Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, January 20, 2009

Tahniah kepada pengundi Kuala Terengganu - Malaysiakini




SEMABOK: PAS Melaka mengucapkan tahniah kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil P 36 Kuala Terengganu kerana membuat pilihan yang tepat dan bijak dengan memberikan sokongan dan kemenangan ke atas calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut, 52, baru-baru ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, kemenangan ini adalah merupakan petunjuk jelas bahawa pengundi sekarang sudah matang dan menggunakan dengan sebaik-baiknya ruang yang diberikan di dalam pilihan raya untuk memilih pemimpin yang menyantuni masyarakat.

"Alhamdullillah pengundi khususnya golongan muda sudah tidak termakan dengan umpan berupa sogokan materialistik lagi kerana mereka sedar semuanya itu adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah dalam menyediakan pelbagai kebajikan untuk rakyatnya.

"Apa yang mereka mahu ialah melihat sebuah kerajaan yang mengamalkan urustadbir yang baik, memastikan kebajikan rakyat terjamin, bebas rasuah, bertanggungjawab dan sentiasa turun padang menyelami dan menyantuni kehidupan sebenar masyarakat samada ketika senang mahupun ketika susah," katanya.

Zaili menambah Abdul Wahid merupakan Adun Wakaf Mempelam, iaitu salah satu Adun dalam Parlimen Kuala Terengganu sejak lima penggal iaitu dari tahun 1990 lagi di mana memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun atau Exco selama sepenggal dan sebagai Adun pembangkang beliau sentiasa menyuarakan permasalahan rakyat agar diambil perhatian.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Parti KeADILan Rakyat dan DAP yang bersama-sama kita di dalam Pakatan Rakyat yang turut sama membantu kempen bagi memenangkan calon PAS dan semangat kerjasama jitu yang ditunjukan ini berjaya menarik sokongan luar biasa.

"Saya juga berharap agar momentum kemenangan ini akan dapat dikekalkan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke 13 nanti dan untuk itu para petugas serta penyokong PAS dan Pakatan Rakyat perlulah melipat-gandakan usaha serta gerakerja menyantuni masyarakat yang rata-ratanya menghulurkan tangan mengharapkan pembelaan daripada kita," ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa cabaran yang bakal dihadapi oleh setiap parti politik pada masa depan akan lebih hebat dan kompleks lagi berbanding sekarang kerana pendedahan maklumat oleh pihak media secara lebih terbuka, cepat dan telus terutama media internet.

"Pemenangnya ialah mereka yang berjaya menguasai media tersebut," katanya dengan optimis.

Wednesday, January 7, 2009

Melaka abaikan kebajikan rakyatnya - Malaysiakini


TG KUDIN

Awal tahun 2008 menyaksikan rakyat Melaka mempertikaikan kos yang begitu besar bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan Sungai Melaka sebanyak RM 335 juta sedangkan kualiti airnya masih seperti dulu dan diakui sendiri oleh Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam.

Projek ini banyak mendatangkan keburukan seperti bangunan MARA yang menempatkan peniaga bumiputera telah dirobohkan, kekerapan berlakunya banjir kilat dan menjejaskan pendapatan nelayan yang dihalau keluar dari Sungai Melaka.

Selain itu, tinjauan Harakah mendapati perkhidmatan bot penumpang yang disediakan oleh Melaka River Cruise untuk pengunjung menyusuri sungai dan ideanya dicetuskan oleh Mohd Ali juga tidak mendapat sambutan malah hanya tersadai menunggu penumpang.

Isu penambakan laut di Melaka juga hangat dipertikaikan kerana ianya mendatangkan banyak keburukan kepada penduduk Melaka seperti kehilangan punca pendapatan nelayan pesisir pantai dan tradisional, banjir kilat, menjejaskan industri belacan dan cencalok, kerosakan teruk eko-sistem laut dan pemendapan lumpur di muara Sungai Melaka.

Ianya bermula 1980 an di Melaka Raya kemudian pula sekitar 1990 an penambakan Pulau Melaka yang merupakan pulau buatan berkembar seluas 40 hektar bernilai hampir RM 2 bilion tetapi projek Pulau Kembar Sdn Bhd iaitu anak syarikat Talam Corporation Bhd itu sudah hampir 10 tahun terbengkalai.

Malahan, Jeti Parameswara yang berharga RM 13 juta juga terbengkalai tidak boleh digunakan sebaik sahaja siap akibat mendapan lumpur yang berlaku berpunca dari projek Pulau Melaka.

Penambakan diteruskan lagi dari Taman Kota Laksamana hingga ke pantai Klebang melebar dari daratan tengah laut berhampiran Pulau Upeh mencapai hampir 1/3 daripada keseluruhan 96 km pantai di Melaka dan kerajaan negeri langsung tidak memperdulikan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) pada tahun 2000.

Nasib para nelayan juga tidak mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri seperti pampasan yang diberikan kepada 577 nelayan di sekitar Klebang hanya serendah RM 45 hingga RM 360 manakala bayaran pampasan pada kali ke tiga sekitar RM 1,600 dan RM 3,200.

Bagi 435 nelayan Melaka Barat pula yang terjejas berikutan kerja-kerja pengorekan bijih timah di perairan laut Kuala Sungai Baru hanya ditawarkan pampasan RM 1,600 setahun.

Berbanding, dengan tuntutan yang dikemukakan oleh nelayan iaitu RM 1,900 untuk nelayan laut dalam dan RM 900 untuk nelayan kecil untuk sebulan selama 7 tahun aktiviti perlombongan itu berjalan seperti yang dirancangkan dan ini memaksa mereka mengadakan demonstrasi aman akhir Mei lalu.

Manakala nelayan di Sungai Duyong seramai 645 orang yang dipindahkan dari Sungai Melaka masih mengalami masalah pemendapan lumpur di muara sungai yang menyukarkan dan membahayakan mereka walaupun dua projek bernilai RM 7.7 juta telah dilaksanakan.

Pembaziran atas nama pelancongan terus menjadi resipi utama kerajaan negeri bagi mengekalkan sokongan pengundi seperti Eye On Malaysia RM 40 juta, Menara Taming Sari RM 23 juta dan paling melucukan apabila Shah Rukh Khan dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Dato' maka tidak hairanlah hutang kerajaan negeri meningkat menjadi RM 1.1 bilion pada 2007 dan pasti meningkat lagi pada 2008.

Sementara itu, Yang di-Pertua (YDP) Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, begitu angkuh mempamerkan kekayaannya dengan membida nombor pendaftaran MBN 1 sebanyak RM 56,100; MBN 8 dengan harga RM 22,000; MBQ 1 sebanyak RM 47,300 dan MBQ 11 sebanyak RM 8,258 seterusnya menjadikan nilai bidaannya bagi empat buah kereta adalah sebanyak RM 133,658.

Isu babi di Masjid Tanah juga mewarnai kembali suasana politik di Melaka bertujuan membangkitkan emosi perkauman oleh pihak tertentu serta untuk menonjolkan diri seseorang pemimpin atau parti dan menurut Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, sepatutnya ia sudah diselesaikan.

Kekecohan mula timbul apabila pihak yang tak bertanggungjawab itu membuang tubuh badan babi di pantai Pengkalan Balak, kemudiannya mereka mengantung kepala babi di pagar rumah seorang Ahli Jawatankuasa Pemantau Babi dan di kain rentang Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di Masjid Tanah.

Berikutan itu, kira-kira 600 orang yang terdiri daripada beberapa NGO diketuai Timbalan Pewaris Pusat, Rahimuddin Md Harun mengadakan demonstrasi bantahan dan menghantar memorandum kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pengeluaran Babi, Dato' Wira Abu Seman Yusop serta turut membakar replika 5 ekor babi sebagai simbolik agar ladang ternakan babi di Melaka ditutup.

Akhirnya tirai kegagalan 2008 dilengkapkan oleh Ali Rustam, apabila menyerahkan Syarikat Air Melaka Berhad kepada Pengurusan Aset Air Bhd, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan bagi melangsaikan hutang sebanyak RM 770 juta dengan kerajaan pusat. Inilah dia bakal Timbalan Perdana Menteri Malaysia?

Gambar penamaan PRK Kuala Terengganu - Malaysiakini




TG KUDIN

Suasana perarakan Pakatan Rakyat berjalan dalam suasana aman dan penuh dengan ukhuwah sesama Islam mahupun bukan Islam yang bersama-sama berganding bahu mengiringi calon dari PAS ke Pusat Penamaan Calon.

Tetapi suatu perkara yang pelik pada kali ini ialah jarak antara kedua-dua penyokong berhimpun terlalu jauh hampir 200 meter dan tidak nampak antara satu sama lain.

Ini mungkin disebabkan faktor Umno/Bn takut untuk berhadapan dengan calon Pakatan Rakyat yang berjumlah puluhan ribu yang berhimpun sejak pagi lagi menaiki kenderaan sendiri. Berbeza dengan penyokong Umno/Bn yang dibawa menaiki bas daripada Johor, Melaka, Pahang dan Selangor bagi menampung kekurangan penyokong mereka di kalangan orang tempatan pada kali ini.

Dari tinjauan rambang pada ceramah Pakatan Rakyat yang membariskan Mursyidul dan Presiden PAS, Anwar dan Lim Kit Siang pada sebelah malamnya mengambarkan betapa sukarnya Umno untuk berlawan dengan PAS jika berdepan di atas padang yang sama rata.

InsyaAllah sekiranya segala penipuan, penyelewangan dan slahguna kuasa Umno/Bn dapat dikalahkan nescaya PAS akan menang pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu ini.