakinya.

Jam 3.30 baharulah kami dibenarkan keluar dari kelab tersebut untuk bersurai. Saya tidak puas-hati dengan tindakan polis yang seolah-olah sengaja mendera kami tanpa perikemanusiaan dan melayan kami macam binatang. Polis seperti ingin membalas dendam dan memberi peringatan secukupnya kepada kami. Walaupun gas itu masih menyesakkan nafas saya hingga ketika saya menulis ini namun ianya tidak sekali-kali mematahkan semangat saya untuk berdemonstrasi lagi. Saya dan ribuan yang lain tidak sabar menantikan saat untuk berdemonstrasi lagi bagi memansuhkan akta zalim itu !