Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Sunday, April 25, 2010

Isteri terharu terima sumbangan SPPM


Zaili menyampaikan sumbangan segera SPPM kepada Mesnah sambil disaksikan Fauzi.

TAMAN BUKIT TEMBAKAU - Sumbangan segera sebanyak RM1,000 daripada Skim Penyayang PAS Melaka (SPPM) bagi urusan pengkebumian menyebabkan seorang isteri terharu apabila mengenangkan ada pihak yang sudi meringankan sedikit kesusahan yang dialami beliau.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah dan Setiausaha PAS Cawangan Bukit Tembakau, Fauzi Maelah kepada Mesnah Musa iaitu balu kepada Kamarozaman Lep yang meninggal dunia baru-baru ini, di sini.

Menurut Zaili bahawa ini adalah salah satu bentuk bantuan segera yang kita usahakan untuk meringankan sedikit tangungan waris atau keluarga simati bagi urusan pengkebumian.

"Ini merupakan satu bentuk kebajikan yang kita rangka khususnya untuk rakyat Melaka merasainya tanpa mengira apa pun bentuk perbezaannya samada agama, kaum mahupun fahaman politiknya.

"Selepas ini kita akan cuba usahakan pelbagai bentuk bantuan lain kepada keluarga ini yang mempunyai anak seramai enam orang yang masih kecil dan memandangkan Mesnah sendiri mengalami masalah buah pinggang serta terpaksa menjalani rawatan hemodialisis sejak tiga tahun lalu," kata beliau.

Sementara itu, Mesnah yang masih bersedih lagi dengan kehilangan suami disebabkan penyakit kanser terharu dengan sumbangan itu dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh SPPM.

"Saya selama ini hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pemandu lori kerana saya tidak boleh bekerja disebabkan penyakit buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan hemodialisis sejak tiga tahun lalu.

"Jadi sekarang saya kena mulakan hidup baru dalam keadaan yang serba sukar disebabkan penyakit buah pinggang ini dan menanggung anak-anak yang masih kecil.

"Syukur kepada Allah kerana sumbangan yang kami sekeluarga terima daripada pihak-pihak yang prihatin selama ini sedikit sebanyak dapat meringankan kesulitan yang dialami," katanya.

Sesiapa yang ingin memberi sumbangan bolehlah memasukkan ke dalam akaun Maybank beliau bernombor 154053435866 atas nama Mesnah Musa.

Labels: