Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Wednesday, August 4, 2010

Karnival Sukma diuruskan gengster?



ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Pengurusan Karnival Sukma ke 13 di perkarangan Stadium Hang Jebat, Kompleks Sukan Krubong, di sini, bukan sahaja didakwa lemah dan kelam-kabut bahkan diuruskan oleh gengster sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan para peniaga.

Karnival yang dianjurkan oleh KL Down Town Night Market Sdn Bhd itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan membangkitkan rasa ketakutan di kalangan peniaga sehingga 35 peniaga daripada 110 peniaga telah meninggalkan tapak berkenaan meskipun Sukma belum melabuhkan tirainya.

Menurut Laisah Laing, 38, peniaga makanan bahawa beliau membuat laporan polis di Balai Polis Tangjung Minyak kerana ditumbuk di muka, tudung ditarik sehingga tertanggal dan meja jualannya diterbalikkannya hanya kerana meminta menangguhkan bayaran sewa tapak berniaga.

"Kira-kira jam 10.30 malam, 13 Jun lalu, seorang petugas perempuan bersama beberapa petugas lelaki yang berlagak macam gengster datang meminta bayaran sewa tapak yang tertunggak dan saya minta tangguh sehingga esoknya lalu berlakulah pertengkaran.

"Petugas tersebut macam 'naik hantu' menterbalikkan meja jualan saya serta cuba membaling objek kepada saya, kemudiannya menarik tudung saya hingga tertanggal dan menumbuk muka serta lengan kiri saya seterusnya melarikan diri setelah dikejar orang-ramai," katanya.

Menurut Mohd Shahidan Abd Aziz, 21, peniaga minuman daripada Kedah, dia diugut dengan pisau oleh gengster tersebut dan diancam bunuh kerana mempersoalkan kutipan sewa tapak yang tidak telus.

"Dia minta duit sewa petak berniaga lebih daripada sepatutnya, resit pun tak bagi dan suka hati mereka tentukan baki sewa malahan ada yang dia minta lebih daripada peniaga lain.

"Bila saya bantah dia tunjukkan pisau pada saya dan bagitau awak tidur malam ni aku tikam dengan pisau ini dan jangan sampai Sukma ini ada kes bunuh," ujar beliau.

Tambahnya, kejadian ugutan dengan pisau itu dilakukan di depan dua anggota polis tetapi mereka buat tak nampak sahaja dan dia dihalang daripada membuat laporan polis sebaliknya laporan polis oleh gengster itu pula yang dibenarkan.

Seorang peniaga mee sup, Anuar Thalatha, 22, berkata, dia dipanggil ke pejabat penganjur dan dipukul oleh tujuh orang gengster termasuk wakil penganjur yang juga ketuanya, Mohd Rustam Roshandin kerana membangkitkan kejadian gangguan bekalan elektrik di gerai disewa mereka.

"Kita berniaga makanan yang terpaksa disimpan di dalam peti sejuk tetapi bekalan elektrik selalu tiada menyebabkan barang makanan kami rosak dan mendatangkan kerugian, bila kita tanya dengan baik mereka marah-marah pula," jelasnya.

Sementara itu, Hidayat Abd Kadir, 33, berniaga makanan mempersoalkan kegagalan pihak penganjur menyediakan permit sah untuk menjalankan perniagaan di tapak berkenaan sehingga sebilangan peniaga diberi notis oleh pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Penganjur kata dari 1 Jun hingga 30 Jun pelbagai program diadakan daripada pagi sampai malam tetapi yang ada hanya daripada 10 Jun hingga 19 Jun dan itu pun bukan bermula pagi tapi 4 petang.

"Ada peniaga dari Kuala Lumpur diberitahu program daripada 1 Mei hingga 30 Jun dan dah bayar sewa selama 2 bulan serta dijanjikan dengan pelbagai program seperti persembahan artis dan sebagainya tapi semuanya tiada," kesalnya.

Difahamkan sepanjang beberapa hari menjalankan aktiviti perniagaan di situ peniaga mendakwa terdapat kira-kira tujuh kes pergaduhan di antara pihak peniaga dengan penganjur sehingga ada yang melibatkan ugutan bunuh.