Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Wednesday, September 24, 2008

ISA undang-undang rimba - Malaysiakini

SEMABOK - PAS Melaka kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Adun Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman, di mana Gerakan Belia 4B (GB4B) Melaka telah mengambil pendirian menyokong supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dapat terus dikekalkan dengan cara dan kaedah yang lama.

Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, bahawa ISA adalah salah-satu daripada undang-undang rimba yang perlu dimansuhkan kerana ianya merampas hak seseorang yang ditahan tanpa melalui proses perbicaraan bagi mendapatkan keadilan.

"Ianya tidak berperikemanusiaan, menyekat kebebasan bersuara yang dibenarkan dalam sistem demokrasi, menafikan peruntukan undang-undang yang menyebut bahawa seseorang itu tidak didapati bersalah sehingga ia dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

"Malahan apabila kita dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak bagi menerima pembalasan daripada Allah S.W.T. di sana pun akan diadakan perbicaraan dulu agar setiap makhluk mendapat keadilan yang sewajarnya," kata beliau.

Seterusnya beliau mempersoalkan, mengapa kita sebagai hamba-Nya boleh dengan sewenang-wenangnya tanpa usul periksa dan melalui proses perbicaraan di mahkamah terus menghukum seseorang yang difikirkan mengugat kepentingan sang penguasa.

"Tak boleh tegur sikit terus ancam dan ugut untuk ambil tindakan ISA, adakah ini contoh teladan yang patut ditunjukkan oleh sebuah kerajaan yang mewar-warkan konsep Islam Hadhari.

"Ini jelas menunjukkan bahawa setelah melebihi 50 tahun memerintah kerajaan masih gagal menangani masalah hubungan antara kaum di negara ini dan gagal memikirkan satu formula terbaik untuk menyatu-padukan rakyat berbilang-bangsa di negara ini," katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Gerakan Belia 4B (GB4B) Melaka itu, sebagai tidak relevan, ketinggalan zaman dan gagal menghayati tuntutan sebenar kefarduan berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

"Marilah kita kembali kepada tuntutan Islam yang syumul iaitu mengikut segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya serta menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan dalam negara kita kerana ianya memberi keadilan kepada semua.

"Tidak kira samada kepada orang Islam atau bukan Islam, dasar yang digariskan oleh Islam adalah formula terbaik untuk menyatu-padukan rakyat pelbagai kaum di dalam negara ini dan PAS tetap komited untuk melaksanakannya melalui proses demokrasi.

"Sebaliknya ISA merupakan suatu bentuk penindasan, kezaliman dan penganiayaan yang sepatutnya ditentang oleh seluruh rakyat negara ini yang cintakan keadilan dan kebenaran," jelasnya.

Tuesday, September 23, 2008

Kegagalan Umno selepas 50 tahun - Malaysiakini


Masih ada lagi golongan yang terpinggir daripada kemajuan yang diwar-warkan oleh Umno-Bn seperti gambar di atas ini. Gambar ini di ambil di Johor iaitu negeri yang paling kuat Umno dalam dunia tetapi nasib keluarga Melayu ini masih lagi tidak berubah seolah berada di zaman sebelum merdeka. Dewan Muslimat yang dalam lawatan 'singgah iftar' terharu melihatkan keadaan rumah keluarga tersebut di mana begitu daif dan uzur sehinggakan lantainya bergenangan air sepanjang masa dan menunggu masa untuk menyembah bumi.

Semoga di bulan Ramadhan yang mulia ini hati kita tersentuh dan turut merasai kesusahan keluarga miskin itu juga keluarga malang lain di seluruh negara kita yang masih ramai lagi diabaikan oleh Umno-Bn kerana sibuk nak membahagikan kekayaan negara sesama mereka.

Seterusnya naluri keinsafan ini perlu kita terjemahkan dengan membantu golongan yang terpingir dari arus kemajuan negara ini. Selamat berpuasa semoga ianya menjadi madrasah yang terbaik untuk kita bermuhasabah tentang amalan kita selama ini.

Friday, September 19, 2008

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin semoga Madrasah Ramadan pada kali ini berjaya meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah.

Semoga dapat mempertingkatkan gerak-kerja kita untuk menegakkan syariat-Nya di Malaysia ini iaitu Allah matalmat kita, Muhammad S.A.W. pemimpin kita, Al-quran perundangan kita, jihad jalan kita dan syahid di jalan Allah cita-cita tertinggi kita. Takbir !!!

Abdullah semakin menganas - Malaysiakini

TG KUDIN

Banyak orang memberi komentar dan analisisnya berkenaan pengumuman terbaru Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi bertukar dengan Timbalannya, Najib Razak untuk jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan.

Srategi terbaru Pak Lah ini bukan susah sangat untuk ditelah hatta oleh sesiapa saja kerana dalam situasi yang sesukar ini beliau memerlukan apa sahaja talian hayat sementelah kuasanya sudah hampir berakhir di penghujung jalan, rakyat di dalam dan luar Umno sudah meluat serta menolaknya bersama bayangan menantu hantunya itu.

Dengan polis dibawah cengkamannya dan kini pula tentera memudahkan beliau menangani ancaman kepada kestabilan politik di negara ini dakwa beliau baru-baru ini tetapi sebenarnya gelombang perubahan yang di bawa oleh Anwar telah mengancam kuasa Pak Lah bersama kroninya.

Pak Lah mula menunjukkan kediktatorannya, malahan sebagai PM dan Menteri Pertahanan akan memudahkannya memperkuatkan cengkaman dan mengekalkan kuasa walaupun terpaksa mengistiharkan darurat bagi tujuan tersebut.

Kerana lazimnya hanya pemerintah ditaktor sahaja yang akan menggunakan tentera bagi mengekalkan kuasa seperti Pervez Musharraf di Pakistan dan Kolonel Muammar Gadaffi di Libya begitu juga Suharto satu masa dahulu.

Menurut Abdullah, portfolio Menteri Kewangan termasuk pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional yang diserahkan kepada Najib mengambil kira situasi ketidaktentuan ekonomi, masa depan serta cabaran yang ditempuhi negara ketika ini.

Ada yang menafsirkannya sebagai perangkap maut kepada Najib bagi memastikan dia gagal mencapai jawatan PM yang begitu diidamkannya itu.

Ketika kewangan negara semakin berkurangan, pelaburan langsung asing (FDI) tidak masuk, kemelesetan ekonomi global dan pelabur mula takut dengan perkembangan politik negara yang tidak menentu.

Inilah masa yang sesuai untuk Pak Lah 'mengenakan' Najib kerana rakyat akan menyalahkan Najib kelak di atas kegagalan beliau menangani kelembapan ekonomi, malahan pula dengan rekod rompakan komisen RM500 jutanya dulu menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat terhadap Najib.

Bom C4 ini akan digunakan oleh Pak Lah bagi mematikan karier politik Najib dan menafikan peralihan kuasa yang dijanjikan pada 2010 nanti. Nasib sama yang menimpa ke atas Anwar Ibrahim dulu yang ketika itu menjadi TPM dan Menteri Kewangan akan berulang kepada Najib.

Friday, September 12, 2008

Umno cetuskan isu perkauman bagi mengekalkan kuasa - Malaysiakini

TG KUDIN

Semua pihak diharapkan supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan perancangan Umno yang sedang mencetuskan api perkauman di dalam negara kita setelah parti itu gagal mengekalkan majoriti 2/3 di parlimen dan sokongan orang-orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang berlangsung 8 Mac lalu.

Ianya bermula apabila Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail mengeluarkan kenyataan ketika berkempen di Permatang Pauh bahawa orang Cina adalah menumpang di negara ini dan mengundang kemarahan dari kaum Cina yang merasa terhina.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas itu memberi amaran bahawa kerajaan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang mencetuskan isu perkauman termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perdana Menteri selanjutnya membuat kesimpulan bahawa situasi hubungan kaum yang semakin merosot sekarang ini mungkin boleh menyebabkan berlakunya ketegangan, seterusnya diikuti dengan amaran oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, supaya isu perkauman tidak ditimbulkan.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo, bagaikan menuang minyak ke atas api yang sedang menyala, cuba membangkitkan kemarahan orang Islam kerana mendakwa ada usaha pihak tertentu untuk menghalang azan dilaungkan di negeri tersebut.

Malahan dua NGO iaitu Gerakan Graduan Melayu Muda (GGMM) dan Pertubuhan Pembela Perlembagaan Persekutuan (PPPP) telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Parti Gerakan, DAP, MCA dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan parti-parti terbabit cuba mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu di negara ini.

Dalam memorandum tersebut, Setiausaha Agung PPPP, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, mendesak semua pihak segera menghentikan sebarang tindakan untuk mempersoalkan hak-hak orang Melayu.

"Kita tentang sebarang anasir yang menafikan ketuanan Melayu serta cubaan memperlekehkan agama Islam di dalam negara ini dan kita juga tidak mahu mana-mana pihak mempersendakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

Entah di mana silapnya kita pun tak tahu? isu yang pada mulanya terjadi disebabkan tindakan Dato' Ahmad yang jelas tidak menghormati suasana harmoni dan perpaduan antara kaum di negara kita telah diputar-belitkan kepada isu mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu di negara ini.

Isu perkauman ini dimainkan semula oleh Umno bagi mengekalkan kembali kuasanya yang bakal lenyap kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada mereka dan perebutan kuasa sesama mereka yang begitu parah.

Operasi Lalang juga sudah dimulakan dengan penahanan Raja Petra Kamarudin kerana didakwa mengancam kestabilan negara dan selepas ini beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga akan ditahan atas alasan yang sama.

Manakala Dato' Ahmad Ismail bersama beberapa pemimpin BN lain yang mula mencetuskan 'permainan' ini sudah boleh tersenyum girang kerana tugas mereka sudah berjaya dan mungkin juga akan turut melancong ke luar negara bagi merayakannya.

Wednesday, September 10, 2008

Pakatan Rakyat jangan melatah - Malaysiakini

TG KUDIN

Sejak akhir -akhir ini pelbagai pihak daripada Umno/Bn mengeluarkan pelbagai kenyataan yang berupa hasutan dan mencetuskan sentimen antara kaum. Lebih-lebih lagi apabila hampir dengan tarikh melompatnya Ahli Parlimen Bn kepada Pakatan Rakyat.

Kronologi peristiwa ini jika diamati betul-betul menunjukkan bahawa suatu perancangan sedang dilakukan untuk menghalang berlakunya perpindahan Ahli Parlimen tersebut. Tarikh 16 September begitu mengusarkan Bn sehinggakan terpaksa membawa Ahli Parlimen itu melancong ke Taiwan kononnya bagi mendalami ilmu bercucuk-tanam.

Pakatan Rakyat perlu berhati-hati menangani isu ini dan jangan mudah melatah atau termakan tipu daya Bn yang cuba mencetuskan suasana yang tidak harmoni dalam negara kita untuk mengekalkan kelangsungan kuasa mereka.

Kerana apa? setelah semua usaha mereka untuk menghalang terjadinya pembentukan kerajaan baru daripada Pakatan Rakyat gagal, maka satu sahaja alternatif ataupun talian hayat yang ada untuk mereka ialah membakar api perkauman dan kali ini mereka lakukan dengan kaum Cina pula.

Tuesday, September 2, 2008

MISC mempertaruhkan nyawa anak kapal - Malaysiakini


TG KUDIN

Warga Malaysia dikejutkan pada 19 Ogos lepas apabila sebuah kapal MISC, Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal, 29 daripadanya rakyat Malaysia manakala 10 lagi adalah warga Filipina dirampas lanun di perairan Aden menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.

Media arus perdana tanahair pula seakan cuba menyembunyikan berita ini daripada pengetahuan umum kerana ia membabitkan jumlah tebusan rakyat Malaysia yang ramai, mereka cuma memaklumkan bahawa rundingan sedang dijalankan bagi membebaskan tebusan tersebut sekaligus mengambarkan kepada kita perkara ini tidak begitu serius.

Lebih memeranjatkan lagi sepuluh hari kemudian iaitu pada 29 Ogos, sebuah lagi kapal MISC, Bunga Melati 5 dengan 41 anak kapal iaitu 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina pula dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Ini menjadikan dua buah kapal milik MISC telah ditawan dan melibatkan 80 anak kapal iaitu 65 rakyat Malaysia serta 15 rakyat Filipina termasuk seorang yang telah terbunuh. Setakat ini dilaporkan semua anak kapal itu berada dalam keadaan selamat namun tidak dapat dipastikan apakah keselamatan mereka terjamin atau tidak.

Persoalannya sekarang kenapa MISC tidak mengambil satu langkah yang dapat menjamin keselamatan anak kapalnya setelah kapal yang pertama dirampas dengan menyelesaikannya secepat mungkin. Sebaliknya mereka membiarkan berlarutan selama 10 hari sehingga menyebabkan satu kapal lagi dirampas.

Adakah MISC merasakan bahawa RM10 juta yang dituntut oleh perampas itu lebih berharga daripada nyawa anak-anak kapal ?

Saya bukan nak menyalahkan MISC dalam hal ini tapi ingin berkongsi pengalaman kepada semua orang bahawa MISC acapkali dilihat meletakkan atau mempertaruhkan nyawa anak-anak kapalnya dalam keadaan yang terlalu berisiko tinggi bagi mengaut keuntungan semata-mata.

Saya sendiri sebagai seorang bekas pelaut pernah mengalami suatu keadaan yang begitu merbahaya di antara hidup dan mati di mana kapal kontena MISC Bunga Mas rosak di tengah lautan Hindi selama 4 atau 5 hari ketika perjalanan dari Pasir Gudang ke Colombo, Sri Lanka.

Padahal kapal tersebut baru sahaja dibaiki di limbungan kapal Sembawang, Singapura, selepas diperiksa rupanya ketika dilimbungan alat ganti yang ditukarkan ialah dari jenis 'second-hand' bagi menjimatkan kos, patutlah enjinnya rosak ditengah jalan. Nasib baik ketika itu bukan musim ribut tetapi risiko ke dua yang kami hadapi ialah kapal itu terumbang-ambing hanyut tanpa kawalan. Jika hanyut ke timur tibalah Indonesia, jika hanyut ke barat sampailah ke benua Afrika, kalau ke utara mungkin ke Myammar dan kalaulah hanyut ke selatan terdampar ke antartika lah kami.

Sekiranya kapal kami tidak bergerak ke mana-mana pula, maka risikonya ialah bakal dilanggar oleh kapal lain jika mereka gagal mengesan kapal kami. MISC hanya menghantar alat ganti yang diperlukan setelah 4 hari kami hanyut melalui kapalnya yang lain kerana kebetulan memang melalui laluan itu

Teluk Aden seperti yang dimaklumi oleh semua orang yang terlibat dengan aktiviti maritim adalah merupakan kawasan perlanunan kategori kelas pertama. Kebanyakkan syarikat perkapalan antarabangsa yang lain tidak mahu mengambil risiko untuk melalui laluan tersebut kerana mereka sedar bahaya yang dihadapi. Seterusnya menjadikan sewa menggunakan perkhidmatan perkapalan menjadi tinggi, ini sebenarnya yang dikejar MISC tanpa memperdulikan risiko kepada anak kapal.

Dato' Seri Najib Tun Razak juga mengakuinya apabila berkata MISC perlu mencari jalan lain memandangkan Teluk Aden merupakan kawasan perairan yang banyak dipenuhi dengan lanun dan beberapa kapal dari negara lain juga telah dirampas sebelum ini.

Kerajaan juga katanya, telah menghantar kapal Tentera Laut Diraja Malaysia dengan pasukan komando ke Teluk Aden berhampiran perairan Somalia dan Yemen bagi melindungi empat buah kapal MISC di kawasan tersebut.

Kita mengucapkan syabas ke atas keprihatinan kerajaan itu namun ianya agak terlewat kerana sudah dua buah kapal beserta 80 anak kapal ditawan. Kenapa kerajaan tidak bertindak begitu ketika kapal pertama dirampas atau sepatutnya kerajaan mengeluarkan larangan kepada MISC daripada menggunakan laluan itu sebelum kapal pertama dirampas lagi kerana laluan tersebut telah masyhur dengan aktiviti perlanunannya.

Mana perginya Menteri Luar Negeri yang pandai bercakap itu kenapa hanya membisu diam seribu bahasa sahaja dalam isu ini? Adakah isu ini tiada kaitan dengan tugas beliau yang antara lain memastikan hubungan luar negara berjalan licin dan menyelesaikan serta menjamin keselamatan rakyat Malaysia ketika berada diluar negara atau bagi beliau sekadar untuk melancong sahaja.