Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Monday, March 14, 2011

Iktibar dari Merlimau

Oleh ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Merlimau telah kita ketahui di mana majoriti BN meningkat sebanyak 1,489 kepada 3,643 undi berbanding 2,154 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 yang lalu.

PAS memperolehi 2,319 dan BN memperolehi 5,962 berbanding PRU 2008 PAS memperolehi 2,827 dan BN 4,981 dan ini menjadikan kemerosotan undi kepada PAS sebanyak 508 serta pertambahan undi kepada BN sebanyak 981.

Antara faktor yang begitu ketara menyumbang kepada kemerosotan undi PAS adalah sokongan pengundi India di Jasin Lalang beralih kepada BN daripada majoriti 89 undi pada PRU 2008 bertambah menjadi 369 undi iaitu pertambahan sebanyak 280 undi.

Begitu juga di peti undi lain yang majoritinya pengundi Melayu telah beralih sokongan memberikan undi kepada BN pada kali ini seperti di Merlimau Pasir yang menyaksikan majoriti BN meningkat daripada 393 undi kepada 755 undi.

Sogokan pelbagai bantuan telah berjaya menarik sokongan kaum India kepada BN pada kali ini di mana BN meluluskan kemudahan elektrik kepada sebuah kuil di Merlimau dan berjanji akan menyelesaikan masalah status tapak kuil tersebut serta mengumumkan pembinaan sebuah Sekolah Kebangsaan Tamil Merlimau berharga RM4 juta.

Manakala pengundi Melayu pula dilihat masih terpengaruh dengan politik kebendaan yang dimainkan oleh BN seperti jalan tar, pembinaan parit-longkang, baiki rumah, bantuan keperluan asas serta tidak yakin dengan kemampuan PAS dalam mempertahankan hak dan membela nasib mereka.

Ianya diburukkan lagi dengan peranan yang dimainkan PERKASA di dalam mengapi-apikan sentimen kaum dan agama sehingga meresahkan orang Melayu bahawa segala hak mereka akan tergadai di tangan PAS yang menjalinkan kerjasama dengan DAP serta KeADILan.

PAS juga dilihat gagal menggarap sebaik mungkin di dalam memberikan penerangan kepada orang Melayu tentang tohmahan BN bahawa PAS menjadi alat DAP untuk melemahkan ‘kuasa’ Melayu.

Pimpinan tidak dapat mengukur dengan tepat kekuatan parti di pelbagai peringkat yang amat diperlukan bagi merangka srategi jangka pendek di dalam tempoh kempen pilihan raya mengakibatkan berlakunya kepincangan dalam kelancaran gerakerja.

Selain itu, antara kelemahan ketara yang dikenalpasti adalah kekuatan yang sedia ada itu juga tidak dapat diuruskan dengan semaksima dan sebaik yang mungkin sehingga berlakunya kelompangan atau pertindihan tugas.

Maka ada petugas yang dibebankan dengan pelbagai tugas dan ada petugas yang tidak mempunyai tugas disebabkan berlakunya pertindihan kerja di antara satu sama lain, di samping kerja-kerja 'ad-hoc' yang dilakukan tidak mendatangkan kesan.

Berbeza dengan BN yang menggunakan seluruh jentera dan kemudahan kerajaan secara maksima di mana segala keistimewaan yang dimiliki itu digunakan secara tersusun serta terancang bermula dari peringkat memberikan pelbagai sogokan serta bantuan kepada pengundi hingga kepada serangan sentimen agama dan kaum.

Pimpinan BN khususnya bertaraf menteri daripada Umno juga mengamalkan pendekatan turun padang bertemu masyarakat apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob beberapa kali dilihat bersantai minum kopi di warung bersama-sama pemandu teksi di tengah-tengah pekan Merlimau.

Sehinggalah ke hari pengundian di mana penyokong Pakatan Rakyat terus terikut-ikut dengan rentak BN yang melakukan pelbagai provokasi melalui kata-kata lucah, makian dan aksi lucah sambil terjerit-jerit bagai orang gila.

DAP sebenarnya telah berjaya meyakinkan pengundi Cina agar mengundi PAS, sewajarnyalah fokus utama yang perlu diberi tumpuan ialah kepada pengundi Melayu yang masih tebal dengan Umnonya dan India yang masih kurang didekati oleh petugas PAS.

Walaubagaimanapun syabas dan tahniah diucapkan kepada para petugas serta semua yang bersungguh- sungguh terlibat membantu PAS dalam PRK ini samada yang mengorbankan masa, tenaga, wang dan sebagainya kerana sumbangan ikhlas tersebut begitu tinggi nilainya di sisi Allah.

Selain itu, di dalam PRK ini kerjasama rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat juga dapat dipereratkan lagi di mana ianya mampu memangkin kemenangan kepada Pakatan Rakyat di Melaka pada PRU nanti dan situasi ini begitu membimbangkan Umno-BN.

Apa yang penting di sini bukannya medan untuk menyalahkan sesiapa tetapi untuk kita bersama-sama bermuhasabah diri mengenai gerakerja khususnya PAS di semua peringkat agar yang mana lemah dapat kita kuatkan, yang mana longgar dapat kita ketatkan atau yang mana rosak dapat kita gantikan yang baru.

Bahkan Imam Syafie menggambarkan dalam syairnya yang sangat indah bahwa air yang tergenang akan busuk dan air yang mengalir akan bening serta jernih, malah seandainya matahari berhenti di ufuk timur terus menerus, nescaya manusia akan bosan dan tertekan.

Sekiranya tiada perubahan, maka dengan persiapan yang sama kita lakukan, dengan cara yang sama kita bekerja, dengan kekuatan serta kemampuan yang sama kita ada dan dengan kesilapan yang sama kita ulangi tidak mustahil kita juga akan memperolehi hasil atau keputusan yang sama berulang kali.

Labels:

Monday, March 7, 2011

Iktibar dari siri kekalahan PAS

Abd Shukur Harun

Ada beberapa iktibar dari siri kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil yang lalu – yang terkini Kerdau dan Merlimau. Petunjuk dan iktibar ini sangat perlu diberikan perhatian oleh PAS di semua peringkat.

Petunjuk itu ialah:

1. Persiapan PAS di peringkat akar umbi masih lemah, masih berada di ‘zon selesa’.

2. Kerja-kerja secara ad-hock dilakukan ketika kempen.

3. Belum mampu menangkis tohmahan BN bahawa PAS menjadi alat DAP untuk melemahkan ‘kuasa’ Melayu.

4. Berkesannya kempen perkauman yang masih ditiupkan oleh BN, terutama di kawasan pedalaman.

5. Penerangan PAS di peringkat akar umbi masih lemah.

6. Belum ada keupayaan PAS mendekati dan seterusnya menawan hati pengundi, khususnya di kawasan pedalaman.

7. Kesedaran politik di kalangan kebanyakan pengundi di pedalaman masih di tahap rendah.

Adalah sangat ketara dalam siri pilihan raya kecil di mana belum ada persiapan cukup di peringkat cawangan, kawasan, bahkan peringkat negeri untuk bertanding, walaupun keghairahan untuk bertanding di kalangan ahli sangat tinggi.

Sesetengahnya pula sentiasa membina harapan tinggi kepada pertolongan para pendukung PAS dari negeri-negeri lain. Dengan itu apabila berlaku pilihanraya kecil, biasanya yang diutamakan ialah mencari tempat untuk petugas luar beroperasi.

Ini bukanlah tidak penting, tetapi yang paling utama ialah mengatur gerak kerja peringkat cawangan, UPU dan sebagainya. Kemudian barulah membuat persiapan untuk menerima petugas luar kawasan.

Pimpinan negeri di mana pilihan raya akan diadakan belum dapat mengukur secara konkrit kekuatan sendiri di Dun atau Parlimen yang hendak ditandingi oleh PAS. Adalah tidak munasabah jika kekuatan diukur berdasarkan andaian atau agakan semata-mata.

Disebabkan belum cukup persiapan, maka kerja-kerja yang dilakukan seperti mengenal pasti kedudukan pengundi dan kaedah mendekatinya telah dibuat secara ad-hock. Hasilnya mengecewakan.

Sementara itu isu-isu yang dikira berkesan untuk diketengahkan kepada pengundi juga tidak dibincangkan secara khusus dan terperinci.

Yang paling ketara pendukung PAS belum dapat menangkis secara berkesan fitnah BN bahawa PAS menjadi alat DAP. Dari pengamatan saya, isu ini tidak digarap dengan baik oleh penceramah dan perayu undi PAS.

Mursyidul ‘Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat telah berulangkali mengeluarkan hujah bernas mengenai isu ini, di mana katanya, antara lain, persahabatan PAS dengan DAP, telah membuka peluang luas bagi menerangkan keadilan Islam dan sebagainya hingga semakin ramai orang bukan Islam menaruh minat untuk memahami Islam.

Hujah Tuan Guru lagi bahawa jika Islam selamat maka Melayu selamat, Cina selamat, India selamat dan kaum-kaum lain juga selamat. Tetapi jika Melayu selamat, belum tentu Islam selamat.

Hujahnya yang menarik ini belum lagi dihuraikan secara terperinci oleh pendukung PAS.

Pengertian ‘selamat’ jika Islam selamat serta tafsiran mengenai keadilan Islam juga belum lagi dihuraikan oleh para pengkempen PAS. Mendedahkan penyelewengan, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh BN memang sesuatu yang wajar, tetapi kegagalan menerangkan kefahaman Islam secara mudah dan berkesan kepada pengundi pedalaman adalah menghambat kemenangan PAS.

Sudah sampai masanya pendekatan ini dilakukan sesegera mungkin pada ketika PRU Ke-13 hampir tiba. Jentera penerangan adalah urat nadi dan penggerak utama sesebuah parti politik. Justru lemahnya jentera penerangan, bermakna lemahnya jentera parti.

Berdasarkan pengamatan kepada siri pilihan raya kecil, terutamanya di Hulu Selangor tempuh hari, di mana calon PKR pada masa itu kalah, kita menyaksikan betapa lemahnya jentera penerangan Pakatan Rakyat walaupin Pakatan Rakyat sudah memerintah Selangor.

Di samping itu Pakatan Rakyat perlulah meningkatkan penerangan mengenai kesedaran politik di kalangan pengundi, terutamanya di kawasan pedalaman. Dalam hal ini oleh kerana PAS berdepan dengan kebanyakan pengundi kawasan pedalaman, maka ia perlu menggandakan usahanya menerangkan kepada pengundi akan kesedaran politik, nilai dan haknya sebagai pengundi, kepentingan masa depan mereka dan sebagainya.

Suatu hal yang sangat menarik ialah semakin eratnya perpaduan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Dalam kempen PAS di Merlimau dan Kerdau beberapa hari lalu dan juga dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang, Manik Urai, Galas, Tenang dulu, para petugas DAP dan PKR memberikan bantuan yang sangat berkesan.

DAP telah menggerakan jentera kempennya yang sangat kuat membantu calon PAS secara maksima di kawasan pengundi Cina. Ini adalah manifestasi menunjukkan persahabatan eratnya dengan PAS.

Demikian juga PKR yang banyak berkempen di kawasan pengundi Melayu dan India juga menunjukkan kesungguhan membantu calon PAS. Ini adalah petanda yang sangat memberansangkan bahawa perpaduan dalam Pakatan Rakyat ini tetap utuh walaupun pelbagai usaha dilakulkan oleh musuh Pakatan untuk memecahkannya.

Saya yakin warga Pakatan Rakyat tidak merasa terlalu kecewa dengan siri-siri kekalahan PR dalam pilihan raya kecil yang dialami selama ini. Semangat PRU 2008 dulu di mana telah berlaku tsunami politik dengan kemenangan besar Pakatan Rakyat, tidak mustahil boleh disemarakkan kembali di mana kemenangan besar itu boleh diulangi kembali dengan syarat ada perancangan yang cukup, kerja berstrategi dan bijaksana.

Dari pengamatan saya, generasi muda, Insya-Allah, akan menyokong Pakatan Rakyat, khususnya dalam PRU Ke13 akan datang. Tetapi dalam masa yang sama kita sama sekali tidak meninggalkan generasi lama di mana saya sendiri adalah dari golongan generasi lama.

Namun saya berusaha memahami dan menyertai aspirasi generasi baru, justru mereka adalah masa depan Malaysia.

Labels: