Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, July 1, 2008

Kerajaan negeri Melaka gopoh

MELAKA (Sinar Harian) - Kerajaan Negeri Melaka diselar kerana terburu-buru ingin melaksanakan projek perlombongan bijih timah di pesisiran pantai Kuala Sungai Baru tanpa mengkaji terlebih dulu kesannya kepada para nelayan dan eko-sistem kawasan tersebut.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, bahawa tindakan kerajaan negeri itu tidak bertanggungjawab dan hanya menjaga kepentingan pihak tertentu tanpa memikirkan masalah para nelayan yang bakal kehilangan punca pendapatan.
"Bagaimana kerajaan negeri boleh meluluskan projek ini dan saya difahamkan bahawa kerja pengorekan sudahpun dijalankan sedangkan kajian mengenai kesannya kepada eko-sistem dan 'survival' hidup nelayan belum lagi dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Dato' Mohamad Hidhir Abu Hassan yang mengatakan laporan impak projek tersebut belum siap sebelum mempertimbangkan syarat pampasan yang dikemukakan oleh nelayan terbabit sebelum ini.
"Nelayan mengadu pendapatan mereka terjejas teruk kerana projek itu memusnahkan lubuk ikan dan udang, merosakkan jaring atau pukat mereka dan tiada jaminan nelayan akan mendapat hasil seperti sebelumnya selepas 7 tahun projek itu dijalankan.
"Sebenarnya pampasan yang diminta itu tidaklah sebesar manapun kalau dibandingkan dengan
kerugian bagi jangka masa panjang yang akan ditanggung oleh mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup sebagai nelayan," kata Zaili.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan negeri sekiranya ingin meneruskan juga projek itu supaya merangka satu pelan tindakan yang lebih menjamin masa depan nelayan seperti Skim Perberhentian Pekerja yang biasa dilaksanakan di negara ini.
"Saya melihat kerajaan negeri berdolak-dalih dalam isu ini bagi melepaskan diri daripada bersungguh-sungguh ingin membantu para nelayan dan kita tidak mahu nasib malang yang menimpa nelayan di Klebang menerima pampasan RM 45 berulang lagi.
"Projek ini bukan sahaja menjejaskan 435 orang nelayan itu sahaja bahkan ianya akan
menjejaskan keseluruhan penduduk di sepanjang pantai tersebut yang bakal terdedah dengan pelbagai ancaman seperti hakisan pantai dan sebagainya," katanya.
Kerajaan negeri yang bertindak sebagai orang tengah kepada tiga syarikat bijih timah itu cuma bersetuju dengan pampasan sebanyak RM 1,600 untuk nelayan laut dalam dan RM 500 untuk nelayan kecil setahun.
Ali Rustam dalam kenyataannya sebelum ini meminta nelayan menerima sahaja pampasan yang telah dicadangkan itu dan kerajaan negeri tidak dapat berjanji untuk memenuhi permintaan nelayan kerana ianya bergantung kepada hasil pendapatan perlombongan bijih timah tersebut.