Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Sunday, July 13, 2008

Selesaikan segera masalah nelayan


MELAKA, 9 Jul (Sinar Harian) - Kerajaan negeri diminta menyelesaikan segera pelbagai masalah yang dihadapi oleh para nelayan di negeri Melaka disebabkan projek pembangunan yang tidak dirancang dengan baik dan tanpa mengambilkira pandangan daripada para nelayan.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, bahawa kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh nelayan di negeri ini kerana ianya disebabkan oleh polisi pembangunan kerajaan yang meminggirkan nelayan.
"Hampir semua nelayan di sepanjang pantai Melaka menghadapi pelbagai masalah yang mengancam penghidupan mereka seperti sukar memperolehi minyak subsidi dan penambakan laut di pantai Klebang menyebabkan mereka seolah diberhentikan kerja dan terpaksa bergantung hidup dengan mencari tin dan botol kosong.
"Kerajaan negeri juga perlu menyelesaikan masalah nelayan di muara sungai Duyung yang sukar untuk turun keluar ke laut kerana muaranya yang cetek disebabkan pemendapan lumpur yang berlaku," kata Zaili
Jelasnya, ini merupakan tanggunjawab kerajaan negeri kerana mereka yang memindah dan menempatkan para nelayan tersebut ke situ bagi memberi laluan kepada projek Sungai Melaka dan projek penambakan laut di pantai Melaka atas nama pembangunan.
"Nelayan Melaka Barat juga bakal kehilangan punca pendapatan apabila projek perlombongan bijih timah dijalankan di kawasan penangkapan mereka dan sehingga kini masih belum ada jawapan daripada kerajaan negeri berhubung pampasan yang diminta oleh nelayan.
"Sebelum ini, para nelayan tidak menghadapi apa-apa masalah untuk turun ke laut dan berjaya memperolehi pendapatan yang boleh dikira agak lumayan, sesuai dengan pengorbanan yang mereka lakukan dengan menyabung-nyawa di tengah lautan," tambah beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa cadangan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Dato' Mohamad Hidhir Abu Hasan supaya nelayan lebih kreatif berkongsi bot untuk turun ke laut adalah tidak praktikal dan mengarut kerana ianya bukan membantu bahkan menyusahkan nelayan.
"Saya cabar beliau supaya turun ke laut berkongsi bot bersama nelayan sekali saja, supaya beliau dapat merasai dan mengetahui betapa tidak pratikal serta kreatifnya cadangan tersebut," ujarnya.
Seterusnya, beliau mengulangi cadangan supaya kerajaan negeri mewujudkan pampasan seperti 'Skim Perberhentian Pekerja' kepada nelayan yang kehilangan punca pendapatan dan menyediakan satu 'Dana Khas' bagi membantu nelayan untuk memulakan kehidupan yang baru.
"Dana itu nanti boleh digunakan oleh nelayan bagi memulakan perniagaan, membiayai pendidikan anak-anak nelayan, mencari pekerjaan baru dan sebagainya kerana ianya mampu meringankan kesusahan yang dialami setelah pendapatan mereka terjejas teruk," katanya.