Generasi Parameswara

Mata pena lebih tajam daripada Pedang..............

Sunday, April 25, 2010

Isteri terharu terima sumbangan SPPM


Zaili menyampaikan sumbangan segera SPPM kepada Mesnah sambil disaksikan Fauzi.

TAMAN BUKIT TEMBAKAU - Sumbangan segera sebanyak RM1,000 daripada Skim Penyayang PAS Melaka (SPPM) bagi urusan pengkebumian menyebabkan seorang isteri terharu apabila mengenangkan ada pihak yang sudi meringankan sedikit kesusahan yang dialami beliau.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah dan Setiausaha PAS Cawangan Bukit Tembakau, Fauzi Maelah kepada Mesnah Musa iaitu balu kepada Kamarozaman Lep yang meninggal dunia baru-baru ini, di sini.

Menurut Zaili bahawa ini adalah salah satu bentuk bantuan segera yang kita usahakan untuk meringankan sedikit tangungan waris atau keluarga simati bagi urusan pengkebumian.

"Ini merupakan satu bentuk kebajikan yang kita rangka khususnya untuk rakyat Melaka merasainya tanpa mengira apa pun bentuk perbezaannya samada agama, kaum mahupun fahaman politiknya.

"Selepas ini kita akan cuba usahakan pelbagai bentuk bantuan lain kepada keluarga ini yang mempunyai anak seramai enam orang yang masih kecil dan memandangkan Mesnah sendiri mengalami masalah buah pinggang serta terpaksa menjalani rawatan hemodialisis sejak tiga tahun lalu," kata beliau.

Sementara itu, Mesnah yang masih bersedih lagi dengan kehilangan suami disebabkan penyakit kanser terharu dengan sumbangan itu dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh SPPM.

"Saya selama ini hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pemandu lori kerana saya tidak boleh bekerja disebabkan penyakit buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan hemodialisis sejak tiga tahun lalu.

"Jadi sekarang saya kena mulakan hidup baru dalam keadaan yang serba sukar disebabkan penyakit buah pinggang ini dan menanggung anak-anak yang masih kecil.

"Syukur kepada Allah kerana sumbangan yang kami sekeluarga terima daripada pihak-pihak yang prihatin selama ini sedikit sebanyak dapat meringankan kesulitan yang dialami," katanya.

Sesiapa yang ingin memberi sumbangan bolehlah memasukkan ke dalam akaun Maybank beliau bernombor 154053435866 atas nama Mesnah Musa.

Labels:

Thursday, April 22, 2010

LTAM projek 'Gajah Putih'


LTAM yang sunyi sepi.

ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri melaksanakan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang sehingga kini masih gagal menarik minat syarikat penerbangan lain untuk beroperasi di situ.

"Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat berkata dalam Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak ada kuasa untuk memaksa syarikat penerbangan seperti AirAsia, FireFly dan lain-lain untuk menyediakan perkhidmatan di LTAM.

"Dan katanya lagi syarikat penerbangan akan menentukan samada operasi di sesebuah lapangan terbang itu perlu atau tidak berdasarkan kepada 'business decision' masing-masing.

"Dengan jawapannya maka fahamlah kita bahawa LTAM ini akan menjadi satu lagi projek Gajah Putih sehingga ke suatu masa yang kita pun tidak pasti," kata beliau.

Beliau berkata, sebenarnya kerajaan telah gagal menjalankan kajian dan analisis yang baik sebelum membuat keputusan untuk menaiktaraf lapangan terbang dan apakah kerajaan tidak membuat kajian terperinci dari segi komersial dan lain-lain.

"Akhirnya duit rakyat hangus begitu sahaja, walaupun lapangan terbang ini sudah dirasmikan sebanyak dua kali tetapi ianya masih sunyi sepi tiada kapalterbang komersil besar yang menggunakannya," tambahnya.

LTAM yang bernilai RM193 juta terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar raya telah dinaiktaraf seperti pemanjangan landasan dari 1,800 meter kepada 2,135 meter turut menempatkan menara kawalan, unit bomba dan penyelamat serta pusat kawalan kaji cuaca bagi membolehkan pesawat Airbus dan Boeing 737 beroperasi.

Manakala Terminal LTAM yang baru berharga RM190 juta seluas 7,000 meter persegi dilengkapi kemudahan seperti ruang menunggu penumpang berlepas dan ketibaan, bilik VIP, tandas, enam kaunter masuk dan empat kaunter keluar bagi penerbangan antarabangsa dan domestik dikatakan bakal mengendalikan 1.5 juta penumpang setahun berbanding hanya 300,000 sebelum ini.

Dato' Seri Najib Tun Razak juga meminta kerajaan negeri merangka strategi pengisian khusus agar dapat dimanfaatkan oleh semua syarikat penerbangan tempatan dan luar negara ketika merasmikannya 4 Februari lalu kerana hanya satu syarikat sahaja yang menggunakannya iaitu Riau Airlines yang menawarkan penerbangan Melaka-Pekan Baru-Melaka.

Tinjauan Harakah ke lokasi juga mendapati suasananya sunyi sepi tanpa deruan enjin kapalterbang yang membingitkan seperti lapangan terbang antarabangsa lain dan tiada kapalterbang pun kelihatan di landasannya malahan, keadaan di dalam Terminal menyaksikan petugasnya hanya duduk santai sahaja kerana tiada penumpang yang hendak diuruskan.

Labels:

Thursday, April 15, 2010

Projek Jeti Sungai Lereh membazir


Setiausaha Penerangan PAS Melaka, Zaili Muhamad Imbiah.

MELAKA: Projek penempatan semula nelayan di sepanjang pantai Klebang dan Tanjung Puteri yang dibina di Sungai Lereh akhirnya seperti yang diduga menjadi satu lagi bukti pembaziran wang rakyat oleh kerajaan Umno/BN, di sini.

Antara nelayan yang terlibat itu ialah dari pengkalan Lereh, Pantai Hailam, Balik Bukit, Pantai Puteri dan Pantai Kundor di mana penempatan nelayan yang terbesar ialah di Pantai Puteri yang menempatkan hampir 100 nelayan.

Pembinaan jeti yang menelan belanja sebanyak RM3.3 juta sepanjang kira-kira 200 meter itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk balai nelayan dan dua pondok rehat serta tandas.

Muara sungai yang telah diubahsuai kononnya bagi menempatkan lebih ramai lagi nelayan di situ telah menimbulkan masalah baru iaitu mendapan pasir dan menghalang pergerakan nelayan keluar masuk dari jeti berkenaan ke laut.

Walaupun pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah beberapa kali melakukan kerja-kerja pengorekkan namun masalah sama tetap berulang kerana kawasan itu memang secara semulajadinya merupakan tempat mendapan pasir dan tidak sesuai dijadikan laluan muara sungai berbanding muara lama yang sudah ditambak.

Pengarah JPS Melaka, Gapar Asan memberitahu, JPS akan melakukan kerja-kerja pengorekkan berkala sebagai alternatif terbaik menyelesaikan isu berkenaan sementara menunggu projek tambak laut di muara sungai berkenaan dijalankan.

Persoalannya ialah berapakah kos pengorekkan tersebut dan ianya juga merupakan kos tambahan atau kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai disebabkan kurang cerdiknya polisi pembangunan kerajaan negeri.

Jeti itu hanya digunakan sekitar 20 nelayan asal Sungai Lereh sahaja dan rata-rata nelayan yang diarahkan berpindah itu membantah kerana cadangan tersebut tidak rasional serta tidak mengambilkira pandangan mereka terlebih dahulu.

Selain disebabkan oleh muara yang cetek, kawasannya yang sempit, faktor keselamatan bot dan peralatan menangkap ikan, kurangnya kemudahan nelayan seperti bahanapi diesel yang jauh, menjejaskan pendapatan mereka dan pelbagai lagi kos akan bertambah.

Akhirnya yang mendapat untung daripada projek yang dikatakan untuk membantu nelayan ini adalah pihak-pihak yang tertentu dan mempunyai kepentingan seperti kontraktornya di mana kebiasaannya terdiri daripada kroni-kroni mereka.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian, Dato' Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, Kerajaan negeri merancang untuk memindahkan nelayan-nelayan dari Pantai Puteri ke penempatan nelayan di Sungai Lereh dengan tujuan mencantikkan lagi pemandangan di kawasan tersebut dan kerana mahu menjadikan Pantai Puteri sebagai destinasi pelancongan baru.

Pendedahan seperti ini hanyalah sekelumit kisah benar yang berlaku di Melaka Bandaraya Bersejarah bagi mengenyangkan kroni Umno/BN yang rakus tanpa memikirkan pembaziran wang rakyat supaya mereka terus memberikan sokongan dan bersama-sama mempertahankan serta mengekalkan kelangsungan kuasa Umno/BN.

Maka tidak hairanlah ketika Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka dan Angkatan Muda KeADILan Melaka membuat laporan rasuah terhadap Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam Mac tahun lepas, mereka ini tanpa merasa malu mempertahankan beliau dan melakukan provokasi bagi mengagalkan laporan itu.

Labels:

Friday, April 9, 2010

Koperal polis ganggu siasatan




ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Seorang surirumah, Koid Chai Hoon mendakwa siasatan terhadap kes pecah rumah beliau diganggu oleh seorang anggota polis berpangkat Koperal yang bertugas di IPD Jasin kerana suspek utama dalam kes tersebut adalah merupakan rakan baiknya.

Beliau membuat laporan polis pada 10 Januari lalu di Balai Polis Merlimau, sejurus pulang daripada Sungai Petani, Kedah, apabila mendapati rumahnya telah dipecah masuk dan kehilangan beberapa barangan berharga termasuk wang tunai.

Menurutnya, hasil kerjasama yang diberikan oleh beliau kepada pihak polis telah membawa kepada penangkapan tiga orang suspek tetapi campurtangan Koperal tersebut menyebabkan mereka tidak dituduh di mahkamah sehingga kini.

Koid juga mempersoalkan mengapa polis hanya merampas sebahagian barangan yang dicuri itu pada serbuan pertama di rumah keluarga suspek di Nibong Tebal, Pulau Pinang dan setelah beliau mendesak polis akhirnya bersetuju melakukan serbuan ke dua tetapi tidak menemui apa-apa kerana barangan tersebut telah disembunyikan.

"Semasa serbuan dibuat mereka berdua ada ikut sama di mana Koperal itu telah memberikan 'handpone' kepada suspek utama untuk menghubungi keluarga ketika dalam perjalanan supaya menyembunyikan barangan curi itu.

"Semasa serbuan ada barang kes ditemui di dalam kereta kakak suspek tetapi ianya tidak dirampas dan kakak suspek juga dilepaskan begitu sahaja setelah suaminya bertemu dengan pihak polis," ujarnya.

Dia berkata, dalam kes ini saya dan suami bekerjasama membantu polis menangkap suspek dan sepatutnya pihak polis menyelesaikannya mengikut saluran undang-undang sedia ada tetapi sebaliknya saya dilayan seperti orang yang bersalah, inikah balasannya.

Tambahnya, gangguan dan campurtangan daripada anggota yang tidak bertanggungjawab ini telah menafikan hak saya dan saya mahukan polis bersikap adil terhadap saya serta amat menghargai tindakan segera daripada pihak polis.

Menurut Adun Bachang (DAP), Lim Jak Wong, beliau telah membawa mangsa bertemu Ketua Polis Melaka pada 3 Mac lalu dan keterangannya telah diambil tetapi sehingga kini tiada tindakan yang telah diambil.

"Saya telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkenaan kes ini dan meminta satu siasatan dijalankan kerana mendapati adanya gejala rasuah serta salahguna kuasa dalam penyiasatan kes tersebut.

"Saya juga berharap kes ini diberi perhatian serius dan dapat dilaksanakan dengan adil demi memelihara nama baik PDRM," kata beliau.

Labels:

Thursday, April 1, 2010

Pondok Bas RM44,525


Pondok bas di Taman Rumahku Syurgaku berharga RM44,525


Pondok bas di Kota Cemerlang, Ayer Keroh berharga RM34,500

ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Adun Ayer Keroh (DAP), Khoo Poay Tiong meminta siasatan dilakukan ke atas pembinaan sebuah pondok bas di Taman Rumahku Syurgaku (RKSK), Bukit Katil, di sini, kerana kos pembinaannya yang terlalu tinggi iaitu sebanyak RM44,525.

Manakala, sebuah lagi pondok bas yang dibina di depan Kota Cemerlang, Ayer Keroh, pula bernilai RM34,500
sedangkan ukurannya terlalu kecil sahaja dan menggunakan bahan binaan yang murah serta berkualiti rendah.

Khoo berkata, jumlah kos yang tidak munasabah itu diterimanya melalui jawapan bertulis yang diberikan oleh Dewan Undangan Negeri Melaka yang telah bersidang baru-baru ini.

"Kita mengesyaki adanya unsur-unsur penyelewengan berlaku di dalam pembinaan pondok bas itu yang dikeluarkan tender secara terus kepada kontraktor terlibat oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Harga tersebut terlalu mahal, tak masuk akal, ukurannya terlalu kecil sekitar 8 kaki x 24 kaki dan kalau ikut harga pasaran hanyalah sekitar RM9,000 saja," kata beliau.

Sepatutnya tambah beliau, MBMB mengeluarkan tender secara terbuka kepada kontraktor agar berlakunya ketelusan dan dapat menghindarkan penyelewengan serta ketirisan yang menyebabkan kosnya meningkat berkali ganda.

"Material ataupun bahan binaan yang digunakannya juga jenis murah dan teruk yang sudah tentu harganya lebih rendah lagi.

"Ini adalah di antara pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam negeri Melaka yang diperintah oleh Barisan Nasional dan kita harap pihak yang berkenaan menyiasat perkara ini supaya amalan buruk seperti ini boleh dibendung," ujarnya.

Selain itu, pelbagai lagi projek yang tiada mempunyai keperluan atau kepentingan telah dilaksanakan di Melaka seperti membaikpulih balairaya yang tidak rosak dan membina pondok bas sedangkan tiada bas melaluinya bertujuan untuk mengenyangkan kroni pihak tertentu.

# Bagaimana harganya boleh melebihi harga sebuah rumah kos rendah tiga bilik yang boleh dihuni 5 hingga 7 sekeluarga. Ini satu lagi perkara pelik bin ajaib yang berlaku di Melaka seperti dalam filem DoReMi.

SPRM dan PDRM sila siasat kes ini kerana ianya mempunyai kebarangkalian penyelewengan atau ketirisan yang melibatkan wang rakyat Melaka.

Labels: