Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Sunday, October 5, 2008

Penangguhan bagi kekalkan kuasa - Malaysiakini

Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadual diadakan pada Disember ini kepada Mac tahun depan menyerlahkan lagi perebutan kuasa yang semakin parah di dalam Umno dan mempercepatkan lagi proses kehancuran Umno yang sudah ditolak oleh majoriti rakyat di dalam negara ini.

"Tujuan sebenar Pak Lah menangguhkan PAU ialah sebagai salah-satu srategi baginya mengekalkan kuasa di mana tempoh masa di sepanjang penangguhan ini akan digunakan sebaik mungkin oleh beliau untuk meraih sokongan daripada perwakilan Bahagian Umno.

"Pak Lah juga telah mendapat maklumat awal bahawa banyak Bahagian yang tidak menyokongnya dan berkemungkinan beliau mendapat malu besar dengan gagal memperolehi sokongan bagi melepasi kuota yang ditetapkan untuk bertanding dalam PAU nanti," katanya.

Jelasnya lagi, Pak Lah juga sedang berusaha menggunakan pelbagai talian hayat dalam memastikan menantu kesayangannya Khairy Jamaluddin agar berjaya memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno bagi mengekalkan legasi 'Dinasti Pak Lah'.

Beliau juga turut menempelak tindakan Pak Lah bertukar fotfolio dengan Najib atas alasan bagi melicinkan lagi peralihan kuasa ketika kantung negara semakin kering dan situasi ekonomi masakini yang tidak menentu.

"Saya berpendapat pertukaran fotfolio ini sebagai perangkap maut kepada Najib bagi memastikan dia gagal mencapai jawatan Perdana Menteri yang begitu diidamkannya itu, ketika kewangan negara semakin berkurangan, pelaburan langsung asing (FDI) tidak masuk, kemelesetan ekonomi global dan pelabur mula takut dengan perkembangan politik negara yang tidak menentu.

"Inilah masa yang sesuai untuk Pak Lah 'mengenakan' Najib kerana rakyat akan menyalahkan Najib kelak di atas kegagalan beliau menangani kelembapan ekonomi, malahan pula dengan rekod rompakan komisen RM500 jutanya dulu menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat terhadap Najib," tambah beliau.

Beliau seterusnya tidak menolak kemungkinan bahawa Pak Lah akan menggunakan kepentingannya sebagai Menteri Pertahanan untuk mengekalkan kuasa sekiranya terdesak kerana persoalan yang timbul ialah mengapa Pak Lah perlu mengambil-alih kementerian utama tersebut sekiranya dia ikhlas ingin mengundurkan diri ?