Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Thursday, May 10, 2012

Melaka menuju muflis?

Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman menyifatkan 'Autocity' sebenarnya 'Autacity' selepas meninjau secara dekat.

Oleh ZAILI MUHAMMAD

Seringkali, apabila saya ditanya mengenai isu negeri Melaka maka jawapan spontan yang akan saya berikan ialah pembaziran berterusan dengan projek mega di negeri ini tanpa memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat.

Sedangkan segala hasil mahsul kekayaan negeri sepatutnya dinikmati oleh semua lapisan masyarakat samada berbentuk kemudahan asas, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan bagi melaksanakan tanggungjawab kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyatnya.

Rekod hutang negeri Melaka menunjukkan pada 1999 di awal pemerintahan Dato' Seri Mohd Ali Rustam ialah sebanyak RM482 juta tetapi selepas 12 tahun ianya semakin meningkat saban tahun kepada RM865 juta pada 2011.

Manakala simpanan tunai kerajaan negeri pada 1999 ialah RM234 juta dan terus merosot setiap tahun hingga tinggal RM8 juta pada 2011 di mana, ke dua-dua indikator ini amat jelas menggambarkan kepada kita bahawa Umno/BN Melaka sebagai sebuah kerajaan yang lemah, gagal dan tidak berwibawa mentadbir negeri ini.

Malah hutang kerajaan negeri pada 2010 sebanyak RM850 juta juga tidak dibayar sesen pun kepada kerajaan pusat dan Ali Rustam dengan selamba tanpa rasa bertanggungjawab berkata di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka bahawa ianya perkara biasa sebab kita ada'Big Brother' iaitu Kerajaan BN di pusat.

Persoalannya kemana pergi simpanan tunai yang banyak sebelum ini dan kenapa hutang negeri semakin bertambah? sedangkan dalam masa sama kebajikan rakyat terus terabai, pengangkutan awam semakin teruk di samping kehidupan rakyat terus dihimpit dengan kenaikan harga barangan, cukai, caj perkhidmatan dan pelbagai hutang.

Jawapannya mudah iaitu pertama, duit banyak dihabiskan kepada projek-projek mega dan membazir kerana kononnya dilakukan atas nama pelancongan bukannya untuk memenuhi keperluan rakyat tetapi hakikatnya sebagai jalan pintas bagi pemimpin negeri serta kroninya mengaut kekayaan tersebut.

Jika tidak bagaimana Ali Rustam boleh mempunyai wang yang banyak bagi merasuah perwakilan pada pemilihan Umno dan didapati bersalah oleh partinya sendiri sehingga beliau dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Antara projek itu ialah litar go-kart di Ayer Keroh berharga RM12 juta, menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka berjumlah RM240 juta, Monorel Melaka yang selalu rosak berharga RM15 juta, Roller Coaster yang terbiar berharga RM10 juta, Jeti Marina Melaka yang tidak digunakan berharga RM24.3 juta dan Planetarium Melaka berharga RM20 juta.

Ke dua, duit dihabiskan untuk membeli bangunan yang terbiar dan rugi serta menyelamatkan projek kroni yang gagal iaitu bangunan Melaka Mall yang dulu dikenali sebagai Kompleks Kotamas Melaka berharga RM54.92 juta, bangunan Digital Mall berharga RM52 juta, hotel terbiar di tebing sungai Melaka iaitu Riverside Hotel berjumlah RM31.77 juta, hotel terbiar di Bukit Katil iaitu Hotel Water City berharga RM47 juta dan selamatkan projek gagal Auto City di MITC Ayer Keroh berjumlah RM20 juta.

Pembelian bangunan terbiar serta projek gagal itu keseluruhannya berjumlah lebih RM200 juta dan ianya bersamaan dengan 50 peratus bajet tahunan kerajaan negeri di mana ianya bermakna separuh bajet negeri telah dihabiskan bagi tujuan tersebut, maka tidak hairanlah banyak kemudahan asas dan kebajikan rakyat Melaka sendiri terabai.

Akhir sekali, duit banyak dihabiskan bagi tujuan pelaburan kepada anak syarikat kerajaan negeri dan agensinya seterusnya mengalami kerugian contohnya Hospital Putra Specialist (RM59.82 juta); Melaka Mall Sdn. Bhd. (RM8.06 juta); Panorama Melaka Cultural & Tourist (RM3.04 juta); MITC (RM7.24 juta); Pertam Construction Sdn. Bhd. (RM7.3 juta); Eye On Malaysia (RM1.60 juta) dan sebagainya.

Jumlah keseluruhan kerugian ini sahaja mencecah hampir RM100 juta dan jika ianya dapat dielakkan maka banyak kemudahan asas kepada rakyat dapat disediakan termasuk dapat menjaga kebajikan kepada mereka terutamanya kepada golongan miskin.

Selanjutnya marilah kita bersama menolak kerajaan Umno/BN Melaka pada PRU13 nanti kerana terbukti telah gagal, lemah, tiada kewibawaan dan tidak cekap mentadbir negeri ini serta mengambil peringatan daripada pantun lama ini sebagi renungan semua:-

Kalau memilih tepian mandi,
Pertama teluk ke dua pantai,
Kalau memilih pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.