Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Monday, October 27, 2008

Melaka susukan kera di hutan - Malaysiakini

TG KUDIN

Shah Rukh Khan (SRK) dijadualkan akan menerima gelaran Dato' nya pada hari rabu ini di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, walaupun mendapat pelbagai bantahan namun Kerajaan Negeri Melaka bertegas juga untuk menyampaikan gelaran tersebut melalui pelbagai alasan yang tidak rasional.

Persoalannya mengapakah kerajaan negeri mengadakan satu majlis khas bagi tujuan penganugerahan jawatan Dato' ke atas beliau, apakah kerajaan negeri yang terhegeh-hegeh untuk menabalkannya sebagai Dato' atau SRK yang beria-ia inginkan gelaran itu.

Kebiasaannya seseorang itu begitu gembira apabila dimaklumkan bahawa dia akan dianugerahkan pangkat Dato' tidak akan melepaskan peluang untuk hadir pada majlis penganugerahan tersebut. Berbanding dalam kes SRK yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengadakan majlis khas bagi memberi anugerah Dato' kepadanya.

Rakyat juga ingin tahu berapakah perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh kerajaan negeri bagi tujuan tersebut di mana ianya tentu melibatkan satu jumlah yang besar, maklumlah orang kenamaan, bintang Bollywood pula yang sudah pasti hadir bersama ahli rombongan dan pengawal peribadinya.

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini samalah seperti kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan, sedangkan pada masa sama ramai lagi rakyat Melaka yang menderita perlukan pembelaan daripada kerajaan negeri. Lihatlah berapa ramai anakMelaka yang tercicir pendidikan mereka disebabkan tiada wang bagi melanjutkan pelajaran kemudiannya terjerumus ke kancah maksiat dan gejala sosial.

Mereka ini sepatutnya menjadi pewaris untuk memajukan Melaka suatu hari nanti tetapi dek buta hati pemimpin yang menerajui amanah rakyat ini terus membiarkan mereka terkapai-kapai tanpa dipedulikan nasib mereka. Saya juga tidak sabar untuk melihat hari kera itu disusukan oleh Khalil Yaakob si perompak balak dari Pahang.

Friday, October 24, 2008

Formula Umno telah gagal sepenuhnya - Malaysiakini


TG KUDIN

Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah berkata, kecelaruan yang sedang berlaku dalam pemilihan Umno sekarang ini menunjukkan bahawa formula Umno yang meletakkan dasar sekular sebagai asas perjuangannya selama ini telah gagal sama sekali.

"Rasuah begitu berleluasa dalam pemilihan Umno sehinggakan Datuk Seri Rais Yatim menegur supaya jangan jadikan Umno seperti 'tender terbuka' dengan pembida tertinggi mendapat jawatan dalam parti melalui amalan politik wang dan ianya sungguh memalukan.

"Ini bukti menunjukkan bahawa Umno yang melaungkan perjuangan membela bangsa, agama dan negara hanyalah retorik sahaja tetapi sebenarnya pemimpin mereka berjuang untuk membela dan mempertahankan kepentingan peribadi semata-mata," kata beliau ketika mengulas kenyataan Menteri Luar baru-baru ini.

"Di Melaka ini juga kita lihat di mana keputusan bagi pemilihan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah terpaksa ditangguhkan kerana berlakunya ketidaktelusan melalui pengundian yang dibuat sehingga terlebih kertas undi.

"Amalan tidak sihat ini iaitu menipu dalam pilihan raya bukan sahaja mereka lakukan ketika berdepan dengan parti lawan bahkan ianya semakin teruk di dalam Umno itu sendiri kerana melibatkan perebutan kuasa dan jawatan sesama mereka," ujarnya.

Tambah beliau, mereka bergaduh bukan untuk bincang soal agama, masalah rakyat, kenaikan harga minyak dan nasib bangsa tetapi untuk merebut jawatan bagi diri mereka sendiri.

Malah katanya, Dr Rais Yatim mengakui sendiri bahawa politik wang di dalam Umno masih belum dapat dibanteras kerana ianya telah berakar-umbi dan sekaligus menjadi budaya di dalam Umno.

Sambil membayangkan bahawa Umno sudah hampir sampai ke penghujung usianya kerana pelbagai budaya atau penyakit kronik telah menjalar dan meresapi seluruh tubuh badan Umno serta tidak boleh diselamatkan lagi seperti pesakit Aids yang hanya menunggu saat kematiannya sahaja.

Selanjutnya, beliau menjelaskan berbanding dengan PAS yang melaksanakan dasar dan landasan Islam dalam perjuangannya menyebabkan ianya sentiasa relevan sepanjang masa dan semakin mendapat sambutan kini bukan sahaja di kalangan orang Islam bahkan juga orang bukan Islam.

"Kita lihat orang bukan Islam beramai-ramai telah menerima perjuangan Islam dengan menjadi ahli Kelab Penyokong PAS kerana mereka melihat Islam memberikan keadilan kepada semua tanpa membezakan warna kulit dan latarbelakang seseorang.

Bahkan beliau berkata, apabila diberikan peluang untuk memerintah negara ini kelak PAS akan terus melaksanakan konsep 'Negara Berkebajikan' seperti yang ditawarkannya pada Pilihan Raya Umum lalu bagi memberikan kesejahteraan hidup kepada semua rakyat berbilang kaum di Malaysia ini.

Tuesday, October 14, 2008

Dato' Shah Rukh Khan hina orang Melaka - Malaysiakini

TG KUDIN

Apabila saya mendapat berita pelakon terkenal Bollywood Shah Rukh Khan (SRK) mendapat penganugerahan Dato' oleh Kerajaan Negeri Melaka, saya terus cuba menafikan secara perlahan-lahan dan berharap bahawa ianya hanya gossip terbaru dunia hiburan.

Tetapi setelah beberapa ketika saya terpaksa menerima hakikat bahawa berita itu adalah benar dan tiada yang benar melainkan ianya benar belaka. Malah Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam mempertahankan tindakan itu dengan satu hujah dangkal iaitu ianya dilakukan untuk menggalakkan industri perfileman di Melaka.

Ramai orang bertanya kepada saya apakah sumbangan yang telah dilakukan oleh SRK kepada Negeri Melaka sehinggakan beliau mendapat penganugerahan yang begitu hebat itu. Ini menambahkan lagi koleksi kepandiran pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di bawah pemerintahan Umno-Bn yang diterajui Ali Rustam.

Ada orang mengatakan bahawa tujuan anugerah itu sebenarnya diarahkan oleh Ali Rustam bagi mengembirakan bakal 'First Lady' Malaysia iaitu Datin Rosmah Mansor yang begitu meminati pelakon Bollywood dan pernah mengemparkan negara melalui ciuman mesranya bersama pelakon Hindustan sedikit masa dulu.

Sekiranya Ali berjaya menawan hati Rosmah maka mudahlah beliau meminta tolong daripada Najib agar menerimanya sebagai regu untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno yang bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Walaupun calon yang popular ketika ini ialah Muhyiddin Yassin namun Ali masih lagi memasang angan-angan.

Jelas sekali lawak jenaka yang dilakukan oleh Ali Rustam pada kali ini betul-betl mengelikan hati dan khabarnya SRK langsung tidak menghargai penganugerahan tersebut dengan tidak hadir pada hari majlis itu berlangsung. Bukan sahaja memalukan bahkan menghina rakyat Melaka yang selama ini bertungkus-lumus mempertahankan dan berusaha memajukan negeri tercinta.

Ali lebih suka dikenang orang sebagai seorang Ketua Menteri yang mengutamakan orang luar daripada anak tempatan maka jadilah dikatakan orang 'anak kera disusukan, anak sendiri mati kelaparan', alahai Ali Rustam...

Sunday, October 5, 2008

Penangguhan bagi kekalkan kuasa - Malaysiakini

Menurut Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah, penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadual diadakan pada Disember ini kepada Mac tahun depan menyerlahkan lagi perebutan kuasa yang semakin parah di dalam Umno dan mempercepatkan lagi proses kehancuran Umno yang sudah ditolak oleh majoriti rakyat di dalam negara ini.

"Tujuan sebenar Pak Lah menangguhkan PAU ialah sebagai salah-satu srategi baginya mengekalkan kuasa di mana tempoh masa di sepanjang penangguhan ini akan digunakan sebaik mungkin oleh beliau untuk meraih sokongan daripada perwakilan Bahagian Umno.

"Pak Lah juga telah mendapat maklumat awal bahawa banyak Bahagian yang tidak menyokongnya dan berkemungkinan beliau mendapat malu besar dengan gagal memperolehi sokongan bagi melepasi kuota yang ditetapkan untuk bertanding dalam PAU nanti," katanya.

Jelasnya lagi, Pak Lah juga sedang berusaha menggunakan pelbagai talian hayat dalam memastikan menantu kesayangannya Khairy Jamaluddin agar berjaya memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno bagi mengekalkan legasi 'Dinasti Pak Lah'.

Beliau juga turut menempelak tindakan Pak Lah bertukar fotfolio dengan Najib atas alasan bagi melicinkan lagi peralihan kuasa ketika kantung negara semakin kering dan situasi ekonomi masakini yang tidak menentu.

"Saya berpendapat pertukaran fotfolio ini sebagai perangkap maut kepada Najib bagi memastikan dia gagal mencapai jawatan Perdana Menteri yang begitu diidamkannya itu, ketika kewangan negara semakin berkurangan, pelaburan langsung asing (FDI) tidak masuk, kemelesetan ekonomi global dan pelabur mula takut dengan perkembangan politik negara yang tidak menentu.

"Inilah masa yang sesuai untuk Pak Lah 'mengenakan' Najib kerana rakyat akan menyalahkan Najib kelak di atas kegagalan beliau menangani kelembapan ekonomi, malahan pula dengan rekod rompakan komisen RM500 jutanya dulu menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat terhadap Najib," tambah beliau.

Beliau seterusnya tidak menolak kemungkinan bahawa Pak Lah akan menggunakan kepentingannya sebagai Menteri Pertahanan untuk mengekalkan kuasa sekiranya terdesak kerana persoalan yang timbul ialah mengapa Pak Lah perlu mengambil-alih kementerian utama tersebut sekiranya dia ikhlas ingin mengundurkan diri ?