Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Tuesday, August 26, 2008

Teruskan melangkah DSAI - Malaysiakini

TG KUDIN

Tahniah kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendapat majoriti 15,671 undi di dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, beliau mendapat 31,195 undi, manakala calon Bn Dato' Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat cuma memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Mac lalu, Dr Wan Azizah menewaskan calon Bn, Dato' Firdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi. Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak PRU 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket Bn sejak 1982.

Ini bermakna Anwar memperolehi peningkatan majoriti undi sebanyak 2,273 undi dan sekaligus melenyapkan angan-angan Mat Jenin Khairy untuk menguburkan politik Anwar di sini.

Itulah sebabnya tiada seorang pun ayam tambatan Umno yang begitu kuat berkokok sebelum ini seperti Firdaus, Ezam dan Khairy yang berani untuk bertanding di Permatang Pauh kerana mereka sudah mengetahui bahawa kekalahan teruk yang bakal menanti di sana.

Maka yang terpaksa menjadi 'Pak Sanggup' ialah Arif Shah, Adun Seberang Jaya kerana sekiranya dia kalah tidak begitu memalukan disebabkan beliau masih lagi Yang Berhormat untuk kerusi Dun berbeza dengan calon lain seperti Firdaus mahupun Ezam.

Manakala Khairy pula sudah tentu ingin menjaga popularitinya yang belum kalah di dalam pertandingan pilihan raya walaupun kemenangan beliau di Rembau itu penuh dengan kontroversi mahupun melalui perebutan kuasa di dalam Umno di mana beliau diberikan laluan mudah menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda Umno atas tiket 'Bapak Mertuaku'.

Teruskan melangkah DSAI untuk menuju ke Putra Jaya, kuatkan semangat, tabahkan hati dan serahkan segalanya kepada Allah. Anggaplah segala kepayahan, kesakitan dan penderitaan yang terpaksa ditempuh selama ini hanyalah merupakan sebagai pelengkap kepada kejayaan yang dicita-citakan.

Kemenangan hari ini juga sebenarnya menjadi momentum baru kepada perjuangan untuk menegakkan keadilan di bumi Malaysia yang tercinta ini, sinar terang di hujung jalan sudah kembali bercahaya memberikan harapan baru kepada rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran.

Marilah kita bersama-sama menjadi sebahagian daripada sejarah hebat hari ini, jangan kita lepaskan peluang yang berada di depan mata kini, untuk dikenang oleh generasi akan datang sebagai agen pembaharuan ke arah masyarakat Malaysia yang lebih bertamadun dan bermaruah bagi menjamin kesejahteraan hidup kita bersama.