Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, May 20, 2008

Ketuanan Melayu atau Penjajah

TG KUDIN

Umno melahirkan kebimbangan terhadap isu ketuanan Melayu yang kononnya mula terhakis selepas PRU 12 baru-baru ini dan menyaksikan 4 buah negeri yang selama ini dikuasai Umno/BN telah ditumbangkan oleh Pakatan Rakyat.

Melalui beberapa Ngo tajaanya Umno memukul canang ke serata pelusuk negara supaya diwujudkan perpaduan Melayu dengan segera sambil mengugut ketuanan Melayu akan hilang sekiranya penguasaan politik Umno di dalam negara ini tidak dipertahankan.

Padahal sebelum ini ketika Umno selesa dengan mendapat majoriti 2/3 undi mereka mendabik dada dengan bongkak dan sombong langsung tidak memperdulikan nasib orang Melayu, yang mereka fikir berapa komisen boleh dapat atau lubuk duit mana yang hendak dikebas.

Pemimpin Umno secara sengaja sedikit demi sedikit menghakis ketuanan Melayu bagi memenuhi nafsu serakah pemimpin mereka yang tamak haloba mengaut segala kekayaan hasil mahsul negara bagi kepentingan perut dan di bawah perut mereka.

Siapa yang mengurangkan kuasa Sultan dan raja-raja Melayu, siapa yang menghapuskan tulisan jawi, siapa yang menukar pembelajaran matematik dan sains dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, siapa yang menindas kerajaan pimpinan PAS Kelantan yang majoritinya Melayu, siapa yang menghapuskan biasiswa, siapa !!!

Benarlah seperti yang dikatakan oleh Naib Presiden PAS, Husam Musa, bahawa seruan ke arah perpaduan Melayu untuk menjamin ketuanan Melayu hanya membuang masa sahaja.

Demikianlah secebis rentetan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Umno selama 50 tahun memerintah Malaysia Dan ianya tidak akan berhenti setakat ini sahaja bahkan akan bertambah teruk sekiranya kita sebagai orang Melayu Islam yang masih mempunyai harga diri dan maruah tidak menghalang serta mengagalkan cita-cita jahat mereka itu.

Kisah malang orang Melayu bermula apabila kejatuhan Kerajaan Melayu Islam Melaka 1511 kepada Portugis sehinggalah ke hari ini dan penubuhan Umno merupakan malapetaka terbesar bagi umat Melayu di Malaysia ini yang pada asasnya ditubuhkan bagi mengekalkan hegemoni kuasa penjajah Inggeris dengan mewariskan kuasa pemerintahan kepada anak didik mereka iaitu Umno.

Umno ibarat darai yang berhias cantik di malam hari ketika menunggu pelanggan di celah lorong gelap saban malam tanpa jemu, ramai yang memuji kecantikannya bahkan ada yang tertawan dengan kelembutan suaranya yang bercampur garau tetapi sebaliknya apabila kita melihat di siang hari rupa-rupanya hanyalah satu kepalsuan dan tak ubah macam tongkang pecah!

Perjuangan orang Melayu silih berganti zaman berzaman menentang penjajahan dipatahkan oleh Inggeris dengan mewujudkan Umno, kemarahan orang Melayu diredakan dengan Umno, orang Melayu diberi janji palsu oleh Umno dan Melayu dikhayalkan oleh Umno.

Ketika orang Melayu telah sedar dan bangkit secara beramai-ramai bagi menuntut hak mereka, ketika itulah pula Inggeris melaksanakan pelan B iaitu meredakan sedikit kebangkitan perjuangan tersebut dengan menjanjikan kemerdekaan pada orang Melayu tapi mesti menerusi satu syarat utama iaitu mesti bertuankan Umno.

Pelan B ini digunakan oleh setiap penjajah barat ketika mana kuasa rakyat semakin kuat bangkit berjuang untuk memerdekakan negara dan penjajah sudah tidak mampu membendungnya lagi maka jalan selamat yang dipilih ialah melaksanakan peralihan kuasa kepada pemimpin boneka bagi mengekalkan kelangsungan kuasa mereka. Kini, Umno mencanangkan kembali perpaduan Melayu bagi menjamin ketuanan Melayu, persoalannya di sini apakah wujud ketuanan Melayu selama ini?

Melayu dan Islam

Melayu berkait rapat dengan Islam, ia ibarat isi dengan kulit atau ombak dengan pantai yang tak dapat dipisahkan, demikianlah akrabnya pertautan di antara ke dua-duanya. Seseorang itu dianggap Melayu apabila memeluk Islam dan begitu juga menjadi Islam jika ianya seorang Melayu.

Jadi jika kita katakan bahawa wujudnya ketuanan Melayu, di sana mesti ada ketuanan Islam, mesti ada pemerintahan Islam, dasar-dasar negara adalah Islam, sistem yang digunapakai ialah Islam dan yang paling utama meletakan Al-Quran dan sunnah sebagai perlembagaan yang tertinggi sekali di dalam sesebuah negara.

Sekiranya di dalam negara tersebut mempunyai ciri-ciri di atas maka baharulah kita katakan bahawa wujudnya ketuanan Melayu kerana Islam bukan sahaja menjamin ketuanan Melayu bahkan menjamin ketuanan semua kaum di muka bumi ini dengan menjamin hak kepada semua makhluk seadil-adilnya.

Sebenarnya selama ini kita bertuankan Melayu boneka bukannya Melayu sejati, Melayu yang sudah hilang jatidirinya, Melayu yang mengikut telunjuk kuasa besar penjajah dan lebih malang lagi pemikiran dan ketaatan mereka hanya kepada penjajah.Berwajahkan Melayu tapi sedikit pun tidak mempunyai hati dan perasaan terhadap kesusahan, kesengsaraan dan kemunduran orang Melayu.

Mereka rela Islam dihina dan diinjak-injak oleh musuh Islam tanpa berbuat apa-apa, mereka lemparkan perundangan Islam di belakang punggung mereka tanpa rasa takut kepada Allah.

Selama hampir 50 tahun pelbagai kertas-kerja telah dibentangkan, pelbagai resolusi telah dibuat, pelbagai diskusi diperbahaskan dengan penuh ilmiah oleh ramai pakar dan tokoh Melayu dalam pelbagai bidang namun sinar cahaya gemilang di hujung terowong yang diharapkan masih belum kelihatan lagi.

Mari Lakukan perubahan

Mari kita bersama melakukan perubahan hariini agar menjadi satu dari kisah sejarah yang bakal terpahat sebagai generasi perubahan yang mengembalikan ketuanan Melayu Islam di bumi tercinta ini dan menjadi kebanggaan pada anak-cucu kita di kemudian hari kelak.

Perubahan ini menuntut pengorbanan, samada kecil atau besar pengorbanan yang diberikan tidak penting tetapi apa yang penting ialah kita telah bersedia ke arah itu tanpa berpaling ke belakang lagi.

Masanya telah tiba untuk kita bersama-sama mengorak langkah bagi menjayakan satu cita-cita murni kita iaitu menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia ini yang mana pernah didaulatkan suatu ketika dahulu.