Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Sunday, October 25, 2009

Ratap tangis 'Ranah Minang'


TG KUDIN

Kepiluan dan kesayuan terus menyelimuti seluruh pelusuk 'Ranah Minang' (Tanah Minang) di Sumatera Barat, apabila gempa berukuran 7.9 Richter pada 30 September lalu telah meranapkan dan merosakkan hampir kesemua bangunan di kawasan terbabit serta meragut ribuan nyawa.

Ada yang kehilangan rumah dan harta-benda, ada yang kehilangan ahli keluarga, ada yang cedera atau mengalami kecacatan kekal dan lebih parah lagi kesan trauma berpanjangan yang dialami mereka adalah suatu cubaan yang begitu berat untuk ditanggung bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kesedihan tergambar di wajah ibu-ibu yang datang ke Posko (Bilik Operasi) kami meminta dipenuhi pelbagai barangan keperluan seperti selimut, makanan, kemudahan air bersih dan sebagainya. Guru dan murid juga tidak terkecuali terganggu emosi mereka sehingga proses pembelajaran tidak dapat dijalankan seperti biasa sementara menantikan bantuan pemerintah yang belum kunjung tiba.

"Untuk anak-anak sahaja, untuk guru-guru tiada bantuan pak, kami pun tak bisa jalani kehidupan seperti biasa lagi rumah kami pun hancur juga," ujar seorang guru menyampaikan hasrat rakannya yang lain ketika kunjungan relawan Partai Keadilan Sejahtera untuk memberi sumbangan kepada murid-murid terutamanya anak yatim-piatu.

Di Tandikat iaitu kawasan yang agak pendalaman sedikit kelihatan di kiri-kanan jalan kanak-kanak mahupun orang dewasa menadah kotak merayu derma simpati orang-ramai yang lalu-lalang merupakan suatu pemandangan baru di sini. Mereka terpaksa melupakan perasaan malu untuk meminta-minta kerana terdesak bagi memenuhi keperluan hidup.

"Rumah saya hancur terus pak, peralatan juga semuanya hancur dan kami sekarang tinggal di dalam tenda (khemah)," kata Darlis, 35, seorang ayah yang mempunyai tiga orang anak mengadu kepada penulis memohon bantuan alatan memasak dan barangan keperluan dapur. Walaupun beliau bersama isteri dan anak-anaknya terselamat tetapi dia buntu untuk memulakan kembali kehidupan setelah tinggal sehelai-sepinggang.

Perasaan saya begitu tersentuh bila terpandang seorang tua yang berjalan terbongkok-bongkok keluar daripada runtuhan rumahnya yang cuma tinggal bumbungnya sahaja dan kemudian duduk di muka pintu sambil merenung panjang akan nasib yang menimpa dirinya. Beliau tinggal bersama isterinya dan tidak mempunyai anak, ketika menghampirinya jelas kelihatan di raut wajahnya kesedihan yang dialami.

Beliau menceritakan bagaimana kejadian gempa itu berlaku sambil sesekali mengesat airmatanya, bingung mengenangkan kepada siapa ingin diadu, siapakah yang boleh membantu membina kembali rumahnya kerana dia sudah uzur dan tidak bermaya, apatah lagi rumah itu satu-satunya harta berharga kepunyaannya.

Walaupun pelbagai NGO telah datang membantu menyalurkan bantuan tetapi masih ramai lagi yang belum menerimanya terutama di kawasan pendalaman kerana kesukaran logistik dan perhubungan. Mereka memerlukan masa untuk memulai kehidupan semula dan rayuan misi kemanusiaan masih diperlukan.

Hulurkanlah sumbangan anda seberapa yang mampu, jangan hampakan mereka, kerana di sana saudara seagama dan serumpun dengan kita sedang berdepan ujian berat dan menunggu dengan penuh harapan! jangan biarkan ratap tangis Ranah Minang berterusan!

Labels: