Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Monday, November 21, 2011

Exco: Monorel rosak 21 kali!



Oleh ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka Yang Kedua Belas di Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya, di sini dimaklumkan bahawa Monorel Melaka telah mengalami kerosakan sebanyak 21 kali sejak beroperasi.

Exco Melaka, Dato' Wira Latiff Tamby Chik menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan ke 14 yang dibangkitkan oleh Adun Kota Laksamana (DAP), Betty Chew Gek Cheng pada hari kedua persidangan.

"Semenjak beroperasi pada 20 Oktober 2010 hingga 30 September 2011 Monorel telah tergendala 21 kali, kos dibiayai pihak kontraktor Agibs Engineering & Construction Sdn Bhd kerana masih dalam tempoh jaminan pembaikan selama dua tahun dan tamat pada 19 Oktober 2012.

"Kutipan tiket RM131,384.50 manakala perbelanjaan operasi RM205,573.25 dan kerugian ditanggung Menara Taming Sari Berhad bagi tempoh tersebut RM74,188.75," kata beliau.

Betty kemudiannya bertanya pada soalan tambahan, adakah wajar diteruskan fasa kedua Monorel itu kerana ianya telah memberikan imej buruk kepada negeri maju seperti Melaka dan mengalami kerugian.

Sebaliknya, Latiff hanya mengatakan bahawa beliau yakin produk pelancongan tersebut akan berjaya dan menyifatkan kes pelancong terperangkap apabila keretapi Bukit Bendera tergendala pada 31 Julai 2009 lebih serius lagi.

Ini menyebabkan Betty membangkitkan soalan tambahan kedua dan terus meminta Latiff menjawab soalan sebenar yang dibangkitkan bukannya menyimpang ke Pulau Pinang.

"Berapa hari kamu di Melaka, kalau nak jadi isteri yang baik kamu kena duduk di Pulau Pinang, kosongkan kerusi kamu dan saya pasti BN akan memenangi kerusi tersebut," kata Latiff.

"Ini tak jawab soalan!, tak payah jawablah YB!," celah Betty.

Persidangan kali ini cuma dihadiri dua orang Adun DAP sahaja berikutan tiga lagi Adun yang digantung daripada menghadiri Persidangan Dun Melaka kerana mempertahankan judi bukan budaya orang Cina.

Labels: