Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Friday, December 16, 2011

Melaka Maju dengan pembaziran


Melaka Maju dengan pembaziran

Oleh ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka telah mengistiharkan Melaka negeri maju pada 2010 dan sejajar dengan itu pelbagai projek mega diwujudkan bagi mencapai status tersebut tetapi akhirnya perancangan yang meminggirkan keperluan sebenar rakyat telah mengakibatkan berterusannya pembaziran.

Selepas keluar tol Ayer Keroh, kita akan disajikan dengan satu permandangan mendebarkan iaitu sebuah litar go-kart terbesar di Asia Tenggara bernilai RM12 juta tetapi kosong dan sunyi-sepi lalu ianya pasti akan menimbulkan pelbagai pertanyaan dalam diri kita.

Litar sepanjang 1.7 kilometer dan selebar 10 meter di kawasan seluas 11 hektar itu mula digunakan sejak Mei 2009 dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan diuruskan oleh Melaka International Motorsport Circuit (MIMC) sebelum ini tetapi disita 10 Ogos 2010 kerna MIMC gagal melunaskan bayaran sewa termasuk cukai taksiran berjumlah RM1.4 juta.

Antara faktornya adalah disebabkan tidak mendapat sambutan seperti yang dijangkakan, maka terpaksalah PKNM mengambil-alihnya semula dan menangung segala kerugian dengan menggunakan duit rakyat.

Di sini juga satu projek mega TRAM bernilai RM272 juta sepanjang 40 km dengan 23 stesyen ke Bandar Hilir telah diluluskan untuk dibina kononnya bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Melaka namun ianya dibantah DAP kerana bakal menjadi satu lagi projek pembaziran.

Kemudian, kita terus memandu tanpa membelok ke kanan atau ke kiri sehingga sampai ke Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bukit Beruang di mana dibina replika jam daripada pokok bunga bernilai RM500,00 dan kira-kira RM70,000 bagi bunga-bunga serta tanaman mengelilinginya tanpa diketahui apakah tujuannnya.

Bersebelahannya, Air Terjun Bukit Sebukor merupakan air terjun buatan manusia yang telah menghanguskan RM1.7 juta duit rakyat tanpa memberi apa-apa faedah atau pulangan kepada rakyat. Malahan dikhabarkan setiap bulan ribuan ringgit lagi terpaksa diperuntukkan bagi kos penyelenggaraan seperti bil elektrik, air serta kerja-kerja pembersihan.

Dari Bukit Beruang kita teruskan perjalanan hingga ke persimpangan Kampung Peringgit kemudiannya membelok ke kanan untuk ke Batu Berendam dan kita pasti merasai suatu pengalaman yang mencabar minda apabila terpandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang tiada kapalterbang.

LTAM yang bernilai RM383 juta mengalami kerugian RM6.58 juta sejak 2008 termasuk kos operasi RM300 ribu sebulan cuma mempunyai tiga kali penerbangan seminggu dan terpaksa menubuhkan Melaka Air dengan menyewa kapalterbang Firefly bagi menambah kepada lima kali seminggu.

Melaka Air diwujudkan 17 Jun 2011 dengan menyewa kapalterbang Firefly menggunakan pesawat ATR-72-500, penerbangan terus Subang-LTAM- Medan dan Medan-LTAM-Subang, dua kali seminggu iaitu isnin dan jumaat. Ia bakal merugikan kerana sekiranya tiada penumpang sewaan mesti dibayar juga.

Manakala, di Pusat Bandar Melaka iaitu di Taman Rempah kita boleh menemui satu lagi keajaiban Melaka Monorel bernilai RM15.9 juta yang rosak lebih 21 kali sejak dilancarkan dan kini dihentikan operasinya kerana mendatangkan bahaya kepada penggunanya.

Bermula sejak 20 Okt 2010 sejauh 1.6 kilometer menghubungkan Stesen Hang Jebat di Taman Rempah hingga Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya dan dijangka dipanjangkan 1.4 kilometer lagi dengan kos RM13.2 juta.

Di Stesen Hang Tuah pula kita disajikan dengan Roller Coaster bernilai RM10 juta yang belum pernah beroperasi dan terbiar sejak setahun lalu yang mungkin untuk dijual kepada peniaga besi buruk.

Bertentangannya pula iaitu di tapak bekas Perhentian Bas Ekpress Jalan Tun Ali tersergam Eye On Melaka dan Pirate Park bernilai RM3.3 juta yang hidup segan mati tak mahu sehingga terpaksa diserahkan kepada pihak swasta untuk menguruskannya.

Selain itu, jika kita menyusuri sungai Melaka dengan bot Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka yang ditegur oleh Jabatan Audit Negara berkenaan pelbagai kepincangan di dalam pengurusannya, kita akan bertemu dengan Kincir Air bernilai RM1.76 juta yang rosak tidak berfungsi di Bandar Hilir walaupun ribuan ringgit telah dibelanjakan bagi membaikinya.

Di muara sungai Melaka telah dibina Jeti Marina berharga RM24.3 juta yang jarang digunakan dan hanya dinikmati golongan elit yang mempunyai kapal layar dengan purata dua kapal layar parking sebulan.

Di sini juga tiga tahun lalu, dua bas London dengan jolokan 'Bas Ali Rustam' dikendalikan Perbadanan Melaka Culture & Tourism (PMCT) dibeli dengan harga RM200,000 setiap satu. Untuk makluman dua bas London ini sudah uzur (buatan 1981) dibeli dengan status bas terpakai daripada London Bus Export Ltd di United Kingdom.

Kini, amat malang bagi rakyat Melaka kerana wang pembelian dua bas ini sebanyak RM500,000 (termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan seperti pemasangan alat penghawa dingin berharga RM56,000) lebur dalam masa beberapa tahun saja.

Ini adalah kerana kenderaan terbabit yang menyediakan perkhidmatan di sekitar kawasan pelancongan pusat Bandaraya Melaka Bersejarah sejak 14 Ogos 2007 telah tersadai dan terpaksa ditempatkan di Kompleks Logistik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Batu Berendam.

Di Dataran 1Malaysia Klebang pula megah berdiri Tugu 1Malaysia bernilai RM352 ribu, ianya dibina daripada tetulang besi dan tapak asasnya daripada konkrit simen, tingginya 58 kaki atau 17.7 meter dengan lebarnya 30 kaki atau 9.1 meter hanya dibaluti dengan kanvas di bahagian depan dan belakangnya.

Terbaru, pembinaan projek Muzium Kapal Selam di sini, yang menelan belanja RM12.6 juta kos babitkan pengangkutan, dermaga, jalan, tapak kapal dan baik pulih melengkapkan senarai pembaziran Kerajaan Negeri Melaka.

Kapal selam SMD Ouessant jenis Agosta 70 buatan Perancis 1979 itu, di bawa dari Pengkalan Tentera Laut Perancis, Brest mempunyai ketinggian 11.75m, lebar 6.5m, panjang 67.57m sebelum ini, dimiliki TLDM untuk latihan krew scorpene 2005-2009 mengikut perjanjian pembelian scorpene 2002.

Labels: