Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Wednesday, July 30, 2008

Khalil Yaakob 'juara' bida nombor plat kereta negara

Zaili Muhammad Wed Jul 30, 08 7:26:53 am MYT

MELAKA, 30 Julai (Hrkh) - Gejala pembaziran yang berlaku di kalangan pemimpin Umno seperti 'irama dan lagu' yang tidak boleh dipisahkan walaupun pelbagai pendedahan telah dibuat, namun ianya tidak memberikan kesan kepada mereka.

Terbaru, Yang Dipertua (YDP) Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, yang juga merupakan bekas Menteri Besar Pahang, sekali lagi membida nombor pendaftaran kenderaan untuk dua buah kereta di Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka, sebanyak RM55,558.

Bidaan tersebut dibuat atas nama Tun Mohd Khalil Yaakob dengan nombor kad pengenalan 371229-06-5295 bagi nombor pendaftaran MBQ 1 sebanyak RM47,300 dan ianya merupakan jumlah bidaan yang tertinggi untuk nombor siri MBQ.

Manakala, beliau juga turut membida satu lagi nombor pendaftaran iaitu MBQ 11 sebanyak RM8,258 dan ini menjadikan jumlah bidaan yang dibuat oleh Tun Khalil sebanyak RM55,558.

Pada akhir November lalu, penduduk Melaka telah digemparkan apabila beliau bertindak membida dua nombor pendaftaran bagi nombor siri MBN iaitu bagi MBN 1 sebanyak RM56,100 dan MBN 8 dengan harga RM22,000 dan ini menjadikan nilai bidaan yang telah dibuat oleh Tun Khalil pada masa itu berjumlah RM78,100.

Secara keseluruhannya jumlah bidaan yang dibuat oleh Tun Khalil bagi empat buah kereta adalah sebanyak RM133,658 seterusnya mengalahkan rekod yang dipegang oleh bekas Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim yang menender nombor plat RG 1, RG 9, RG 12 dan RG 17 sehingga mencecah RM120,000.

Dalam pada rakyat dibebankan dengan kenaikkan harga minyak yang melampau sehinggakan ada yang makan pagi kais pagi, makan petang kais petang namun pada ketika yang sama pemimpin Umno-BN berlawan sesama sendiri mempamerkan kekayaan mereka secara terang kepada rakyat dan melakukan pembaziran wang rakyat tanpa rasa bersalah.

Penduduk Melaka juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri tergamak memberi pampasan yang sedikit, di mana cuma sebanyak RM1,600 kepada nelayan yang hilang punca pendapatan akibat daripada projek penambakan laut di sepanjang pantai Melaka tetapi pemimpin negeri boleh pula membazirkan ratusan ribu untuk membeli plat kereta!

Jadi amat wajarlah saranan Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, supaya bacaan doa yang khas dibacakan kepada YDP Melaka selepas 'Khutbah Jumaat' dihentikan kerana ianya menimbulkan suasana tidak tenteram dan kurang senang di kalangan jemaah solat yang tidak mahu bersubahat mendoakan kesejahteraan hidup seorang pemimpin yang membazir.

Apatah lagi, dua individu iaitu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Razali Alias dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Berserah, Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman, yang masing-masing telah membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Besar Pahang itu dalam isu balak.

Satu lagi laporan polis terhadap Khalil juga pernah dibuat oleh Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Pahang pada bulan September lalu tetapi kes tersebut telah diistiharkan ditutup oleh Pengarah Siasatan BPR, Dato' Mohd Shukri Abdul, baru-baru ini. - mks. _

Monday, July 28, 2008

Muzakarah : Umno hidung tak mancung pipi tersorong-sorong

TG KUDIN

Isu Muzakarah kembali bergema diwar-warkan oleh Umno-BN diseluruh pelusuk negara membingitkan lagi suasana negara yang sudah sedia kucar-kacir dek onar yang dibuat oleh beberapa pemimpin rakus, tamak haloba, gila kuasa dan hipokrit.

Mereka yang mulanya mengajak PAS untuk duduk sama berbincang kononnya atas dasar ingin menjaga hak dan kepentingan Islam serta orang Melayu, kini melakonkan kembali adegan terlampau menjijikkan malah begitu memualkan.

Digambarkan seolah-olah PAS terlalu terdesak ingin menjalinkan kerjasama perkongsian kuasa dengan golongan yang mereka tentang selama ini, PAS sudah keluar daripada fahaman politik sempit danPAS sudah tidak sabar untuk memegang tampuk pemerintahan di Malaysia ini.

Tetapi hakikat sebenarnya ialah Umno-BN sudah mula sedar akan kemerosotannya dan betapa tidak relevannya lagi parti itu dalam suasana negara pada hari ini lalu cuba melakukan pendekatan lunak untuk meraih kembali simpati daripada rakyat yang kebanyakkannya bersikap tunggu dan lihat memerhatikan reaksi kedua-dua belah pihak yang selama ini ibarat anjing dan kucing.

Mereka sudah begitu tertekan dan tersepit dengan kebangkitan rakyat secara keseluruhannya menolak Umno-BN pada PRU 12 baru-baru ini di mana kesannya menyebabkan ramai pemimpin Umno sakit jiwa, tidak dapat menerima kekalahan sehinggakan ada yang meninggal dunia.

Maka timbullah isu perkongsian kuasa di antara Pas dan Umno di dalam membentuk kerajaan melalui pelbagai formula pembahagian yang dikira menguntungkan ke dua-dua belah pihak atau 'win-win situation' seperti yang terjadi ke atas pertikaian Pulau Batu Puteh yang kini menyebabkan Malaysia putih mata.

Ketika mereka dalam keadaan kritikal ini, mereka cuba menggunakan talian hayat yang terakhir kerana bagi mereka jika sekiranya PAS berjaya dijinakkan maka jangka hayat Umno-BN akan
berjaya disambung kembali bagi mengekalkan 'survival' kuasa mereka yang diwarisi daripada penjajah.

Tetapi mereka hanya bermimpi kerana PAS tidak pernah melupakan peristiwa pahit ditendang oleh Umno sedikit masa dahulu bahkan ianya dijadikan sempadan bagi PAS agar tidak dipatuk oleh ular yang sama dan dari lubang yang sama.

Sebenarnya Umno-BN sudah hilang maruah hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, muka tembok sanggup menjilat kembali ludah mereka, mengapa mereka menolak Muzakarah yang dipelawa oleh Pemuda PAS selepas pilihan raya 2004 ?

Pada masa itu Pemuda PAS mengajak Umno duduk semeja berbincang mengenai nasib Islam dan orang Melayu di negara ini tetapi apa yang berlaku ialah pelbagai tohmahan buruk dilemparkan ke atas usaha murni tersebut. Bahkan dengan sombong mereka mengatakan ianya tidak perlu.

Hakikatnya kini PAS telah diakui sebagai 'kuasa penentu' dalam politik tanahair bagi kawan mahupun lawan maka tidak hairanlah Umno cuba bermain mata dan KeADILan serta DAP mula melahirkan keresahannya terhadap perkembangan tersebut.

Penyelesaiannya ialah sekiranya pemimpin dan ahli Umno ikhlas ingin mengangkat kembali maruah Islam dan bangsa Melayu mereka mesti sanggup membuang keegoan mereka itu dengan menguburkan Umno yang sudah luput tarikh itu, Umno kini bolehlah diibaratkan seperti pesakit Aids yang sedang menunggu saat kematian di atas katil hospital dan cuma bergantung kepada bantuan pernafasan. Kasihannya...

Seterusnya masuk ke dalam PAS untuk bersama-sama berjuang mengangkat kembali maruah Islam dan bangsa Melayu, meningkatkan ekonomi orang Melayu, meringankan kesempitan hidup rakyat Malaysia dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Atau seperti cadangan yang diutarakan oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdu Aziz Nik Mat iaitu supaya Umno dan PAS sama-sama membubarkan parti kemudiannya menubuhkan parti baru yang berlandaskan Islam bagi menjamin keadilan bagi umat Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Saturday, July 26, 2008

Satu lagi cara kerajaan tambah beban rakyat

Tarikh luput topi keledar ditetapkan lima tahun

Oleh Rosdalilah Zaharibhnews@bharian.com.my
JKJR perluas kempen bagi penunggang di seluruh negaraIPOH: Topi keledar akan ditetapkan tarikh luput penggunaannya selama lima tahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

# TG KUDIN

Ini merupakan satu lagi cara kerajaan Umno/BN hendak membebankan rakyat Malaysia yang sudah begitu sengsara menghadapi kenaikkan harga minyak dan baraang-barang.

Mengapa perlu ditetapkan tarikh luput kepada penggunaan topi keledar, apakah rasionalnya sedangkan di Vietnam rakyatnya bermotorsikal tanpa menggunakan topi keledar, kerajaan komunis itu memberi pilihan kepada rakyatnya samada ingin memakainya ataupun tidak.

Tetapi kerajaan kapitalis ini hanya memikirkan bagaimana ingin mengaut sebanyak mungkin hasil dan wang ringgit daripada rakyatnya, cukuplah sebelum ini kerajaan menguatkuasakan peraturan bodohLAH iaitu memasang lampu bagi motorsikal 24 jam, mensyaratkan pemasangan tali pinggang untuk penumpang di depan dan belakang kereta dan sebagainya.

Semuanya ini bukan untuk menjamin keselamatan para pengguna tetapi lebih kepada untuk memberikan kekayaan kepada syarikat kroni-kroni mereka, kalau tak percaya siapa yang dapat tender untuk jual bateri, lampu, topi keledar, tali pinggang dan sebagainya.

Rakyat diliwat lagi...

Thursday, July 24, 2008

Menara Taming Sari satu pembaziran

TG KUDIN

Ramai orang merungut kepada saya dengan mengatakan bahawa pembinaan Menara Taming Sari bernilai RM 24 juta oleh kerajaan negeri Melaka langsung tidak memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini khususnya kepada penduduk tempatan.

Bayaran yang dikenakan kepada orang ramai yang ingin menaikinya tidak munasabah iaitu berharga RM 20 untuk dewasa dan RM 10 bagi kanak-kanak malahan tempohnya cukup singkat iaitu selama 7 minit.

Cuba kita bayangkan kalau kita ingin membawa keluarga menikmati panorama indah yang dikatakan dapat dinikmati dari atas menara tersebut di mana sepasang suami-isteri berharga RM 40 dan bersama seorang anak berharga RM 10, maknanya untuk 7 minit kita telah menghabiskan sebanyak RM 50. Bagaimana pula kalau kita mempunyai keluarga yang besar sebagai contoh dua, tiga atau empat orang anak bukankah untuk perkara tidak mendatangkan faedah kepada kita dan keluarga, kita telah menghabiskan RM 100 untuk 7 minit.

Ini berbeza sekali dengan kos ketika kita menaiki Menara Kuala Lumpur, di mana dengan harga tiket yang lebih kurang sama kita boleh menikmati pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur dari atas menara tersebut sampai berapa lama yang kita suka pun tidak menjadi masalah atau sampai kita rasa jemu dan takut. Di atasnya ada disediakan teropong untuk kita melihat dengan lebih jelas dan terang serta ada disediakan tandas atau pelbagai kemudahan kepada pengunjung.

Saya syorkan kepada orang ramai supaya tak payahlah naik Menara Taming Sari ini kerana hanya membazirkan duit kita sahaja bahkan dalam masa yang sama hanya menguntungkan kroni Ali Rustam.

Menara Taming Sari itu sebenarnya bukanlah satu menara ianya adalah keris Taming Sari dalam versi baru atau bentuk moden yang muncul kembali bukan bertujuan untuk membela menegakkan keadilan rakyat tetapi digunakan untuk menikam dan menyula rakyat dari belakang tanpa kita sedari.

TG KUDIN - Kerajaan BN liwat kita lagi...

Tuesday, July 22, 2008

Kita lihat siapa yang kena

TG KUDIN

Suasana negara semakin menjadi tidak tentu hala dan kelam- kabut sekarang ini kerana pelbagai pendedahan dilakukan oleh ke dua-dua belah pihak yang bertelagah dan saling tuduh menuduh di antara satu sama lain seakan tiada penghujungnya.

Malah saban hari ada saja pendedahan baru yang timbul dan memeranjatkan kita yang selama ini tidak terduga bahawa perkara sedemikian rupa boleh terjadi di dalam negara kita yang tercinta ini.

Malaysia sudah menjadi negara Mafia, pelakon-pelakon yang terlibat adalah merupakan orang yang terkenal dan berpengaruh di negara kita ianya tak ubah seperti yang berlaku di dalam filem Hindustan, di mana pada permulaannya kita dipertontonkan iaitu kezaliman dan penindasan serta jenayah dilakukan oleh samseng jalanan.

Kemudian kita mendapati bahawa Ketua Polis juga terlibat memayungi perlakuan jahat para penjenayah itu, perasuah, terbabit dengan pengedaran dadah, pelacuran, along, perjudian dan kongsi gelap maka pejuang keadilan yang bangkit melawan segala penindasan itu percaya hanya mahkamah sahajalah satu-satunya tempat untuk mendapatkan pembelaan.

Malang rupanya mahkamah juga telah dikuasai oleh hakim 'correct-correct' , hakim gula hacks dan Peguam Negara penipu yang telah disediakan satu skrip filem yang terbaik abad ini bagi dipersembahkan kepada penonton malah penonton tiada pilihan untuk memilih filem mana yang mereka ingin tonton, mereka di paksa untuk melihat dan menerima kisah yang begitu jijik serta memualkan itu.

Akan bersambung lagi...

Wednesday, July 16, 2008

Demonstrasi bantah penahanan Anwar

Anwar ditahan polis bertopeng

Jul 16, 08 1:15pm

Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.

Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

# Tg Kudin

Apa yang kita jangkakan telah berlaku dan ianya terjadi buat kali ke dua. Kali ini janganlah kita lepaskan peluang untuk menjatuhkan Umno/BN seperti pada tahun 1998 dahulu di mana bantahan rakyat berjaya dikekang oleh kerajaan zalim ini. Kali ini kita lakukan demonstrasi bukan sekadar menuntut pembebasan Anwar tetapi berdemonstrasi sampai kerajaan zalim ini tunduk kepada kehendak rakyat yang mahukan keadilan ditegakkan di dalam negara yang tercinta ini.

Tuesday, July 15, 2008

Satu lagi pembaziran oleh Ali Rustam

MBMB belanja RM200,000 sebulan tanam bunga

Oleh Norizan Abdul Muhid (Utusan Melayu)

MELAKA 15 Julai - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah membelanjakan kira-kira RM200,000 sebulan untuk menanam pelbagai jenis bunga bagi mencantikkan lagi persekitaran bandar raya Melaka pada masa ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha itu sejajar dengan status Melaka sebagai negeri dalam taman dan bandar raya Warisan Dunia sekaligus menarik minat di kalangan pelancong luar untuk melawat negeri ini.

"Usaha meningkatkan landskap dengan meletakkan pokok-pokok bunga di pembahagi jalan dan menambah keceriaan dengan lampu jalan yang menarik telah pun dilaksanakan, semua ini untuk kesejahteraan rakyat,'' katanya.

# Tg Kudin

Inilah satu lagi kenyataan yang dibuat oleh Ali Rustam bagi mempertahankan projeknya yang jelas membazirkan wang rakyat khususnya di Melaka. Apakah faedah yang diperolehi daripada pokok bunga itu sehinggakan dengan mudah RM 200,000 dibelanjakan setiap bulan bagi memelihara dan menjaga pokok itu.

Tentu kontraktor yang menjalankan kerja-kerja memelihara pokok tersebut terdiri daripada kroni Ali Rustam, kalau tak percaya cuba tanya pada MBMB. Tujuan sebenarnya bukanlah hendak mencantikan bandar tetapi bertujuan untuk memberikan habuan projek kepada kroni dengan jalan mudah, tanyalah siapa dapat tender menghiasi lampu yang berkelipan di bandar Melaka, sedut pasir bagi penambakan laut dan projek Sungai Melaka.

Alangkah baiknya jika wang sebanyak itu digunakan bagi membantu nelayan pantai Klebang yang kehilangan punca pendapatan akibat penambakan laut, memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar anak Melaka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan sebagainya.

Sekiranya Ali sedar tentang amanah dan tanggungjawab yang digalas itu akan disoal di hadapan Allah kelak untuk dihitung dan kemudianya diberikan pembalasan ke atas apa yang telah dia lakukan ketika mentadbir negeri Melaka nescaya beliau tentu tidak berani melakukan pembaziran wang rakyat dengan sesuka hati.

Sunday, July 13, 2008

Selesaikan segera masalah nelayan


MELAKA, 9 Jul (Sinar Harian) - Kerajaan negeri diminta menyelesaikan segera pelbagai masalah yang dihadapi oleh para nelayan di negeri Melaka disebabkan projek pembangunan yang tidak dirancang dengan baik dan tanpa mengambilkira pandangan daripada para nelayan.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, bahawa kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh nelayan di negeri ini kerana ianya disebabkan oleh polisi pembangunan kerajaan yang meminggirkan nelayan.
"Hampir semua nelayan di sepanjang pantai Melaka menghadapi pelbagai masalah yang mengancam penghidupan mereka seperti sukar memperolehi minyak subsidi dan penambakan laut di pantai Klebang menyebabkan mereka seolah diberhentikan kerja dan terpaksa bergantung hidup dengan mencari tin dan botol kosong.
"Kerajaan negeri juga perlu menyelesaikan masalah nelayan di muara sungai Duyung yang sukar untuk turun keluar ke laut kerana muaranya yang cetek disebabkan pemendapan lumpur yang berlaku," kata Zaili
Jelasnya, ini merupakan tanggunjawab kerajaan negeri kerana mereka yang memindah dan menempatkan para nelayan tersebut ke situ bagi memberi laluan kepada projek Sungai Melaka dan projek penambakan laut di pantai Melaka atas nama pembangunan.
"Nelayan Melaka Barat juga bakal kehilangan punca pendapatan apabila projek perlombongan bijih timah dijalankan di kawasan penangkapan mereka dan sehingga kini masih belum ada jawapan daripada kerajaan negeri berhubung pampasan yang diminta oleh nelayan.
"Sebelum ini, para nelayan tidak menghadapi apa-apa masalah untuk turun ke laut dan berjaya memperolehi pendapatan yang boleh dikira agak lumayan, sesuai dengan pengorbanan yang mereka lakukan dengan menyabung-nyawa di tengah lautan," tambah beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa cadangan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Dato' Mohamad Hidhir Abu Hasan supaya nelayan lebih kreatif berkongsi bot untuk turun ke laut adalah tidak praktikal dan mengarut kerana ianya bukan membantu bahkan menyusahkan nelayan.
"Saya cabar beliau supaya turun ke laut berkongsi bot bersama nelayan sekali saja, supaya beliau dapat merasai dan mengetahui betapa tidak pratikal serta kreatifnya cadangan tersebut," ujarnya.
Seterusnya, beliau mengulangi cadangan supaya kerajaan negeri mewujudkan pampasan seperti 'Skim Perberhentian Pekerja' kepada nelayan yang kehilangan punca pendapatan dan menyediakan satu 'Dana Khas' bagi membantu nelayan untuk memulakan kehidupan yang baru.
"Dana itu nanti boleh digunakan oleh nelayan bagi memulakan perniagaan, membiayai pendidikan anak-anak nelayan, mencari pekerjaan baru dan sebagainya kerana ianya mampu meringankan kesusahan yang dialami setelah pendapatan mereka terjejas teruk," katanya.

Friday, July 11, 2008

Apa dah jadi ni... MusaNG Hasan

Polis lapor polis rasuah

SEREMBAN: Dua anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gemas, membuat laporan polis terhadap satu sama lain Selasa lalu dengan mendakwa masing-masing menerima habuan mewah hasil aktiviti haram. Laporan pertama dibuat anggota polis berpangkat lans koperal yang mendakwa dua rakan setugas berpangkat lebih tinggi menerima bayaran bulanan dan mengambil sebahagian besar daripada habuan itu, manakala bakinya diagihkan kepada rakan lain.

Bagaimanapun, seorang daripada anggota polis yang dituduh membuat laporan balas terhadap lans koperal berkenaan mendakwa dia juga terbabit dalam beberapa aktiviti haram lain yang memberi pulangan mewah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang, ketika dihubungi mengesahkan polis menerima kedua-dua laporan itu dan menyifatkan tuduhan itu serius, tetapi enggan mendedahkan butirannya kerana masih menjalankan siasatan.

Katanya, anggota polis yang dinamakan dalam kedua-dua laporan itu tetap bertugas dan tidak dikenakan sebarang tindakan sehingga siasatan selesai.

Wednesday, July 9, 2008

Doakan TYT selepas khutbah tak perlu

Zaili Muhammad

MELAKA, 8 Jul (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Melaka (DPPNM) mempersoalkan bacaan doa selepas khutbah Jumaat yang secara khusus ditujukan kepada Tuan Yang Dipertua (TYT) Tun Dato' Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, yang mula dibacakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Menurut Ketua DPPNM, Ustaz Kamaruddin Sidek, ia menimbulkan rasa kurang senang di kalangan para jemaah yang hadir kerana beliau merupakan bekas Setiausaha Agung Umno dan Menteri Besar Pahang yang pernah terpalit dengan isu rompakan balak di Pahang.

"Sebelum ini hanya nama Yang Dipertuan Agong saja yang disebut dan tiada disebut nama TYT negeri, tetapi selepas PRU-12 nama TYT disebut dalam bacaan doa secara khusus seolah-olah tarafnya sama macam Yang di-Pertuan Agong.

"Selepas ini individu tertentu juga mungkin akan meminta untuk disebutkan namanya dalam bacaan doa seperti Ketua Menteri, exco-exco dan sebagainya sedangkan doa ini khas untuk seluruh umat Islam bukan untuk orang tertentu sahaja," kata beliau.

Beliau juga menegur Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menyediakan teks khutbah untuk dibaca oleh khatib di Melaka supaya memberi penekanan kepada masalah setempat daripada isu-isu yang tidak berkaitan seperti jalan raya dan tiang letrik di bina oleh kerajaan.

"JAIM kena buat penjenamaan semula isi kandungan khutbah yang memfokuskan masalah sosial dan isu masyarakat setempat daripada menyentuh perkara yang tidak sepatutnya.
"Khutbah sepatutnya menumpukan perkara-perkara yang lebih 'segar' dan menyentuh rakyat serta keadaan semasa," katanya. - mns_

Monday, July 7, 2008

Protes atas PROTES


TG KUDIN
KELANA JAYA, 6 Jul - Ramai peserta yang menghadiri himpunan PROTES di Stadium Kelana Jaya melahirkan kekecewaan terhadap perjalanan aturcara program yang dikelolakan oleh pihak penganjur kerana ianya gagal membawa mesej bagi menyampaikan suara hati kesusahan rakyat berikutan kenaikan harga minyak.
Ramai yang tidak bersetuju program itu diadakan di dalam Stadium yang tertutup, diselang-selikan dengan persembahan muzik yang lintang -pukang dan bertambah parah lagi apabila penyanyi kumpulan Carburetor Dung, melondehkan seluarnya dengan membelakangkan penonton.
Saya diberitahu bahawa sebelah malamnya akan diadakan solat hajat selepas Isyak bersama TG Nik Aziz tetapi rupanya tiada, saya tak pasti siapakah yang sanggup menipu meyebarkan maklumat palsu itu, nasib baik kami dah balik selepas asar kalau tidak mesti terlihat adegan yang tak ingin dilihat itu.
Penganjur diingatkan lain kali kalau nak berdemo buatlah di tengah Kuala Lumpur, barulah real, mencabar dan mengerunkan pemerintah zalim ini. Saya harap PAS Pusat buat satu demo bagi membantah kenaikan harga minyak ini dengan mengarahkan setiap kawasan menghantar wakil-wakil sperti BERSIH dulu dan diketuai oleh TG Hj Hadi Awang.

Tuesday, July 1, 2008

Kerajaan negeri Melaka gopoh

MELAKA (Sinar Harian) - Kerajaan Negeri Melaka diselar kerana terburu-buru ingin melaksanakan projek perlombongan bijih timah di pesisiran pantai Kuala Sungai Baru tanpa mengkaji terlebih dulu kesannya kepada para nelayan dan eko-sistem kawasan tersebut.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, bahawa tindakan kerajaan negeri itu tidak bertanggungjawab dan hanya menjaga kepentingan pihak tertentu tanpa memikirkan masalah para nelayan yang bakal kehilangan punca pendapatan.
"Bagaimana kerajaan negeri boleh meluluskan projek ini dan saya difahamkan bahawa kerja pengorekan sudahpun dijalankan sedangkan kajian mengenai kesannya kepada eko-sistem dan 'survival' hidup nelayan belum lagi dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Dato' Mohamad Hidhir Abu Hassan yang mengatakan laporan impak projek tersebut belum siap sebelum mempertimbangkan syarat pampasan yang dikemukakan oleh nelayan terbabit sebelum ini.
"Nelayan mengadu pendapatan mereka terjejas teruk kerana projek itu memusnahkan lubuk ikan dan udang, merosakkan jaring atau pukat mereka dan tiada jaminan nelayan akan mendapat hasil seperti sebelumnya selepas 7 tahun projek itu dijalankan.
"Sebenarnya pampasan yang diminta itu tidaklah sebesar manapun kalau dibandingkan dengan
kerugian bagi jangka masa panjang yang akan ditanggung oleh mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup sebagai nelayan," kata Zaili.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan negeri sekiranya ingin meneruskan juga projek itu supaya merangka satu pelan tindakan yang lebih menjamin masa depan nelayan seperti Skim Perberhentian Pekerja yang biasa dilaksanakan di negara ini.
"Saya melihat kerajaan negeri berdolak-dalih dalam isu ini bagi melepaskan diri daripada bersungguh-sungguh ingin membantu para nelayan dan kita tidak mahu nasib malang yang menimpa nelayan di Klebang menerima pampasan RM 45 berulang lagi.
"Projek ini bukan sahaja menjejaskan 435 orang nelayan itu sahaja bahkan ianya akan
menjejaskan keseluruhan penduduk di sepanjang pantai tersebut yang bakal terdedah dengan pelbagai ancaman seperti hakisan pantai dan sebagainya," katanya.
Kerajaan negeri yang bertindak sebagai orang tengah kepada tiga syarikat bijih timah itu cuma bersetuju dengan pampasan sebanyak RM 1,600 untuk nelayan laut dalam dan RM 500 untuk nelayan kecil setahun.
Ali Rustam dalam kenyataannya sebelum ini meminta nelayan menerima sahaja pampasan yang telah dicadangkan itu dan kerajaan negeri tidak dapat berjanji untuk memenuhi permintaan nelayan kerana ianya bergantung kepada hasil pendapatan perlombongan bijih timah tersebut.