Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, September 8, 2009

Melaka sembelih lembu dan babi satu tempat - Malaysiakini



Pusat sembelih antara lembu dan babi yang terletak sebelah menyebelah.

TG KUDIN

MELAKA: 'Satu Malaysia, Satu pusat penyembelihan' agaknya cogankata yang paling sesuai bagi mengambarkan situasi sebenar yang terjadi di pusat penyembelihan utama negeri Melaka sejak puluhan tahun lalu kerana menjalankan kerja-kerja penyembelihan lembu dan babi di tempat yang sama.

Pusat penyembelihan bagi haiwan ruminan iaitu lembu atau kambing di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kompleks Abatoir, Ayer Keroh, di sini, itu juga dimaklumkan tidak mendapat kelulusan sijil halal daripada jabatan yang berkaitan sehingga sekarang kerana beberapa faktor yang meragukan.

Haiwan tersebut dibawa masuk melalui pintu yang sama dan tempat penyembelihannya cuma dipisahkan oleh satu tembok yang rendah, setiap kali babi dibawa keluar atau masuk ianya akan melalui kawasan kandang lembu yang dikumpulkan untuk disembelih.

Lokasi penyembelihan babi itu betul-betul terletak di tepi jalan Ayer Keroh Lama di mana ianya dianggarkan dalam jarak kurang 20 meter daripada jalanraya dan berhadapan dengan pintu masuk pusat tahanan Dusun Dato' Murad serta pagarnya ditutupi dengan semak-samun supaya tidak kelihatan daripada luar.

Sementara itu, tinjauan Harakah mendapati bahawa mereka menutup pintu pagar hadapan dan menggunakan laluan dari pintu pagar belakang yang agak sunyi sambil menjalankan penternakan burung unta di depan Jabatan Veterinar yang berhadapan Kota Fesyen Melaka International Trade Centre (MITC) bagi mengaburi daripada orang-ramai.

Ketika tinjauan dibuat, kelihatan seorang pekerja sedang memandikan babi tersebut dan memandangkan tempat penyembelihan babi itu agak tinggi sedikit daripada tempat penyembelihan lembu maka tidak mustahillah tempias atau apa sahaja bahan bawaan daripada babi itu akan mengenai lembu serta kawasan sekitarnya.

Menurut sumber yang tidak mahu dikenali bahawa perkara tersebut telah cuba dibangkitkan beberapa kali tetapi dihalang oleh pimpinan kerajaan negeri kerana beralasan untuk menjaga sensitiviti kaum dan tidak mahu menjadi isu yang akan membangkitkan kemarahan masyarakat Islam di Melaka.

"Saya rasa bersalah sekiranya tidak menghebahkan kepada rakyat Melaka khususnya orang Islam kerana lembu yang disembelih itu dipasarkan kepada mereka sedangkan status halal dan tahap kebersihannya diragui," kata beliau.

Situasi ini begitu membimbangkan kerana lokasinya yang terletak agak tinggi sedikit dan berhampiran kawasan tumpuan yang sibuk di mana jaraknya dengan Masjid Al Alami tidak sampai 100 meter serta turut menempatkan medan selera, pejabat kerajaan negeri, MITC, Planetarium Melaka dan pasaraya Mydin menjadikannya berisiko tinggi terhadap penularan virus selsema babi.

Jadi adakah ini punca yang menyebabkan Melaka menjadi antara negeri yang tertinggi di seluruh negara mencatatkan kadar kematian disebabkan selsema babi iaitu seramai 16 kes dan sebanyak 772 kes dicatat manakala 311 daripadanya didapati positif.

Jika ianya benar suatu tindakan efektif dan proaktif perlu dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membendung penularan virus ini seperti menutup pusat penyembelihan babi itu serta memindahkannya ke tempat lain supaya ancaman tersebut dapat dihapuskan, bukannya dengan sekadar mengedarkan risalah dan topeng percuma kepada rakyat sahaja.