Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Monday, July 28, 2008

Muzakarah : Umno hidung tak mancung pipi tersorong-sorong

TG KUDIN

Isu Muzakarah kembali bergema diwar-warkan oleh Umno-BN diseluruh pelusuk negara membingitkan lagi suasana negara yang sudah sedia kucar-kacir dek onar yang dibuat oleh beberapa pemimpin rakus, tamak haloba, gila kuasa dan hipokrit.

Mereka yang mulanya mengajak PAS untuk duduk sama berbincang kononnya atas dasar ingin menjaga hak dan kepentingan Islam serta orang Melayu, kini melakonkan kembali adegan terlampau menjijikkan malah begitu memualkan.

Digambarkan seolah-olah PAS terlalu terdesak ingin menjalinkan kerjasama perkongsian kuasa dengan golongan yang mereka tentang selama ini, PAS sudah keluar daripada fahaman politik sempit danPAS sudah tidak sabar untuk memegang tampuk pemerintahan di Malaysia ini.

Tetapi hakikat sebenarnya ialah Umno-BN sudah mula sedar akan kemerosotannya dan betapa tidak relevannya lagi parti itu dalam suasana negara pada hari ini lalu cuba melakukan pendekatan lunak untuk meraih kembali simpati daripada rakyat yang kebanyakkannya bersikap tunggu dan lihat memerhatikan reaksi kedua-dua belah pihak yang selama ini ibarat anjing dan kucing.

Mereka sudah begitu tertekan dan tersepit dengan kebangkitan rakyat secara keseluruhannya menolak Umno-BN pada PRU 12 baru-baru ini di mana kesannya menyebabkan ramai pemimpin Umno sakit jiwa, tidak dapat menerima kekalahan sehinggakan ada yang meninggal dunia.

Maka timbullah isu perkongsian kuasa di antara Pas dan Umno di dalam membentuk kerajaan melalui pelbagai formula pembahagian yang dikira menguntungkan ke dua-dua belah pihak atau 'win-win situation' seperti yang terjadi ke atas pertikaian Pulau Batu Puteh yang kini menyebabkan Malaysia putih mata.

Ketika mereka dalam keadaan kritikal ini, mereka cuba menggunakan talian hayat yang terakhir kerana bagi mereka jika sekiranya PAS berjaya dijinakkan maka jangka hayat Umno-BN akan
berjaya disambung kembali bagi mengekalkan 'survival' kuasa mereka yang diwarisi daripada penjajah.

Tetapi mereka hanya bermimpi kerana PAS tidak pernah melupakan peristiwa pahit ditendang oleh Umno sedikit masa dahulu bahkan ianya dijadikan sempadan bagi PAS agar tidak dipatuk oleh ular yang sama dan dari lubang yang sama.

Sebenarnya Umno-BN sudah hilang maruah hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, muka tembok sanggup menjilat kembali ludah mereka, mengapa mereka menolak Muzakarah yang dipelawa oleh Pemuda PAS selepas pilihan raya 2004 ?

Pada masa itu Pemuda PAS mengajak Umno duduk semeja berbincang mengenai nasib Islam dan orang Melayu di negara ini tetapi apa yang berlaku ialah pelbagai tohmahan buruk dilemparkan ke atas usaha murni tersebut. Bahkan dengan sombong mereka mengatakan ianya tidak perlu.

Hakikatnya kini PAS telah diakui sebagai 'kuasa penentu' dalam politik tanahair bagi kawan mahupun lawan maka tidak hairanlah Umno cuba bermain mata dan KeADILan serta DAP mula melahirkan keresahannya terhadap perkembangan tersebut.

Penyelesaiannya ialah sekiranya pemimpin dan ahli Umno ikhlas ingin mengangkat kembali maruah Islam dan bangsa Melayu mereka mesti sanggup membuang keegoan mereka itu dengan menguburkan Umno yang sudah luput tarikh itu, Umno kini bolehlah diibaratkan seperti pesakit Aids yang sedang menunggu saat kematian di atas katil hospital dan cuma bergantung kepada bantuan pernafasan. Kasihannya...

Seterusnya masuk ke dalam PAS untuk bersama-sama berjuang mengangkat kembali maruah Islam dan bangsa Melayu, meningkatkan ekonomi orang Melayu, meringankan kesempitan hidup rakyat Malaysia dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Atau seperti cadangan yang diutarakan oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdu Aziz Nik Mat iaitu supaya Umno dan PAS sama-sama membubarkan parti kemudiannya menubuhkan parti baru yang berlandaskan Islam bagi menjamin keadilan bagi umat Islam dan bukan Islam di Malaysia.