Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, May 25, 2010

Tanah rezab sekolah diselewengkan kepada kroni Ali Rustam



ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Penduduk Taman Sri Krubong, di sini, membantah sekeras-kerasnya penyelewengan terhadap tanah yang pada awalnya direzabkan bagi pembinaan sekolah rendah kebangsaan oleh pihak pemaju tetapi telah dipindahmilik kepada enam orang kroni terdekat Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam.

Mereka adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato' Wira Ismail Saleh; bekas Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Dato' Kamarul Zaman bin Md Isa; Ketua Setiausaha Sulit Ketua Menteri Melaka, Rusnani Abd Latip; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Putra, Radhuana Salleh; Pegawai Protokol dan Istiadat Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Abdullah Mohd Taha dan bekas Pegawai Daerah Melaka Tengah, Abd Kadir Yaakup.

Pemaju telah memberikan tanah empat ekar lebih bagi kemudahan lebih 2,000 penduduk taman serta diluluskan sebagai 'Rezab Sekolah Rendah' pada tahun 2000 tetapi telah dipindahmilik pada 2007, malahan mereka dijanjikan dengan pembinaan sekolah tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008 dan ini membuatkan mereka rasa ditipu hidup-hidup.

Menurut Ahli Jawatankuasa KeADILan Cabang Tangga Batu, Sham Kamat, 42, bahawa mereka telah membuat laporan kepada SPRM Melaka pada Jun 2009 tetapi selepas hampir setahun diberitahu kes itu telah ditutup dan kerajaan negeri mengatakan ianya telah selesai.

"Saya tanya pada 3 Mei lalu, SPRM kata kes membabitkan lot 3077 Mukim Krubong itu telah ditutup dan dipindahmilik kembali sebagai rezab sekolah tapi bila saya semak di pejabat tanah pada 4 Mei, nama enam orang ini masih ada lagi lalu kita buat laporan polis pula.

"Kami benar-benar tidak puas hati dan merasa ditipu hidup-hidup kerana setelah ke pejabat tanah mendapati tanah itu masih lagi menjadi milik mereka," katanya ketika mendedahkan nama individu tersebut.

Beliau turut kesal dengan kejadian itu yang sepatutnya tidak berlaku kerana status tanah adalah untuk pembangunan yang tidak boleh dipindahmilik kepada individu dan mengatakan berlakunya salahguna kuasa serta penyelewengan.

Seorang penduduk, Ya'acob Hamid, 57, pesara, yang telah tinggal di situ hampir 13 tahun membantah tindakan tersebut yang hanya menguntungkan beberapa individu sahaja sedangkan penduduk taman yang begitu memerlukan kemudahan seperti sekolah dan dewan serbaguna dinafikan.

"Saya mahu tanah itu dikembalikan seperti sediakala bagi kemudahan orang ramai dan buat seperti cadangan dulu iaitu bina sekolah rendah kebangsaan, sekolah rendah agama dan dewan serbaguna kerana di sini tiada sekolah, yang terdekat di Krubong serta Cheng sudah padat.

"Kita terpaksa hantar ke sekolah di Malim sejauh tiga km, orang atas bagitau masalah dah selesai tapi tiada surat hitam putih, kita tunggu satu tahun masih sama lagi, sepatutnya tak boleh berlaku sebab ini bukan tanah anugerah kerajaan negeri.

"Saya perjuangkan ini sebab orang atas tak hiraukan dan penduduk taman salahkan saya, saya tak mahu perkara ini berterusan sehingga saya mati pun nanti orang akan salahkan juga," kata beliau.

Katanya, penduduk mengetahui tanah itu dipindahmilik pada tahun 2007 apabila diberitahu oleh Adun Paya Rumput yang menyatakan perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuannya yang berada di luar negeri ketika itu.

Menurut Basiron Abd Raman, 52, pesara, yang juga penduduk di situ, bahawa mereka sedang mengumpulkan tandatangan daripada penduduk taman dan Kampung Tampoi untuk diserahkan kepada Perdana Menteri serta Ketua Menteri Melaka supaya tindakan sewajarnya diambil.

"Kita mahu enam orang yang terlibat ini pulangkan balik tanah ini tanpa dibayar apa-apa pampasan daripada kerajaan negeri dengan menggunakan duit rakyat.

"Kita nak dewan yang boleh digunakan semua orang seperti buat kenduri, parking pun senang, kalau tak dapat sekolah rendah buatkan sekolah agama ataupun jadikan tanah wakaf berkomputer supaya senang warisnya mencari nanti," ujarnya.

Saturday, May 8, 2010

Pemuda PAS Tingkatkan program


Sejak akhir-akhir ini Umno pun dah mula merancakkan program agama bagi menunjukkan bahawa mereka juga memperjuangkan Islam di Malaysia ini seperti program lawatan ke makam Habib Noh yang dilakukan oleh Biro Agama Pemuda Umno Tangga Batu ini.

Oleh itu saya mengesa Pemuda PAS di setiap peringkat mempertingkatkan program penerangan dan dakwah dengan turun ke tengah masyarakat dan melakukan program yang dapat menarik penglibatan orang ramai seterusnya berjaya menyampaikan secara jelas mesej dan maklumat perjuangan PAS kepada mereka.

Labels: