Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, October 14, 2008

Dato' Shah Rukh Khan hina orang Melaka - Malaysiakini

TG KUDIN

Apabila saya mendapat berita pelakon terkenal Bollywood Shah Rukh Khan (SRK) mendapat penganugerahan Dato' oleh Kerajaan Negeri Melaka, saya terus cuba menafikan secara perlahan-lahan dan berharap bahawa ianya hanya gossip terbaru dunia hiburan.

Tetapi setelah beberapa ketika saya terpaksa menerima hakikat bahawa berita itu adalah benar dan tiada yang benar melainkan ianya benar belaka. Malah Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam mempertahankan tindakan itu dengan satu hujah dangkal iaitu ianya dilakukan untuk menggalakkan industri perfileman di Melaka.

Ramai orang bertanya kepada saya apakah sumbangan yang telah dilakukan oleh SRK kepada Negeri Melaka sehinggakan beliau mendapat penganugerahan yang begitu hebat itu. Ini menambahkan lagi koleksi kepandiran pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di bawah pemerintahan Umno-Bn yang diterajui Ali Rustam.

Ada orang mengatakan bahawa tujuan anugerah itu sebenarnya diarahkan oleh Ali Rustam bagi mengembirakan bakal 'First Lady' Malaysia iaitu Datin Rosmah Mansor yang begitu meminati pelakon Bollywood dan pernah mengemparkan negara melalui ciuman mesranya bersama pelakon Hindustan sedikit masa dulu.

Sekiranya Ali berjaya menawan hati Rosmah maka mudahlah beliau meminta tolong daripada Najib agar menerimanya sebagai regu untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno yang bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Walaupun calon yang popular ketika ini ialah Muhyiddin Yassin namun Ali masih lagi memasang angan-angan.

Jelas sekali lawak jenaka yang dilakukan oleh Ali Rustam pada kali ini betul-betl mengelikan hati dan khabarnya SRK langsung tidak menghargai penganugerahan tersebut dengan tidak hadir pada hari majlis itu berlangsung. Bukan sahaja memalukan bahkan menghina rakyat Melaka yang selama ini bertungkus-lumus mempertahankan dan berusaha memajukan negeri tercinta.

Ali lebih suka dikenang orang sebagai seorang Ketua Menteri yang mengutamakan orang luar daripada anak tempatan maka jadilah dikatakan orang 'anak kera disusukan, anak sendiri mati kelaparan', alahai Ali Rustam...