Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Wednesday, August 20, 2008

Kerajaan Rakyat

TG KUDIN

Suasana politik negara yang semakin tegang sejak akhir-akhir ini mengundang keresahan di kalangan pelbagai pihak kerana bimbang menjadi mangsa seperti kancil yang tersepit ditengah-tengah pergaduhan antara dua ekor gajah.

PAS yang baru sahaja selesai bermuktamar pada 17 Ogos lalu di mana berjaya merumuskan beberapa pendekatan baru yang lebih menyerlahkan ketegasan PAS kepada prinsip perjuangan sebenar bahawa ianya tidak boleh dijual-beli iaitu ingin menjadikan Islam sebagai asas pembentukan sebuah masyarakat Malaysia yang bertamaddun serta bermaruah.

Seterusnya menjadikan Islam sebagai perlembagaan yang tertinggi sekali di negara ini, bahkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS akan keluar daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang akan dibentuk pada 16 Sept ini sekiranya Islam diketepikan atau Islam ditolak sebagai asas pembentukan kerajaan tersebut.

Ketua Umum KeADILan juga turut mengakui hal itu malah bersetuju dengan mengatakan bahawa PAS tentu tidak boleh menerima kerajaan baru itu jika Islam yang menjadi agama rasmi negara ini seperti yang termaktub di dalam perlembagaan dikesampingkan.

Saya berpendapat dalam hal ini perlu diperhebat dan diperincikan lagi ciri-ciri kerajaan yang akan dibentuk itu agar tidak ada pihak yang akan merasa tersisih kelak atau dipaksa menerima suatu perkara yang bertentangan dengan prinsip perjuangan mereka.

Jalan ke Putrajaya sudah semakin hampir dan ianya akan menjadi realiti bukan sekadar fantasi seperti yang dimomokkan oleh Bn, untuk itu kita perlulah mempersiapkan diri untuk mengisi kejayaan tersebut kelak.

Parti-parti Pakatan Rakyat mestilah memberi penerangan kepada semua ahli di semua peringkat agar mereka tidak cepat melatah apabila berhadapan dengan pelbagai situasi nanti, maklumlah baharu masuk rumah baru mestilah kedengaran riuh-rendah ketika sibuk menyusun kerusi-meja atau pinggan-mangkuk dan sebagainya.

Walaubagaimanapun saya mendoakan agar kerajaan yang akan dibentuk pada 16 Sept kelak tidak meminggirkan kesulitan rakyat seperti yang dilakukan oleh Bn dan antara perkara yang perlu diberi perhatian segera ialah menurunkan harga minyak serendah yang boleh bagi meringankan kesusahan rakyat. Semoga berjaya.