Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Wednesday, August 17, 2011

Wanita PR Melaka turut bantah lanjut operasi pusat hiburan


Oleh ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Wanita Pakatan Rakyat Melaka turut membantah tindakan melanjutkan operasi pusat hiburan sehingga ke 3 pagi kerana ia akan menyebabkan institusi keluarga menjadi lebih longgar sehingga berlakunya pelbagai gejala sosial dalam masyarakat.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man bahawa tindakan tersebut akan menyebabkan institusi keluarga akan menjadi longgar dan menambah-parahkan lagi gejala sosial kerana dengan peraturan sedia ada juga keadaan telah kronik.

"Sekiranya ditutup 12 malam pun masalah sosial telah tinggi apatah lagi dilanjutkan hingga 3 pagi ianya akan meningkat lagi dan institusi keluarga juga akan menjadi longgar.

"Wanita Pakatan Rakyat Melaka seru pengundi pengundi di Melaka untuk ubah kerajaan di Melaka kepada Pakatan Rakyat telah membawa kesejahteraan kepada rakyat di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat," kata beliau.

Menurut Ketua Wanita KeADILan Melaka, Mahani Masban, Wanita Pakatan Rakyat kecewa dengan tindakan tersebut khususnya kepada orang Melayu Islam kerana ianya membawa kepada keruntuhan moral.

"Kita kesal dan kecewa dengan kenyataan Ketua Menteri yang juga seorang Melayu Islam yang membawa kepada keruntuhan moral dan ini menunjukkan Melaka punya Ketua Menteri yang tak hormati budaya hidup kita di timur.

"Ini gambaran Ketua Menteri janji dunia hiburan tanpa sempadan masa dan kalau bertujuan untuk menarik pelancong, ini menunjukkan kedangkalan beliau dan kami malu serta kesal dengan tindakan tersebut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Muslimat Melaka, Shopiah Ahmad mempersoalkan mengapa Ketua Menteri mengambil tindakan secara tergesa-gesa yang tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat Melaka.

"Kenapa beliau asyik keluarkan idea yang rugikan belia dan remaja seperti 'Sekolah Harapan' yang menyebabkan rosak akhlak anak-anak dan ibu-bapa dah risau untuk didik anak-anak di Melaka.

"Kita minta Ketua Menteri ubah idea ini untuk bangunkan kembali maruah dan jatidiri anak-anak muda di Melaka yang sudah jauh tersasar" katanya.

Labels:

Tugu 1Malaysia, apa pendirian kerajaan negeri?


Oleh ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka meminta kerajaan negeri menyatakan pendirian berhubung pembinaan tugu 1Malaysia di pantai Klebang, di sini kerana ianya boleh menjurus kepada pemujaan.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya (2) PAS Melaka, Ustaz Mohd Noor Omar pembinaan tersebut boleh menjurus kepada pemujaan yang membawa kepada tergelincirnya aqidah umat Islam.

"kalau kita lihat bermulanya penyembahan berhala Arab jahiliah ialah bermula dengan pemujaan dan penyanjungan tokoh mereka yang pada asalnya dibuat tugu tapi lama-kelamaan jadi pemujaan berhala.

"Itu sebab kita bimbang 1Malaysia yang dianggap sebagai satu konsep tapi buat tugu untuk diingati akan menyebabkan tergelincirnya aqidah umat Islam di Malaysia khususnya di Melaka," ujar beliau.

Beliau turut menyarankan kerajaan negeri melaksanakan perkara yang lebih memberi manfaat kepada rakyat daripada melakukan perkara yang juga mendatangkan pembaziran kepada wang rakyat.

"Kita mahu kerajaan negeri nyatakan pendirian berhubung isu ini kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat tindakan kerajaan membina tugu “1Malaysia” adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala)," tegasnya.

Tugu tersebut bernilai RM352 ribu iaitu meningkat tiga kali ganda berbanding dengan harga pasaran sebanyak RM100 ribu, ianya dibina daripada tetulang besi dan tapak asasnya daripada konkrit simen, tingginya 58 kaki atau 17.7 meter dengan lebarnya 30 kaki atau 9.1 meter hanya dibaluti dengan kanvas di bahagian depan dan belakangnya.

Tugu tertinggi di Malaysia itu dibina sempena lawatan Najib ke Melaka pada 4 Februari 2010, antara aturcara majlisnya ialah perasmian Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dan pelancaran 1Malaysia serta jamuan rakyat di sebelah malamnya yang menelan belanja sebanyak RM600 ribu di mana ianya ditanggung kerajaan negeri.

Labels: