Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Monday, January 10, 2011

PAS Melaka tidak wajar lagi fikir lahir anak sulung

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya dia mahu yang kedua dan sekiranya dia mempunyai dua lembah nescaya dia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi pertu anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat." (Riwayat Ahmad)
**

PILIHAN raya umum ke-13 semakin hampir, jadi sewajarlah parti-parti yang bertanding bersiap sedia. Namun masih ada saki baki masa untuk melakukan muhasabah diri dan pecutan terakhir. PAS Melaka yang belum memenangi sebuah kerusi pun sama ada di peringkat negeri dan Parlimen perlu tangkas bangkit, meyakinkan rakyat mereka berupaya menguasai kerajaan negeri sekali gus menghantar seorang Ketua Menteri baru daripada parti itu.

Ini kerana melalui pilihan raya umum lalu, PAS sudah berjaya menzahirkan kerusi di negeri-negeri Selatan yang tradisinya kubu kuat Umno iaitu Negeri Sembilan dan Johor tetapi di Melaka tetap sifar (0). Apabila hal ini berlaku, ada pemimpin dan penyokong masih dalam angan-agan untuk melahirkan anak sulung sama seperti pada pilihan raya sebelum ini, lantas usaha mereka setakat itu saja sedangkan jendela perlu dibuka seluas-luasnya.

PAS Melaka perlu perlu berusaha dan bekerja terangat keras bagi membuktikan kepada rakyat mereka mampu dan berhak merajui negeri ini, lantas menyakinkan rakyat terutama orang Melayu supaya memilih mereka. Jika ini tidak dilakukan dengan mereka masih dibuai angan-angan untuk melahirkan anak sulung, orang Melayu tidak akan ada keyakinan kepada mereka lantas PAS akan kecundang buat kesekian kalinya.

Kesempatan penulis berbual-bual dengan orang Melayu peringkat akar umbi termasuk daripada PAS sendiri menunjukkan bahawa mereka tidak bersedia dan tidak akan sesekali dapat menerima seorang tokoh daripada DAP (kemungkinan besar berbangsa Cina) menjadi Ketua Menteri negeri ini. Namun hal ini (kemungkinan seorang bukan Melayu menjadi Ketua Menteri) tidak dapat dielakkan jika gerak kerja PAS masih dalam angan-angan untuk melahirkan anak sulung.

Jumlah kerusi Dun Melaka adalah 28 buah. Ketika ini BN menguasai 23 daripadanya manakala DAP lima, manakala PAS dan PKR sifar (0). Daripada 28 kerusi, melalui pilihan raya 2008, DAP bertaruh 8 dan menang 5. PAS bertanding 13 kerusi tetapi kalah semua manakala PKR bertanding 7, juga kalah semua.

Seorang pemimpin PAS yang ditemui berkata, pada pilihan raya umum berikutnya, PAS dijangkakan bertanding di 13 kerusi, DAP 8 dan PKR 7 (sama seperti pilihan raya 2008). Berdasarkan ini, jika berlaku sedikit perubahan dengan sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat dengan diandaikan DAP menang di kesemua Dun (8), PAS mendapat 4 kerusi manakala PKR 3 kerusi, tentunya kerajaan negeri bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat, tetapi apa yang dibimbangi oleh rakyat peringkat akar umbi Melaka, DAP akan menerajui kerajaan negeri dan kemungkinan seorang bukan Melayu menjadi ketua menterinya.

Berdasarkan kegusaran rakyat peringkat akal umbi ini, ditambah dengan keghairahan sesetengah pemimpin PAS untuk hanya bercita-cita melahirkan anak sulung, tentunya ini tidak dapat meyakinkan rakyat terutama orang Melayu untuk mengundi PAS pada pilihan raya akan datang.

Apatahlah lagi kini berlaku gertakan sesetengah pemimpin Umno bahawa jika memberi sokongan kepada Umno-BN, terimalah padahnya nanti, kamu akan berketua-menterikan seorang bukan Melayu. Berdasarkan senario ini adalah amat penting bagi semua warga PAS, tidak kira pemimpin atau peringkat akar umbi bekerja tersangat keras di samping berdoa kepada Illahi agar dimenangkan PAS pada pilihan raya itu. Kerja keras itu bukan setakat untuk mendapat anak sulung, malah menang sekurang-kurangnya sembilan kerusi bagi membolehkan seorang ketua menteri Islam daripada PAS dilantik. Persoalannya, adakah gerak kerja sekarang adalah untuk menang sekurang-kurang sembilan kerusi atau tetap dengan nostalgia hendak melahirkan anak sulung?

Berdasarkan kehendak rakyat peringkat akar umbi, cita-cita melahirkan anak sulung sewajarnya sudah lama dikuburkan, kini PAS Negeri perlu memperhebatkan gerak saraf dan usaha bagi meyakinkan semua rakyat terutama orang Melayu bahawa ia benar-benar sudah bersedia untuk menggantikan Umno.

Ini sejajar dengan seminar ‘PAS sedia ganti Umno’ baru-baru ini yang pada majlis perasmiannya, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang antara lain menegaskan: “Kita kena memenangi undi orang Melayu yang bukan daripada kalangan kita, bukan ahli PAS. Pengundi Melayu tetap menjadi keutamaan untuk ‘dimenangi’ bagi memastikan Pakatan Rakyat memperolehi mandat bagi membentuk kerajaan baru.”

Persoalannya, sudah bersediakah orang Melayu Melaka memberi undi mereka kepada PAS? Pada pilihan raya umum Mac 2008, hanya ada satu dua kawasan saja PAS kalah kepada calon Umno (BN) dengan majoriti kecil (kurang 2,000) iaitu di N4 Lendu (majoritinya 1,633) apabila Iderris Kassim (BN) meraih 3,798 undi berbanding calon PAS, Mohd Amir Yaakub yang mendapat 2,165 undi dan di N9 Durian Tunggal (majoritinya 1,476) apabila Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman mendapat 2,841 undi manakala calon Umno-BN, Ab Wahab Ab Latip mendapat 4,713 undi.

Jika dilihat kepada komposisi kaum di kalangan pengundi di Dun ini (Lendu dan Durian Tunggal), kira-kira 72 dan 67 peratus masing-masing adalah Melayu; mungkinkah ini bermakna PAS mencatat peningkatan undi di kawasan yang sekalipun majoritinya Melayu tetapi mempunyai pengundi Cina dan India yang besar.

Di kawasan peratusan pengundi Melayunya sangat tinggi seperti di Tanjung Bidara (kira-kira 93 peratus), Ayer Limau (89 peratus), Serkam (87 peratus) dan Ayer Molek (84 peratus), undi yang diraih PAS tidak memberangsangkan. Di Tanjung Bidara PAS kalah dengan majoriti 3,304, di Ayer Limau 3,383 dan di Ayer Molek 2,279 undi. Apakah ini bermakna orang Melayu Melaka masih keberatan mengundi PAS?

Berlainan kegagalan PAS di kawasan majoriti pengundi Melayu yang sangat tinggi, di kawasan bercampur-campur misalnya di Parlimen Bukit Katil (P137), di mana pengundi Melayunya hanya kira-kira 51 peratus, calon PKR, Khalid Jaafar kalah dengan dengan majoriti kecil 1,758 undi. Malahan di Dun Bukit Baru dalam Parlimen yang sama di mana peratusan pengundi Melayunya hanya kira-kira 55 peratus, Ketua Menteri, Mohd Ali Rustam menang dengan majoriti 2,708 undi. Beliau memperolehi 7,644 undi berbanding calon PAS, Bakrin Sidek yang mendapat 4,936 undi.

Pada pilihan raya 2008 itu, DAP menang lima kerusi iaitu di Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Bachang dan Ayer Keroh. DAP tewas di tiga Dun - Duyong (N21) kepada calon MCA-BN dengan majoriti hanya 806 undi, di Klebang (N14) dengan majoriti 1,303 dan di Bemban (N24) dengan 2,141 undi.

Semua kekalahan DAP ini, majoritinya kecil saja, pada pilihan raya umum ke-13, kemungkinan besar DAP menang kelapan-lapan kerusi ini. Jika DAP menang lapan, PAS perlu menang sembilan untuk menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di negeri bersejarah Melaka. Berdasarkan peningkatan undi PAS di kawasan yang pengundinya lebih bersifat bercampur-campur (peratus pengundi Melayunya 50-60 peratus), PAS diramalkan boleh mendapat sebuah dua kerusi di kawasan seperti ini tetapi apakah hal di kawasan peratusan Melayunya tersangat tinggi seperti di Tanjung Bidara, Ayer Limau dan Ayer Molek? Inilah yang PAS perlu fikirkan, bagaimana mahu menukar pengundi pekat Umno ini untuk menyokong dan mengundi PAS atau setidak-tidaknya terus menyokong Umno tetapi mengundi PAS.

Kalau pengundi pekat Umno ini terus ditakut-takutkan jika mengundi PAS, Ketua Menteri akan bertukar tangan kepada DAP dan kemungkinannya seorang Cina; PAS akan terus tenggelam, gagal mendapatkan undi orang Melayu.

Berdasarkan senario inilah PAS perlu bekerja dengan tersangat kuat bagi meyakinkan pengundi tidak kira Melayu, Cina atau India mengundinya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri Pakatan Rakyat diterajuinya sendiri. Oleh itu keazaman dan usaha melahirkan anak sulung perlu ditukar kepada kerja tersangat keras bagi melahirkan anak sulung kembar sembilan.

Insya-Allah PAS boleh melakukannya dengan usaha yang tersangat kuat di samping berdoa kepada Allah SWT. Doa adalah senjata terkuat orang mukmim, insya-Allah PAS akan membuat perubahan paling hebat di Melaka, yang mantan Ketua Penerangannya, Dr Mujahid Yusuf Rawa pernah mengingatkan kira-kira sedekad lalu, Melayu Melaka insya-Allah akan berubah dalam tempoh 15 tahun. Kini masanya hampir tiba, 10 tahun sudah berlalu, Melaka akan berubah dalam tempoh lima tahun ini, lebih cepat lebih baik bagi kesejahteraan rakyat dunia dan akhirat.

Posted by Lanh.