Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Friday, October 24, 2008

Formula Umno telah gagal sepenuhnya - Malaysiakini


TG KUDIN

Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah berkata, kecelaruan yang sedang berlaku dalam pemilihan Umno sekarang ini menunjukkan bahawa formula Umno yang meletakkan dasar sekular sebagai asas perjuangannya selama ini telah gagal sama sekali.

"Rasuah begitu berleluasa dalam pemilihan Umno sehinggakan Datuk Seri Rais Yatim menegur supaya jangan jadikan Umno seperti 'tender terbuka' dengan pembida tertinggi mendapat jawatan dalam parti melalui amalan politik wang dan ianya sungguh memalukan.

"Ini bukti menunjukkan bahawa Umno yang melaungkan perjuangan membela bangsa, agama dan negara hanyalah retorik sahaja tetapi sebenarnya pemimpin mereka berjuang untuk membela dan mempertahankan kepentingan peribadi semata-mata," kata beliau ketika mengulas kenyataan Menteri Luar baru-baru ini.

"Di Melaka ini juga kita lihat di mana keputusan bagi pemilihan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah terpaksa ditangguhkan kerana berlakunya ketidaktelusan melalui pengundian yang dibuat sehingga terlebih kertas undi.

"Amalan tidak sihat ini iaitu menipu dalam pilihan raya bukan sahaja mereka lakukan ketika berdepan dengan parti lawan bahkan ianya semakin teruk di dalam Umno itu sendiri kerana melibatkan perebutan kuasa dan jawatan sesama mereka," ujarnya.

Tambah beliau, mereka bergaduh bukan untuk bincang soal agama, masalah rakyat, kenaikan harga minyak dan nasib bangsa tetapi untuk merebut jawatan bagi diri mereka sendiri.

Malah katanya, Dr Rais Yatim mengakui sendiri bahawa politik wang di dalam Umno masih belum dapat dibanteras kerana ianya telah berakar-umbi dan sekaligus menjadi budaya di dalam Umno.

Sambil membayangkan bahawa Umno sudah hampir sampai ke penghujung usianya kerana pelbagai budaya atau penyakit kronik telah menjalar dan meresapi seluruh tubuh badan Umno serta tidak boleh diselamatkan lagi seperti pesakit Aids yang hanya menunggu saat kematiannya sahaja.

Selanjutnya, beliau menjelaskan berbanding dengan PAS yang melaksanakan dasar dan landasan Islam dalam perjuangannya menyebabkan ianya sentiasa relevan sepanjang masa dan semakin mendapat sambutan kini bukan sahaja di kalangan orang Islam bahkan juga orang bukan Islam.

"Kita lihat orang bukan Islam beramai-ramai telah menerima perjuangan Islam dengan menjadi ahli Kelab Penyokong PAS kerana mereka melihat Islam memberikan keadilan kepada semua tanpa membezakan warna kulit dan latarbelakang seseorang.

Bahkan beliau berkata, apabila diberikan peluang untuk memerintah negara ini kelak PAS akan terus melaksanakan konsep 'Negara Berkebajikan' seperti yang ditawarkannya pada Pilihan Raya Umum lalu bagi memberikan kesejahteraan hidup kepada semua rakyat berbilang kaum di Malaysia ini.