Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Monday, August 11, 2008

Isu Majlis Peguam, Zaid Ibrahim perlu letak jawatan

Zaili Muhammad

MELAKA, 12 Ogos (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim, supaya meletak jawatan kerana kegagalan beliau menghentikan program yang dianjurkan oleh Majlis Peguam baru-baru ini.

"Saya menggesa supaya Dato' Zaid Ibrahim meletakkan jawatan kerana kegagalannya memberikan nasihat kepada Majlis Peguam supaya menghentikan program-program yang mencetuskan kemarahan umat Islam seperti penganjuran Forum Memeluk Islam minggu lalu," kata Sofi.

Forum tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Peguam telah mendapat bantahan umat Islam minggu lalu.

Menurut beliau, Zaid Ibrahim seolah-olah setuju dengan pendirian Majlis Peguam yang beriya-iya benar ingin mempertikaikan undang-undang dan perlembagaan negara bersabit dengan isu memeluk Islam, hak penjagaan kanak-kanak dan mahkamah syariah.

"Jelas sekali sejak dari dahulu Majlis Peguam seolah-olah mempertikaikan kewujudan dan hak Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes berkaitan orang Islam dan kekeluargaan Islam dan apa yang dikesalkan Zaid membisu seribu bahasa dalam hal ini sedangkan dalam hal-hal yang lain Zaid begitu lantang bersuara.

"Zaid sebagai menteri sepatutnya tidak bersikap berat sebelah dan membuat kenyataan mengikut kehendak diri sendiri dengan membelakangkan kepentingan agama Islam," katanya.
Beliau seterusnya menambah, malang sekali di saat umat Islam Malaysia tanpa mengira ideologi politik bangkit mempertikaikan tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum tersebut, menteri yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong atau sebaliknya.

Beliau bertanya, "di mana kredibiliti Zaid sebagai individu yang dikatakan pakar dalam undang-undang."

"Memang tidak dinafikan Zaid merupakan antara penyokong kuat Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang cuba ditubuhkan oleh pihak-pihak tertentu. Namun kita berharap sebagai menteri, Zaid lebih rasional dan lebih terbuka dalam isu berkaitan kedaulatan Agama Islam.

"Jangan nanti menteri pun turut sama bersekongkol menentang undang-undang dan perlembagaan negara yang telah lama termaktub," ujarnya.

Beliau juga kesal kerana Zaid bukan sahaja tidak berusaha untuk memperkasakan undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah malah seakan-akan bersekongkol dengan puak-puak yang cuba mencabar Islam. - mks.

TG KUDIN

Tg juga turut kesal ke atas apa yang berlaku hari ini, seolah-olah wujud satu percubaan terancang bagi menggangu-gugat Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Mereka yang cuba bermain dengan api ini perlu sedar bahawa usaha sebegini akan melebarkan lagi jurang perbezaan antara agama yang berkemungkinan akan mencetuskan satu suasana yang tidak mampu kita tanganinya.

Golongan ini perlu menerima hakikat bahawa perkara yang melibatkan agama Islam biarlah orang Islam yang menentukannya, bukanlah golongan yang jahil dan bukan Islam yang cuba untuk menunjukkan kepada orang Islam bagaimana cara melaksanakan Islam.

Semuanya ini sebenarnya berpunca daripada penguatkuasaan syariat Islam yang terlalu lemah di pihak kerajaan Umno-Bn walaupun selepas 50 tahun merdeka mereka masih lagi mengikut dan mewarisi telunjuk penjajah.

Sepatutnya usia yang sebegini matang Malaysia sudah mampu berdiri sendiri sebagai sebuah negara yang kukuh dan hebat di mata dunia, bahkan sudah mempunyai jatidiri sendiri berpaksikan identiti Melayu-Islamnya.